Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Sangat penting' bagi AS terus terlibat dengan Asia, kata PM Lee kepada Speaker Pelosi

Anggaran Waktu Membaca:
'Sangat penting' bagi AS terus terlibat dengan Asia, kata PM Lee kepada Speaker Pelosi

PM Lee bersama Speaker Dewan AS Nancy Pelosi di Bangunan Capitol, Washington. (Gambar: CNA/ Jeremy Long)

WASHINGTON: "Sangat penting" bagi Amerika Syarikat (AS) untuk terus terlibat dan mendampingi negara-negara dalam Asia Pasifik, sambil membangun dan mengembangkan hubungan ekonominya dengan rantau itu.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (30 Mac) ketika menghadiri mesyuarat kepimpinan politik di Bangunan Capitol, Washington.

Dalam ucapan ringkasnya, PM Lee yang diiringi Speaker Dewan AS Nancy Pelosi, menekankan Strategi Ekonomi Indo Pasifik Amerika dan khususnya, Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik yang akan datang.

"Kami berharap dapat melihatnya membuahkan hasil pada tahun-tahun akan datang," kata PM Lee, yang sedang melakukan lawatan kerja ke AS hingga 2 April.

Beliau juga berkata keselamatan di rantau Asia Pasifik adalah "penting bagi kestabilan dan kemakmuran" di rantau itu dan AS adalah "sebahagian besar daripada usaha ini".

PM Lee menarik perhatian bahawa Singapura dan AS berkongsi "hubungan yang kukuh dan berkekalan", serta "saling menguntungkan", yang merentasi banyak bidang seperti ekonomi dan keselamatan.

Singapura juga "sangat berbesar hati atas sokongan-sokongan bipartisan yang sudah lama wujud" dari Kongres AS, tambahnya. Beliau menukil Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA) yang menamakan Singapura sebagai rakan kerjasama keselamatan utama AS.

“Kami berharap untuk terus membangun dan mengembangkan hubungan serta meneroka bidang kerjasama baru,” kata Encik Lee.

Ini termasuk dalam bidang perubahan iklim, keselamatan siber, pembangunan prasarana dan khususnya projek infrastruktur mampan, serta kerjasama berkaitan dengan pertumbuhan dan daya inovasi.

Cik Pelosi, yang dijadual melawat Singapura tidak lama lagi, berkata hubungan AS dan Singapura adalah "sangat penting".

“Oleh itu, kami menantikan perbincangan tentang keselamatan bersama kami, tentang peluang dan pembangunan ekonomi kami dan… cara kami menangani krisis iklim… dalam undang-undang berdasarkan peraturan, (dan) hubungan Indo Pasifik,” tambahnya.

Seramai 12 penggubal dasar AS dari kedua-dua parti, seperti ketua Majoriti Dewan Steny Hoyer, ketua wakil Republican Kevin McCarthy, menghadiri mesyuarat pada Rabu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan setiausaha akhbar PM Lee, Chang Li Lin selepas mesyuarat itu menyatakan: “Ahli Kongres meluahkan sokongan padu terhadap hubungan dua hala yang teguh dan pelbagai antara Singapura dengan AS.

"Mereka juga mengesahkan status unik Singapura sebagai satu-satunya rakan kerjasama keselamatan utama AS."

Pada mesyuarat itu, PM Lee dan penggubal undang-undang AS juga bertukar pandangan mengenai perkembangan antarabangsa dan serantau, termasuk perang di Ukraine.

"Kedua-dua pihak bersetuju tentang pentingnya undang-undang antarabangsa yang stabil dan berasaskan peraturan," kata Cik Chang.

PM Lee juga bertemu Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan di hotel Four Seasons di Washington.

Dalam satu kenyataan berasingan, Cik Chang berkata PM Lee mengadakan "perbincangan meluas" dengan Encik Sullivan mengenai hubungan dua hala, perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk krisis di Ukraine.

“PM Lee mengalu-alukan komitmen AS untuk mengukuhkan pelibatannya di rantau ini dan ASEAN, termasuk melalui Rangka Kerja Ekonomi Indo Pasifik. PM Lee menantikan Sidang Puncak ASEAN- AS yang akan datang di mana Presiden Biden akan menjadi tuan rumah di Washington DC," tambahnya.

PM Lee juga mengadakan pertemuan berasingan dengan Pengerusi Rizab Persekutuan AS,Encik Jerome Powell,pada petang Rabu, menggulung lawatannya ke Washington di mana beliau juga bertemu Presiden AS Joe Biden, Naib Presiden AS Kamala Harris dan pegawai-pegawai AS yang lain.

Encik Lee dijadual bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, serta pemimpin industri dan sektor kewangan di New York.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan