Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saranan hukuman lebih berat tidak bermakna semua pesalah berisiko tinggi akan ditahan seumur hidup: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Saranan hukuman lebih berat tidak bermakna semua pesalah berisiko tinggi akan ditahan seumur hidup: Shanmugam

Menteri Undang-Undang merangkap Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam bercakap kepada para wartawan pada Isnin lalu (22 Jan) di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). (Gambar: Raydza Rahman/CNA)

Diterbitkan : 29 Jan 2024 10:56PM Dikemas Kini : 29 Jan 2024 11:36PM
SINGAPURA: Saranan bagi pilihan hukuman yang lebih berat bagi pesalah berisiko tinggi boleh menyebabkan penjenayah seperti itu dibebaskan lebih awal, dengan syarat mereka tidak lagi membahayakan orang ramai, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Bercakap kepada para wartwan pada Isnin lalu (22 Jan), Encik Shanmugam cuba menjelaskan beberapa salah faham dan aspek Rang Undang-Undang baharu yang dibentangkan di Parlimen pada awal bulan ini.
Sekiranya Rang Undang-Undang Prosedur Jenayah (Pelbagai Pindaan) diluluskan, pesalah berbahaya yang melakukan jenayah berat - seperti merogol atau pembunuhan tanpa niat - boleh ditahan bagi tempoh masa yang tidak pasti.

Di bawah rejim yang disarankan, mahkamah boleh menjatuhkan Hukuman untuk Perlindungan Awam Dipertingkat - atau SEPP - ke atas pesalah ini. Ia mungkin dalam bentuk hukuman penjara minimum antara lima hingga 20 tahun.

Mereka yang menerima SEPP hanya akan dibebaskan dari penjara jika Menteri Ehwal Dalam Negeri mendapati mereka tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang ramai.

Buat masa ini, pesalah sedemikian mesti dibebaskan secara automatik selepas satu peringkat tertentu tanpa mengira ancaman mereka terhadap orang lain.

BAGAIMANA SEPP BERFUNGSI

Encik Shanmugam juga menyentuh tentang keprihatinan bahawa pesalah yang dijatuhkan hukuman SEPP boleh ditahan seumur hidup, atau sekurang-kurangnya lebih lama daripada hukuman mereka masa ini.

Encik Shanmugam menegaskan bahawa ini bukan "pemahaman yang jelas" tentang cara SEPP berfungsi.

Sesetengah banduan akhirnya mungkin ditahan lebih lama, jika mereka menunjukkan kekurangan pemulihan dan masih menimbulkan risiko yang serius selepas menjalani hukuman minimum mereka. Tetapi ia "juga berkemungkinan" bahawa "ada yang akan ditahan bagi tempoh yang lebih singkat", kata Encik Shanmugam.

Beliau merujuk kepada seorang lelaki yang dijatuhi hukuman penjara selama 29 tahun setengah dan maksimum 24 sebatan pada 11 Jan kerana berulang kali merogol anak saudaranya dalam tempoh empat tahun. Dia turut menyebabkan mangsa mengalami penyakit seksual, mengaibkan tubuh mangsa sehingga dia mengalami gangguan makan, dan diberkas dengan 12,000 imej penderaan seksual kanak-kanak.

Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa jika pesalah seperti itu dibebaskan dan kemudian mendera mangsa lain, "mahkamah akan mengatakan lelaki ini adalah orang jahat dan lebih baik saya memenjarakannya untuk jangka masa yang sangat lama".

“Oleh kerana hakim tidak tahu sama ada (hukuman penjara) 10 tahun sudah cukup, atau lapan tahun sudah cukup, beliau mungkin berkata: Lebih baik saya menjatuhkan hukuman yang lebih panjang berdasarkan penilaian mahkamah terlebih dahulu semasa menjatuhkan hukuman, walaupun penilaian itu mungkin tidak tepat pada masa dia akan dibebaskan.”

Tetapi hakim yang mempunyai pilihan untuk melaksanakan SEPP akan mempunyai "kejelasan yang lebih jelas dan fikiran yang lebih tenang kerana beliau boleh menguatkuasakan apa yang difikirkannya sebagai hukuman yang lebih pendek - sekurang-kurangnya, tempoh minimum tertentu", tambah Encik Shanmugam.

"(Hakim) tidak perlu memilih hukuman yang lebih panjang, kerana mengetahui bahawa pada penghujung tempoh minimum itu, pesalah boleh dibebaskan bergantung kepada sama ada dia sudah pulih atau jika pakar akan menilai sama ada dia masih berisiko," menurut Encik Shanmugam.

"Jika mereka menilai bahawa dia adalah seorang yang berisiko, dia mungkin ditahan lebih lama, dan oleh itu mahkamah mungkin tidak perlu menjatuhkan hukuman lebih panjang terlebih dahulu. Lantaran itu, sebenarnya, ia mungkin memberi peluang kepada mereka untuk dibebaskan lebih awal."
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan