Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sanisah Huri teruja tarikh baru konsert diumumkan, harap dapat ubati rindu peminatnya di Esplanade pada 23 Jul

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Impian para peminat untuk menyaksikan konsert biduanita Sanisah Huri di Dewan Konsert Esplanade akhirnya bakal menjadi kenyataan setelah tarikh baru konsert itu diumumkan.
 
Konsert solo pertama pelantun lagu 'Si Baju Hijau' itu bakal berlangsung pada Sabtu (23 Jul), 8 malam.

Konsert itu awalnya dijadualkan berlangsung pada 2019 namun terpaksa dibatalkan dan ditangguh sebanyak tiga kali. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Konsert 'Sanisah Huri - The Lady in Concert' di Esplanade itu sepatutnya berlangsung pada Jun tahun lalu bersempena dengan acara Pesta Raya 2021. Namun, ia dibatalkan selepas acara-acara terpaksa beralih ke wadah online.

Ia kemudian dijadualkan pada 29 dan 30 Oktober 2021. Sayangnya, ia terpaksa dibatalkan sekali lagi menyusuli langkah-langah pengurusan selamat yang diperketatkan bermula 27 September 2021.

Pada 2019, konsert yang sepatutnya diadakan di Panggung Capitol itu turut dibatalkan akibat masalah pihak pengurusan.

"Saya rasa gembira. Alhamdulillah kerana dapat menghiburkan semula dan bertemu dengan peminat-peminat yang menunggu saya," kata Sanisah Huri.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Meluahkan isi hatinya kepada BERITAmediacorp, penyanyi yang kini mencecah usia 70 tahun itu tidak menafikan 'ketakutannya'  akibat pembatalan sebelum ini. 

Namun, sokongan para peminat menjadi pembakar semangat buat penyanyi bersuara emas itu.

"Sebenarnya memang ada rasa sedikit kecewa jugalah takut tak jadi ke apa kan? Jadi oleh kerana saya ingatkan pada peminat-peminat yang menunggu jadi, saya akan gagahkan juga lah diri saya untuk mengadakan konsert solo pertama saya ini.

"Untuk peminat-peminat. Saya harap peminat-peminat semua faham dan dapat sama-sama meriahkan saya dan menggalakkan saya pada malam itu," tambah Sanisah Huri.

20 LAGU KEGEMARAN PEMINAT BAKAL DIDENDANGKAN

Pada malam konsert nanti, peminat pasti akan terhibur dengan sajian 20 lagu hit bergenre joget, pop, keroncong, asli dan moden.

Lagu-lagu kegemaran Sanisah Huri sendiri termasuk 'Semenjak Berjauhan' dan 'Siapa Gerangan' akan dipersembahkan.

"Sanisah amat menghargai pengiktirafan ini dan konsert ini ditujukan khas untuk peminatnya dan kepada semua yang meminati lagu-lagu beliau," kata Pengarah Konsert dan Pembantu Peribadi, Cik Rusedah Tawahid.

(Cik Aliah Ali dan Sanisah Huri, Gambar: Syawal Yusoff)

Kali terakhir Sanisah Huri membuat persembahan di Esplanade adalah pada 1 Januari 2014 bagi menjayakan konsert 'Aku Dia dan Lagu' sempena meraikan kerjaya penggubah lagu Yusnor Ef. 

"Kami di Esplanade ingin mengiktiraf pengalaman dan lagu-lagunya yang sering didengar di radio untuk peminat yang sudah lama menyokongnya dan mungkin peminat yang baru untuk sama-sama menonton dan memberi semangat kepada Sanisah Huri," kata Pegawai Program di The Esplanade Co Ltd, Cik Aliah Ali. 

Tiket-tiket mula dijual pada 30 Mei dan dalam masa kurang dua minggu, sekitar 50 peratus sudah terjual.

Menurut Esplanade, bayaran tiket-tiket yang sudah dibeli penonton untuk dua konsert yang dibatalkan sebelum ini sudahpun dipulangkan sepenuhnya kepada pembeli.

Harga-harga tiket juga dikekalkan pada S$35 dan S$45.

Berdasarkan sambutan yang disaksikan bagi acara-acara Pesta Raya baru-baru ini, Esplanade memberi jaminan konsert tetap dapat dijalankan.

"Situasi COVID-19 kini stabil. Kami yakin penonton akan datang ke Esplanade untuk konsert ini. Selagi semua berwaspada, kami akan sedaya upaya meneruskan konsert ini pada bulan Julai," tambah Cik Aliah. 

Sanisah Huri berharap konsertnya juga dapat dinikmati bukan sahaja generasi yang membesar dengan lagu-lagunya bahkan juga golongan muda .

"Saya mengharap peminat-peminat saya yang seumur dengan saya bawalah anak-anak itu jadi dengan secara tidak langsung, dapat mempromosikan lagu-lagu tahun-tahun 60an, yang saya nyanyi ini dan juga kawan-kawan saya yang seangkatan dengan saya," tambahnya. 

IDAMKAN LAGU-LAGU KEROHANIAN

Buat masa ini, Sanisah Huri masih lagi bergiat aktif membuat persembahan untuk majlis-majlis tertutup. 

Walaupun banyak menerima tawaran untuk merakamkan lagu-lagu baru, beliau masih mencari karya yang sesuai dan mengharapkan dapat lagu-lagu yang berunsur kerohanian.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Kerjaya Sanisah Huri bermula sejak 1967 apabila disunting penggubah lagu mapan, Allahyarham Kassim Masdor untuk membawakan lagu bagi filem 'A-Go-Go '67'.

Bakat anak kelahiran Singapura itu cukup menyerlah dan beliau mula menjadi artis rakaman.

Sepanjang lima dekad dalam industri muzik, Sanisah Huri sudah merakamkan lebih daripada 120 lagu yang masih berkumandang sehingga ke hari ini.

Bahkan, lagu-lagu rayanya seperti 'Bersabarlah Sayang' dan 'Aidilfitri' antara lagu wajib setiap musim perayaan.

Bagi mendapatkan tiket bagi konsert beliau, orang rami boleh ke laman SISTIC.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan