Skip to main content

Singapura

Sanggup tunggu tiga jam temankan penumpang bagi rawatan di IMH, pemandu Gojek diiktiraf

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 632 kakitangan perkhidmatan dalam industri pengangkutan menerima anugerah di majlis penyampaian Anugerah Baik Budi Kebangsaan - Pengangkutan Emas pada Jumaat (2 Dis).

Jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak ia diperkenalkan pada tahun 1999.

Tahun ini juga, 27 individu dipilih untuk menerima Anugerah Cemerlang atas khidmat mereka yang boleh dijadikan teladan.


(Gambar: Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM))

Anugerah yang diadakan buat kali ke-23 itu merupakan hasil kerjasama antara Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dengan semua pengendali dan persatuan pengangkutan awam.

Ia mengiktiraf para kakitangan perkhidmatan dalam industri pengangkutan awam yang menyediakan khidmat cemerlang yang boleh dicontohi dan kelakuan berbudi baik semasa bertugas.

Para pemenang dibahagikan kepada enam kategori iaitu Operasi Automatif dan Kejuruteraan, Operasi Bas, Operasi Perkhidmatan Pelanggan, Operasi Teksi dan Operasi Kenderaan Privet.


(Gambar: Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM))

Anugerah-anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pengangkutan, S Iswaran di majlis yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Dalam ucapannya, Encik Iswaran menekankan tentang pentingnya perkhidmatan yang baik bagi sebuah sistem pengangkutan yang cemerlang.

"Ia bukan sahaja tentang betapa baiknya infrastruktur kita tetapi dedikasi dan khidmat baik para pekerja pengangkutan kita yang menjadikan sistem pengangkutan Singapura selamat, boleh dipercayai, mudah digunakan dan baik," ucap Encik Iswaran.

"Ia adalah penting untuk kita meraikan kelakuan berbudi ini kerana amat mudah untuk menganggap ianya sebagai satu perkara biasa. Apabila seseorang lakukan perkara yang baik untuk kita, kita akan rasa lebih terdorong untuk berbudi kepada orang lain. Hanya apabila kita bersama untuk ambil berat sesama sendiri, baru kita dapat wujudkan lebih meluas budaya berbudi baik dan saling menjaga satu sama lain dalam kalangan rakyat Singapura," tambah beliau.

LIMA KALI DIIKTIRAF DENGAN ANUGERAH CEMERLANG

Encik Iswaran juga memberi beberapa contoh dan pujian serta penghargaannya buat beberapa pemenang termasuk penerima Anugerah Cemerlang tahun ini iaitu Siti Nur Azimah Edris.

Ini bukan pertama kali Pegawai Perkhidmatan Pelanggan dari syarikat Transit Link yang berusia 29 tahun itu memenangi anugerah tersebut.

Beliau pernah diiktiraf sebanyak empat kali sebelum ini.


(Gambar: Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM))

Bagi Cik Siti, perbuatan baik kepada para penumpang merupakan perkara lazim baginya kerana menganggap mereka seperti saudara sendiri.

"Membantu orang seperti membantu keluarga saya sendiri. Membantu mereka lagi membuatkan saya bahagia dan gembira," kongsi Cik Siti.

BANTU WARGA EMAS WALAUPUN SYIF KERJA BELUM BERMULA

Awal tahun ini, Cik Siti membantu seorang warga emas yang terjatuh dan mengalami kecederaan di kepala di Pusat Pertukaran Bas Hougang.

Selepas mendapat tahu tentang kejadian itu, beliau bergegas ke tempat kejadian untuk membantu dan menjaga warga emas itu sehingga paramedik dan ambulans tiba.

Ini meskipun waktu kerjanya belum bermula lagi.

"Bagi saya, menolong sebelum syif adalah sama seperti (semasa) bekerja. Saya menolong sebab saya tahu dia memerlukan pertolongan dan saya membantu seperti mana yang perlu dan seperti mana yang boleh," ujar Cik Siti.

Pegawai perkhidmatan pelanggan itu yang sudah berkhidmat selama tujuh tahun bersama Transit Link berharap anugerah itu boleh memberi inspirasi pada semua.

"Saya berharap dengan anugerah ini, saya boleh membuatkan (ramai) orang lagi lebih berbudi bahasa dengan masyarakat di luar," kata Cik Siti.

PEMANDU GOJEK BANTU 4 PENUMPANG DAPATKAN RAWATAN DI IMH


(Gambar: Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM))

Turut menerima Anugerah Cemerlang itu ialah pemandu kereta sewa privet Gojek Singapura, Khairiah Hanim Mazlan.

Beliau menerima anugerah itu dalam kategori Operasi Teksi atas sumbangannya.

"Alhamdulillah, ini adalah inspirasi baik jika kita menerima anugerah ini. Ia seperti memberi kita motivasi dalam hidup," kongsi Cik Khairiah.

"Kadang-kadang kita buat kebaikan, orang tidak tahu kebaikan kita tetapi ini adalah satu petanda yang ada ramai orang yang sebenarnya melihat kebaikan kita dan diiktiraf sebagai (penerima) anugerah ini, Alhamdulillah, ia adalah satu rahmat," tambahnya lagi.

Dalam tempoh empat tahun berkhidmat, Cik Khairiah pernah memujuk empat penumpangnya yang mempunyai kecenderungan dan terfikir ingin bunuh diri, untuk dapatkan bantuan di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Dalam satu kejadian pada 2020 misalnya, beliau sanggup menunggu hingga tiga jam di jabatan kecemasan IMH bersama seorang penumpang yang resah kerana teman lelakinya ingin menyebarkan gambar lucahnya.

Cik Khairiah memujuknya untuk mendapatkan bantuan di IMH dan menemaninya sehingga beliau berjumpa dengan doktor.

"Dalam konteks kehidupan zaman sekarang, banyak orang yang menghidap penyakit mental tetapi ada yang diketahui, ada yang tak diketahui jadi sebagai seorang manusia, kalau kita dapat lihat kehidupan orang itu ada masalah, kita cuba bertanya. Tak ada salahnya kita bertanya," ujar Cik Khairiah.

HAPUSKAN STIGMA PADA MEREKA YANG DAPATKAN BANTUAN DI IMH

Beliau menambah bahawa ia juga satu cara untuk memberi keselesaan kepada orang itu untuk berbual.

"Jangan berikan mereka stigma dalam kehidupan sebab pada (sesetengah) orang, pergi IMH itu adalah satu stigma tetapi untuk diri saya, untuk kebaikan awak, untuk kehidupan awak, untuk masa depan awak, pergi dapatkan rawatan segera," menurut Cik Khairiah.

Bagi dirinya, seorang pemandu itu bukan sekadar menyediakan perkhidmatan untuk memandu seseorang dari satu lokasi ke destinasi mereka.

"Mungkin bagi ramai, kita sebagai pemandu adalah seseorang yang (hanya) membawa penumpang dari satu lokasi ke satu lokasi tetapi bagi diri saya, dalam perjalanan itu mungkin kita dapat membantu seseorang," ujar pemandu yang berusia 44 tahun itu.

"Kadang-kadang kita tak nak berbual dengan orang sebab kita takut akan melukakan hati orang itu tetapi bagi saya, kalau orang itu selesa berbual, kita berbincang. Insya-Allah semuanya okey," tambah beliau.

Anugerah yang diterima itu diharap dapat menjadi inspirasi bagi para pemandu yang lain.

Lebih 7,500 pemandu dan kakitangan berbudi dalam industri pengangkutan awam sudah diiktiraf sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1999.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita