Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Sangat sedar tentang tanggungjawab besar yang perlu digalas': Heng Swee Keat tentang pelantikannya

Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata hari ini (23 Nov) bahawa beliau sangat sedar tentang tanggungjawab besar yang perlu digalas sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Anggaran Waktu Membaca:
'Sangat sedar tentang tanggungjawab besar yang perlu digalas': Heng Swee Keat tentang pelantikannya

Encik Heng Swee Keat dan Encik Chan Chun Sing di sidang media hari ini. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 23 Nov 2018 08:26PM Dikemas Kini : 23 Nov 2018 08:29PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata hari ini (23 Nov) bahawa beliau sangat sedar tentang tanggungjawab besar yang perlu digalas sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Menyandang jawatan itu dilihat sebagai satu isyarat bahawa beliau mungkin mendahului dalam proses memilih Perdana Menteri Keempat Singapura.

Encik Heng mengatakan bahawa beliau akan mencuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawabnya dengan bantuan Penolong Setiausaha Agung Kedua, Chan Chun Sing.

"Para menteri lebih muda sudah memilih saya sebagai ketua mereka dan saya menerimanya. Ia satu penghormatan bagi saya untuk berkhidmat (kepada negara)," kata Encik Heng dalam sidang media hari ini (23 Nov).

"Saya sangat tahu tentang tanggungjawab besar yang perlu saya galas, memimpin dan memerintah Singapura tugas yang sangat besar dan kompleks," tambahnya.

"Tidak ada sesiapa yang akan dapat melakukannya sendirian. Mendiang Lee Kuan Yew juga tidak akan dapat melakukannya tanpa rakan-rakan seperjuang yang berkaliber dan cekal hati. Saya gembira mendapat sokongan pasukan yang kukuh."

Encik Heng menekankan bahawa sementara "ada perhatian" yang tertumpu kepada siapa yang bakal mengambil alih Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mempunyai satu pasukan yang kukuh dan bersatu dalam Kabinet juga sama penting.

"Pasukan kami mempunyai kekuatan dalam bidang-bidang yang berbeza-beza mahupun kemahiran bagi menangani pelbagai cabaran luar dan dalam negeri. Berdasarkan pengalaman kami selepas bekerjasama selama beberapa tahun ini, saya yakin kami akan terus bergabung tenaga bagi memajukan Singapura dan mempertingkat kehidupan rakyatnya," kata beliau.

Apabila ditanya tentang kesihatannya, Encik Heng, yang terkena serangan angin ahmar pada 2016, berkata beliau sudah "benar-benar pulih" dan para doktor sudah mengesahkan itu.

"Saya tidak akan bersetuju dengan pelantikan ini jika saya tidak yakin kesihatan saya membolehkan saya untuk melakukan itu.

"Saya setuju dengan pelantikan ini selepas memikirkannya dengan betul, khususnya sama ada kesihatan saya membolehkan saya untuk melakukan itu," tambahnya.

"Insiden itu mengukuhkan lagi iltizam saya untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura." 

Sumber : CNA/AQ/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa