Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saringan kesihatan percuma & harga ubat yang lebih dimampui di bawah inisiatif SG Yang Lebih Sihat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Saringan dan pemeriksaan kesihatan percuma serta subsidi yang dipertingkat bagi menjadikan harga ubat-ubatan lebih dimampui.

Bayaran bersama secara tunai sebanyak 15 peratus apabila menggunakan MediSave untuk rawatan penyakit kronik juga ditiadakan.

Demikian antara aspek utama dalam strategi SG Yang Lebih Sihat oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Saranan-saranan itu dibentangkan dalam Kertas Putih yang dikeluarkan (MOH) hari ini (21 September).

Kertas Putih itu diserahkan kepada Parlimen bagi perbahasan bulan depan.

Strategi SG Yang Lebih Sihat bertujuan mendapatkan penglibatan lebih ramai para doktor keluarga swasta (GP) untuk menyokong para penduduk dengan keperluan kesihatan mereka sepanjang hayat.

Kertas Putih itu dikeluarkan menyusuli maklum balas yang dikumpul melalui sesi pendampingan yang diadakan MOH sejak Mac lalu bersama lebih 6,000 penduduk dan pihak-pihak berkepentingan utama.

Di bawah strategi itu, terdapat lima ciri utama, iaitu doktor keluarga, membangunkan pelan kesihatan, menggerakkan rakan masyarakat, menggalakkan rakyat Singapura menyertai program penyertaan nasional dan menyediakan sokongan bantuan kepada klinik-klinik yang mengambil bahagian.

Diumumkan semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MOH pada Mac tahun ini, SG Yang Lebih Sihat akan dibuka bagi mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Ini bermakna sekitar sejuta penduduk boleh menyertainya pada separuh kedua tahun depan.

Ia kemudian akan dibuka secara bertahap-tahap kepada mereka berusia antara 40 hingga 59 tahun dalam tempoh dua tahun akan datang.

BOLEH PILIH DOKTOR SENDIRI

Di bawah daya usaha itu, para penduduk yang menyertai SG Yang Lebih Sihat secara sukarela boleh membuat janji temu bagi konsultasi kesihatan dengan doktor dan ini akan dibiayai oleh pemerintah.

Mereka kemudian boleh membuat perancangan kesihatan doktor pilihan mereka yang akan memantau kesihatan mereka dengan sesi susulan.

Perancangan kesihatan termasuk status kesihatan, keperluan perubatan dan matlamat kesihatan yang akan disusuli dengan pelan tindakan seperti perubahan gaya hidup atau pengurusan berat badan.

Secara umumnya, para pesakit kronik perlu berjumpa doktor sebanyak dua hingga empat kali setahun.

Mereka boleh bertukar doktor sehingga empat kali dalam masa dua tahun pertama, dan kemudian hanya sekali dalam masa setahun.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung berkata perkara pertama yang kritikal adalah untuk menggerakkan seberapa ramai doktor keluarga (GP) untuk menyertai daya usaha SG Yang Lebih Sihat.

MOH menganggarkan kira-kira 670 klinik Rangkaian Jagaan Asas (PCN) akan menyertai daya usaha SG Yang Lebih Sihat apabila ia dilancarkan pada pertengahan tahun depan.

"Para penduduk boleh pilih GP yang mereka mahu. Mereka boleh pilih yang dekat dengan rumah atau pilih GP yang merupakan sebahagian daripada panel doktor di bawah syarikat anda. Kemudian, tetap dengan hubungan satu penduduk, satu doktor atau satu klinik," ujar Encik Ong.

Rakyat Singapura yang mendaftar akan menikmati konsultasi pertama yang percuma selain subsidi penuh bagi pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi yang disyorkan negara.

Selain itu, mereka akan juga menikmati subsidi Skim Bantuan Kesihatan Komuniti (CHAS) yang dipertingkat, di mana harga ubat-ubatan di klinik GP swasta akan setanding dengan harga di poliklinik.

Bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, mereka akan diberi ganjaran di bawah sistem mata Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

LEBIH BANYAK PUSAT JAGAAN WARGA EMAS JELANG 2025

Di samping itu, pusat jagaan warga emas juga akan memainkan peranan lebih luas.

Bilangannya akan dinaikkan daripada 119 sekarang kepada 220 menjelang 2025.

Mereka akan menghubungkan warga emas dengan khidmat penjagaan kesihatan dan memantau kesihatan mereka.

MOH menyatakan ia kini bekerjasama dengan para pemimpin jagaan asas bagi membangunkan 12 protokol jagaan sebagai panduan untuk saringan, vaksinasi dan mengurus penyakit kronik dan lebih banyak lagi pada masa akan datang.

Encik Ong juga menambah bahawa MOH akan menambah bilangan jururawat seiring dengan permintaan yang meningkat bagi khidmat jagaan kesihatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan