Skip to main content

Singapura

Saranan WP bagi sistem COE berdasarkan keperluan bersifat 'subjektif, kurang bermanfaat': Jeffrey Siow

Sistem berasaskan keperluan untuk Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) kelihatan menarik, tetapi bersifat subjektif dan manfaatnya terlalu kecil, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.

Anggaran Waktu Membaca:
Saranan WP bagi sistem COE berdasarkan keperluan bersifat 'subjektif, kurang bermanfaat': Jeffrey Siow

Keadaan trafik di Singapura. (Gambar fail: CNA/Lan Yu)

SINGAPURA: Sistem berasaskan keperluan untuk Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) kelihatan menarik, tetapi bersifat subjektif dan manfaatnya terlalu kecil, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.

Beliau berkata demikian semasa memberikan respons terhadap saranan sistem COE baharu oleh Profesor Madya Jamus Lim (WP-Sengkang) di parlimen pada Isnin (22 Sep).

AP pembangkang itu mencadangkan dalam usul penangguhannya sistem berasaskan diskaun yang disasarkan kepada mereka yang "mendapat manfaat yang tidak seimbang daripada pemilikan kereta peribadi", seperti ibu bapa kepada beberapa anak kecil dan penjaga kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia.

"Keperluan mereka untuk pengangkutan peribadi adalah lebih ketara daripada keperluan rakyat biasa," kata Prof Madya Lim. "Sehubungan itu, mereka akan mendapat manfaat daripada sokongan kewangan yang akan menjadikan kereta lebih mudah diakses oleh mereka."

Pada Julai lalu, Prof Madya Lim menulis di Facebook bahawa sistem COE tidak mengambil kira bagaimana mereka yang mempunyai keperluan sebenar untuk kereta mungkin tidak mampu membelinya.

Catatannya ditujukan sebagai respons terhadap ucapan Menteri Kanan Lee Hsien Loong. Encik Lee kemudian mengulas tentang catatan itu dengan mengatakan bahawa pemerintah Singapura telah memastikan setiap orang mempunyai akses kepada pilihan pengangkutan yang efisien dan dimampui tanpa perlu memiliki kereta, dan bukannya merumitkan sistem COE.
CADANGAN WP

Prof Madya Lim mencadangkan "pendekatan lebih jelas" dalam menangani keperluan kumpulan tertentu, dengan menggunakan diskaun bagi COE mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai dua atau lebih anak, di mana sekurang-kurangnya dua daripadanya mestilah berumur bawah 14 tahun, beliau mencadangkan diskaun 10 peratus untuk setiap anak menjangkaui anak pertama.

Ini bermakna keluarga dengan 2 kanak-kanak berumur 4 dan 7 tahun akan menerima diskaun 10 peratus, manakala sebuah keluarga dengan 3 anak berumur antara 2 dan 13 tahun akan menerima diskaun 20 peratus. Keluarga yang mempunyai anak berumur 5 dan 15 tahun tidak akan menerima sebarang diskaun, begitu juga keluarga anak tunggal.

Beliau juga mencadangkan penjaga utama yang tinggal serumah dengan sama ada kedua-dua ibu bapa berumur 80 tahun ke atas atau seorang daripada ibu bapa yang menghidap penyakit kronik yang memerlukan pemeriksaan perubatan berkala, berhak mendapat diskaun COE sebanyak 10 peratus.

Beliau menarik perhatian bahawa bagi orang kurang upaya, sokongan kewangan bagi COE telahpun disediakan - Skim Orang Kurang Upaya, yang memberikan pengecualian penuh COE untuk orang kurang upaya yang layak.

Beliau menyarankan agar diskaun itu terpakai pada masa pembelian, dan jika kenderaan itu dijual kemudian, manfaat itu hanya akan kekal pada keluarga yang layak mendapat diskaun itu.

"Segmen pembeli yang lebih kecil yang layak mendapat diskaun sedemikian menjadikannya tidak mungkin mereka akan menjejas pasaran dengan ketara," katanya lagi.

Untuk memastikan skim itu adil dan mampan dari segi kewangan, ujian kemampuan boleh digunakan, tambah Prof Madya Lim.

Sebagai contoh, diskaun boleh ditawarkan hanya kepada keluarga di bawah pendapatan median, atau tidak termasuk 20 peratus golongan yang berpendapatan paling tinggi.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita