Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Sangat mencabar' untuk tangani ibu bapa jangkakan respons segera kepada kiriman mesej, kata guru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kebanyakan ibu bapa munasabah dan tidak menjangkakan guru-guru untuk memberi respons segera selepas waktu sekolah. Namun, ada segelintir yang menanyakan "soalan remeh" dan berasa cemas apabila mereka tidak menerima kiriman balas, kata guru.

Rabu lalu (18 Sep), Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata guru tidak seharusnya dijangka untuk membalas kiriman mesej berkaitan kerja di luar waktu sekolah.

Bagi menetapkan "batasan" jangkaan untuk komunikasi, menteri pendidikan berkata bahawa guru perlu menggunakan emel rasmi dan nombor telefon pejabat apabila menghubungi ibu bapa.

"Saya tidak menjangkakan anda untuk berkongsi nombor telefon peribadi dengan ibu bapa. Saya tidak mahu anda menjadikannya tabiat untuk dihubungi sepanjang hari," katanya di Seminar Pelan Kerja Sekolah yang diadakan setiap tahun.

Sebilangan guru memberitahu Mediacorp bahawa mereka gembira mendengar Encik Chan membentangkan batasan, namun tidak pasti bahawa ia boleh dilaksanakan.

Nama-nama guru yang dihubungi dalam laporan ini diubah atas permintaan mereka kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Zara, seorang guru sekolah rendah dengan lebih 20 tahun pengalaman, sedang berada di sebuah majlis persandingan hujung minggu lalu apabila dihubungi oleh ibu bapa seorang pelajar yang meminta kata laluan bagi portal Ruang Pembelajaran Pelajar.

Guru tidak mengetahui kata laluan pelajar, namun ibu bapa tidak mengetahuinya, kata Zara.

Ibu bapa pelajar sekolah rendah "mudah rasa gemuruh" dan ingin menyelesaikan isu segera walaupun isu berkenaan "tidak begitu penting", tambahnya.

"Mereka sering berfikiran bahawa keperluan anak-anak mereka penting. Mereka kadangkala lupa bahawa guru mempunyai kehidupan sendiri selepas sekolah."

"Dan jika anda tidak membalas kiriman mesej mereka, mereka benar-benar berfikiran bahawa anda seorang guru yang tidak menghiraukan keprihatinan mereka," kata Zara, sambil menambah bahawa segelintir ibu bapa mempunyai kumpulan sembang di mana mereka bercakap atau mengadu tentang guru-guru.

Melainkan kecemasan yang sebenar, seperti jika seorang kanak-kanak itu hilang atau cedera, tiada istilah seperti "tidak boleh menunggu sehingga hari esok", tambahnya.

Guru-guru boleh saling menghantar kiriman mesej dengan ibu bapa menerusi aplikasi seperti ClassDojo, tetapi jika mereka perlu berbicara dengan ibu bapa, ia sering lebih mudah untuk menggunakan telefon bimbit berbanding telefon di pejabat. Menerusi cara itulah ibu bapa akan menyimpan nombor telefon peribadi para guru, kata mereka.

Penelope, seorang guru sekolah menengah, berasa kecewa dengan kurangnya pengumuman yang lebih kukuh mengenai garis panduan komunikasi.

Di sekolahnya, pemimpin sekolah sudahpun memberitahu ibu bapa bahawa guru hanya bertugas sehingga jam 5.00 atau 6.00 petang. Mereka juga meminta agar ibu bapa tidak menghubungi kakitangan di luar waktu bekerja atau untuk menghormati keputusan mereka jika memilih untuk tidak memberi nombor telefon pribadi.

"Sebenarnya, di kebanyakan sekolah, akan ada tahap tertentu (ini), atau garis panduan ini sudah pun dilaksanakan," kata Penelope.

"Ia hanya sama ada ia sesuatu yang benar-benar diamalkan."
SEBILANGAN BESAR MEMAHAMI, SEGELINTIR SAHAJA YANG MENCABAR

Kesemua guru yang dihubungi CNA menekankan bahawa sebilangan besar ibu bapa memahami keadaan dan ada yang meminta maaf kerana menghubungi mereka selepas waktu sekolah, namun ada segelintir yang tidak munasabah dan "sangat mencabar" untuk ditangani.

Pelajar yang lebih dewasa merupakan sebilangan besar daripada mereka yang menghubungi guru selepas waktu sekolah. Terutama sekali setelah pandemik COVID-19, kumpulan sembang WhatsApp kelas yang dibuat oleh para guru kini semakin menjadi kebiasaan, kata Penelope.

Pelajar juga mempunyai nombor telefon peribadinya bagi kecemasan, tambahnya.

"Jika mereka tidak mendapat kiriman balas segera, mereka menjadi kecewa dan ia diheboh-hebohkan. Namun seringkali kami tidak boleh memberikan respons segera kepada terlalu ramai pelajar dalam satu waktu."

Seorang lagi guru, Timothy, berkata dia tidak membalas setiap mesej yang dihantar di luar waktu sekolah.

Sebagai contoh, jika ibu bapa bimbang tentang kemungkinan buli atau mempunyai kebimbangan kesihatan dan keselamatan, guru sekolah rendah akan bertindak balas dengan cepat untuk memberitahu mereka bahawa dia akan membuat langkah susulan mengenai kejadian itu pada hari berikutnya.

Walaupun dia tidak menemui ibu bapa yang "jahat", ada yang meminta untuk menghubunginya pada hujung minggu atau pada waktu malam pada hari bekerja kerana mereka hanya mempunyai masa lapang pada masa itu.

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, beliau memerhatikan bahawa lebih ramai ibu bapa kini bekerja sepenuh masa dengan masa yang "tidak fleksibel".

"Saya merasakan bahawa dasar itu mungkin hanya berfungsi di atas kertas, tetapi di lapangan, ia mungkin tidak berkesan kerana atas sebab-sebab lain yang guru dan ibu bapa sendiri tidak dapat kawal."

Daripada menghubungi guru dengan pertanyaan mereka, ibu bapa boleh menyemak buku panduan pelajar anak mereka, platform 'Parents Gateway', ataupun laman web sekolah terlebih dahulu, katanya.

"Ibu bapa sentiasa boleh merujuk kepada sumber ini sebelum mereka menghubungi guru dan bukannya memudahkan keadaan mereka sendiri dengan menghubungi guru untuk segala-galanya."

Menteri Pendidikan Encik Chan juga berkata pada hari Rabu bahawa menjelang akhir tahun depan, ibu bapa boleh menyerahkan sijil perubatan anak mereka pada aplikasi Parents Gateway dan bukan menghantarnya kepada guru.

Ini akan mengurangkan jumlah kerja pentadbiran yang diperlukan untuk mencatat sijil perubatan pelajar atau surat ibu bapa secara manual apabila mereka tidak hadir, kata Matilda, seorang guru sekolah menengah.

MESEJ DARIPADA KERJA

Matilda, yang mempunyai telefon khas buat kerja sejak dia menjadi guru, berkata "boleh menjadi sangat menjengkelkan" untuk menangani ibu bapa atau pelajar yang menghantar mesej kepadanya selepas waktu sekolah.

Salah seorang rakan sekerjanya dihubungi oleh ibu bapa yang akan menghantar mesej kepada mereka pada pukul 6.00 petang, kemudian hantarkan mesej susulan pada pukul 9.00 malam dan akhirnya menghantarkan siri tanda tanya pada pukul 7.00 pagi keesokan harinya jika mereka tidak menerima jawapan, katanya.

Guru sekolah menengah itu cuba untuk tidak memeriksa telefon kerjanya selepas dia tiba di rumah pada sekitar jam 7.00 malam.

Pada masa lain, "panggilan datang dari tempat kerja", kata Matilda. Ramai guru menerima mesej daripada rakan sekerja, penyelia dan pemimpin sekolah selepas waktu bekerja.

Dia mendapati bahawa ia lebih mudah untuk berurusan dengan pelajarnya atau ibu bapa mereka kerana mereka kebanyakannya tidak mengharapkan kiriman balas segera, tetapi untuk tidak memberi respons kepada rakan sekerjanya di luar waktu kerja adalah "perjuangan peribadi".

Namun, mungkin sukar untuk tidak menghiraukan mesej daripada penyelia walaupun selepas waktu kerja, kata Naomi yang mengajar di sebuah sekolah pendidikan khas. "Saya telah mendengar daripada rakan saya, di sekolah mereka, jika mereka tidak membalas mesej, ia akan menjejas reviu kerja mereka."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan