Skip to main content

Singapura

Sarafian Salleh terbitkan buku telusuri 1,000 tahun sejarah SG dalam Alam Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Sep 2026 06:06PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 11:43PM
Sarafian Salleh publishes book tracing 1,000 years of Singapore's history in the Malay world
  • Mr Sarafian Salleh launched the book '1000 Years of Sejarah Melayu in Singapore' at National Library Singapore, highlighting Malay history in this region.
  • The nearly 600-page book combines archaeological evidence, old maps and historical records to prove the existence of the Malay community more than 1,000 years ago.
  • The main aim of writing it is to deepen understanding, instil a sense of pride and provide a reference source for students, researchers and the general public.
  • The book also emphasises Singapore's role in the maritime network of the Malay world and 1,000 copies are being sold through the Tuah Bugis Facebook page.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Sejarah Singapura lazimnya dikaitkan dengan tahun 1819 dan ketibaan Sir Stamford Raffles, selain kisah Sang Nila Utama yang dikatakan menemui Temasek pada kurun ke-13.

Namun, jauh sebelum itu, pulau ini sudah menjadi sebahagian daripada dunia maritim Alam Melayu yang luas, dengan jaringan yang menghubungkan masyarakat, pelabuhan dan kerajaan di seluruh Nusantara selama berabad-abad lamanya.

Kedudukan Singapura dalam jaringan maritim Alam Melayu inilah yang menjadi antara tumpuan utama buku terbaharu berjudul '1000 Years of Sejarah Melayu in Singapore' hasil karya pengkaji warisan tempatan, Encik Sarafian Salleh.

Buku setebal hampir 600 muka surat itu dilancarkan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara, pada Sabtu (12 Sep).

BUKTI ALAM MELAYU SUDAH WUJUD 1,000 TAHUN LALU

Buku hasil Encik Sarafian menelusuri sejarah panjang masyarakat Melayu menerusi pelbagai sumber, termasuk penemuan arkeologi, inskripsi, catatan diraja dan peta-peta lama.

"Apabila kita lihat peta-peta lama, bukti-bukti daripada Eropah, masyarakat Cina dan India, ia memberi kita suatu maklumat bahawa alam Melayu telah wujud 1,000 tahun lalu atau lebih awal lagi," kongsi Encik Sarafian.

"Misalnya bukti daripada peta yang dicatatkan oleh Ptolemy (ahli matematik dan astronomi), bahawa kawasan ini ada bukti kewujudan masyarakat Melayu daripada sebutan 'Melayu Conlon'. Itu catatan 2,000 tahun lalu," tambah beliau.

Bukti sedemikian juga mendorong Encik Sarafian untuk menyelidik dengan lebih mendalam sejarah Alam Melayu, yang dipercayainya menjangkau lebih jauh daripada 1,000 tahun.

"Namun, saya menggunakan 1,000 tahun (iaitu) apabila Rajendra Chola datang ke kawasan ini pada tahun 1,025, itu kira-kira 1,001 tahun lalu di mana beliau mencorak kehidupan kedaulatan kehidupan Melayu di sini," jelasnya.

Satu lagi bukti yang diketengahkan Encik Sarafian ialah ukiran Padang Roco bertarikh 1286 CE, yang mencatatkan pemberian patung Buddha oleh Raja Kertanegara Singhasari di Pulau Jawa kepada Kerajaan Melayu.

Meskipun ukiran itu bertarikh pada abad ke-13, Encik Sarafian menegaskan bahawa ia menunjukkan 'Melayu' ketika itu sudah merupakan sebuah kerajaan yang mantap dan dihormati.

SEMAI RASA BANGGA TERHADAP ALAM MELAYU

Encik Sarafian seterusnya berkata beliau menghasilkan buku '1000 Years of Sejarah Melayu in Singapore' agar ia dapat dimanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar sekolah menengah, mahasiswa possiswazah dan peminat sejarah.

"Ini untuk mereka menggunakan buku saya sebagai landasan membuat kajian mengenai sejarah Singapura dan Asia Tenggara. Buku ini memang saya corakkan agar lebih mudah membaca dan membuat kajian serta menjadi perbahasan untuk masa akan datang," jelasnya.

Related article image
Buku 1000 Years of Sejarah Melayu in Singapore (Gambar: Nurhelmy Hakim)


Menerusi buku itu juga, Encik Sarafian berharap sejarah awal Singapura dapat dilihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya sebagai sebahagian daripada jaringan maritim yang menghubungkan Selat Melaka, Sumatra, Riau, Jawa, Borneo dan Sulawesi.

Meskipun kerajaan silih berganti dan kepentingan pelabuhan berubah mengikut zaman, Encik Sarafian berkata bahawa laut terus menjadi penghubung antara masyarakat di rantau tersebut.

Bahasa, ilmu, adat dan tradisi turut dibawa dan dikongsi apabila masyarakat dari pelbagai bahagian dunia maritim bertemu di Singapura.

"Apa yang saya ingin ketengahkan adalah tradisi kita yang dapat kita banggakan, untuk masa kini dan masa akan datang. Buku ini memberi impak dari segi kisah-kisah sejarah dan menjadi 'time capsule' (khazanah) di mana saya mengumpul fakta-fakta lama dan dibukukan untuk generasi akan datang," kata Encik Sarafian lagi.

Beliau turut berharap bukunya dapat memperdalam pemahaman tentang kedudukan masyarakat Melayu dalam Alam Melayu yang lebih luas.

"Ini akan mewujudkan perasaan mendalam, tradisi dan bangsa Melayu. Kalau kita lihat kawasan ini, ia kawasan alam Melayu, ia bermula dari sini dan menuju ke Afrika, ke Hawaii. Dengan buku ini, dapat menimbulkan semangat kemasyarakatan yang menunjukkan Melayu wujud lebih awal," ujarnya.

Sebanyak 1,000 naskhah buku '1000 Years of Sejarah Melayu in Singapore' diterbitkan dan ia dijual pada harga S$58 senaskhah.

Bagi mereka yang berminat, buku itu boleh didapatkan menerusi akaun Facebook Tuah Bugis.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita