Sandbox Somerset beri peluang usahawan muda pelajari dunia perniagaan
Belia yang ingin memulakan perniagaan sendiri kini mempunyai platform untuk mendapat bimbingan daripada usahawan muda yang berjaya.

(Gambar: Syawal Yusoff)
SINGAPURA: Belia yang ingin memulakan perniagaan sendiri kini mempunyai platform untuk mendapat bimbingan daripada usahawan muda yang berjaya.
Inisiatif Sandbox Somerset yang dilancarkan pada Jumaat (25 Nov) memberi mereka peluang untuk mempelajari selok belok menjalankan perniagaan daripada lebih 100 usahawan dari industri kreatif, runcit dan makanan dan minuman (F&B).
Antaranya ialah Cik Riefa Shikin, 25 tahun daripada 'Motor Folks'.
Beliau nekad berhenti kerja untuk memulakan perniagaan aiskrim gelato halal di tengah-tengah pandemik pada tahun lalu.
Perniagaan yang dimulakan secara online bersama suaminya itu, kini semakin rancak.
Beliau kini memasarkan produk di pelbagai acara 'pop-up' dan berharap dapat membuka kedai fizikal dalam masa terdekat.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Bila kita bermula perniagaan ini, pertama sekali kita nak buka kedai. Tapi cabaran yang terutama sekali ialah sewa di Singapura 'tidak boleh dibuat bincang'.
"Perniagaan ini tidak ada masa yang tepat. Untuk saya, anda perlu lakukannya apabila anda fikirkan tentang ia terlalu banyak, anda lakukan saja," kata Cik Riefa.
CEPAT BANGKIT DARIPADA KESAN COVID-19
Pengasas sebuah syarikat kreatif dan pemasaran digital DANAMIC, Muhammad Danish Muhammad Imran, 27 tahun, pula terjejas teruk sewaktu pandemik COVID-19.
"Banyak projek dibatalkan untuk selama enam hingga lapan. Jadi kita kena beralih. Apa yang kita buat macam penerbitan video, kita buat penstriman secara langsung," kata Encik Danish, yang menubuhkan syarikatnya pada 2018.
Berpegang pada prinsip tidak mudah kalah antara sebab Encik Danish dapat bangkit semula.
"Kita perlu berfikir dengan cepat, belajar dengan cepat dan gagal dengan cepat. Tetapi saya rasa itulah cara kita berjaya bertahan," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Cik Riefa dan Encik Danish dalam kalangan 100 usahawan muda yang diundang untuk berkongsi pengalaman memulakan dan menjalankan perniagaan untuk inisiatif Sandbox Somerset.
Ia juga wadah bagi para usahawan seperti mereka untuk belajar daripada peniaga-peniaga lain.
"Memang bagus kerana boleh jumpa dengan pengasas-pengasas yang lain, saya rasa macam perniagaan itu lebih daripada menjual barangan. Kita kena buat kawan, kita kena jalin hubungan dengan perniagaan-perniagaan lain jadi kita boleh naik sama-sama," kata Raimy Ismail, 29 tahun, pengasas Sinful Cakes.
(Gambar: Syawal Yusoff)
INSPIRASI BUAT GENERASI SETERUSNYA
Penganjurnya berharap, semangat dan kegigihan usahawan muda itu dapat dijadikan sumber inspirasi.
"Kami harap ini akan menjadi wadah untuk memperkasakan mereka menerusi perkongsian tertentu dikongsi, peluang bimbingan, serta geran dan peluang yang disediakan oleh kurator kami. Dan akhir sekali, saya harap 100 pengasas ini akan menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya," kata penganjur bersama acara, dan juga Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif, Invade, Encik Kent Teo.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Pelbagai gerai menjual barangan, makanan dan persembahan juga disediakan sepanjang acara.
Sandbox Somerset dianjurkan syarikat Invade, dengan kerjasama Somerset Belt Office, di bawah Majlis Belia Kebangsaan (NYC).
Acara berlangsung dari 25 hingga 27 November dan hingga 4 Disember, 2 petang hingga 9 malam, di Taman Belia Somerset.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.