Skip to main content

Singapura

Samwoh Corporation didakwa atas kerja saliran haram; punca banjir teruk di Pasir Ris

Sebuah syarikat binaan didakwa atas kerja-kerja saliran tidak diluluskan yang menyebabkan banjir buruk di sebuah persimpangan lalu lintas di Pasir Ris pada Ogos lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Samwoh Corporation didakwa atas kerja saliran haram; punca banjir teruk di Pasir Ris

(Gambar: Facebook/Dan Chong)

Diterbitkan : 10 Nov 2021 07:09PM Dikemas Kini : 10 Nov 2021 07:10PM

SINGAPURA: Sebuah syarikat binaan didakwa atas kerja-kerja saliran tidak diluluskan yang menyebabkan banjir buruk di sebuah persimpangan lalu lintas di Pasir Ris pada Ogos lalu.

Banjir itu menjadi tajuk berita setelah lima orang memerlukan bantuan untuk diselamatkan dan sekurang-kurangnya 13 kenderaan dinaiki air bah di persimpangan antara Tampines Avenue 10 dengan Pasir Ris Drive 12.

Pada Selasa (9 Nov), Samwoh Corporation dikenakan tiga tuduhan kerana mengubah longkang, menyekat sistem saliran air hujan dan membina bukaan longkang tanpa mendapatkan kelulusan yang sewajarnya atau sijil untuk berbuat demikian.

Syarikat itu dituduh mengubah sebuah longkang di Tampines Avenue 10, antara Tampines Avenue 5 dengan Tampines Link dengan menghapuskan sebuah longkang sedia ada seluas 1.8 meter dan sedalam 4 meter. Syarikat itu dipercayai menggantikan longkang itu dengan membina sebuah lagi longkang lebih cetek yang hanya sedalam 3 meter pada sekitar 20 Ogos lalu.

Samwoh juga dituduh menyekat sistem saliran air hujan dengan meletakkan perancah untuk membina longkang baru itu.

Sekalipun selepas longkang itu dibina, syarikat itu dipercayai masih meletakkan perancah di dalamnya.

Samwoh juga dituduh membina dua bukaan longkang untuk menyalurkan air hujan dari longkang baru ke longkang lama tanpa mendapatkan kelulusan. Salah satu daripada bukaan longkang itu adalah terlalu kecil manakala satu lagi belum selesai dibina, justeru menjejas sistem saliran air hujan di Tampines Avenue 10.

Jika sabit kesalahan melakukan kerja-kerja saliran tanpa kebenaran, Samwoh boleh didenda sehingga S$50,000. Denda maksimum bagi kesalahan mengubah sistem saliran air hujan tanpa kelulusan dan menyekat pengaliran sistem sedemikian tanpa kebenaran adalah S$20,000.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita