Skip to main content

Singapura

Samuel Tan raih pingat pertama SG dalam pembinaan digital di WorldSkills

Latihan selama lebih 1,000 jam dalam tempoh sekitar lima bulan. Itulah persiapan yang dilalui Samuel Tan, 20 tahun, sebelum graduan reka bentuk dari Politeknik Ngee Ann (NP) itu meraih gangsa dalam acara pembinaan digital di pertandingan WorldSkills 2026 di Shanghai.

Anggaran Waktu Membaca:
Samuel Tan raih pingat pertama SG dalam pembinaan digital di WorldSkills

Samuel Tan dari Singapura (kanan) meraikan kejayaannya meraih gangsa dalam acara pembinaan digital di WorldSkills Competition 2026 di Shanghai. (Gambar: WorldSkills International)

Diterbitkan : 30 Sep 2026 08:25PM
  • Samuel Tan, graduan reka bentuk Politeknik Ngee Ann berusia 20 tahun, meraih gangsa pembinaan digital di WorldSkills 2026 Shanghai selepas lebih 1,000 jam latihan dalam kira-kira lima bulan.
  • Kemenangan itu menjadi pingat pertama Singapura dalam kategori tersebut, ketika pasukan negara mencatat rekod terbaik dengan 27 anugerah daripada 34 belia dalam 31 bidang kemahiran.
  • Latihan Tan melibatkan firma seni bina, projek sebenar dan bimbingan individu, manakala pembinaan digital menilai penggunaan BIM untuk model bangunan, data komponen dan percanggahan reka bentuk.
  • Song Yu Chuan berkata permintaan kemahiran digital semakin tinggi, sejajar usaha industri dan pendidikan, sementara Tan mahu meneroka BIM untuk pembangunan bandar bijak.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Latihan selama lebih 1,000 jam dalam tempoh sekitar lima bulan.

Itulah persiapan yang dilalui Samuel Tan, 20 tahun, sebelum graduan reka bentuk dari Politeknik Ngee Ann (NP) itu meraih gangsa dalam acara pembinaan digital di pertandingan WorldSkills 2026 di Shanghai.

Kejayaan tersebut merupakan pingat pertama Singapura dalam kategori itu.

Ia turut diraih sedang Singapura mencatat pencapaian terbaiknya dalam pertandingan dwitahunan tersebut, yang menghimpunkan golongan muda dari seluruh dunia untuk bersaing dalam pelbagai kemahiran vokasional dan teknikal.

Pasukan Singapura membawa pulang empat pingat perak, empat gangsa dan 19 Pingat Kecemerlangan.

Jumlah keseluruhan 27 anugerah itu mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 22 yang dicatat di Kazan, Rusia pada 2019.

Singapura menghantar 34 belia untuk bersaing dalam 31 bidang kemahiran pada pertandingan dari 22 hingga 27 September itu.

Lebih 1,400 peserta dari lebih 70 negara dan wilayah mengambil bahagian.

LATIHAN LEBIH 1,000 JAM

Pembinaan digital melibatkan penggunaan teknologi untuk menghasil dan menguruskan maklumat sepanjang sesebuah projek pembinaan.

Para peserta antara lain dinilai berdasarkan keupayaan memahami keperluan pelanggan, menghasilkan model digital bangunan serta mengenal pasti kemungkinan percanggahan dalam reka bentuk.

Encik Tan, yang mengambil pengkhususan dalam seni bina di NP, menjalani sebahagian latihannya bersama firma-firma seni bina.

Di situ, beliau berpeluang terlibat dalam projek sebenar dan menangani masalah yang timbul sepanjang proses tersebut.

Beliau turut menjalani sesi latihan secara individu bersama pembimbingnya.

"Bahagian paling sukar adalah untuk kekal konsisten, melakukan perkara ini hari demi hari," katanya kepada program Singapore Tonight CNA pada Selasa (29 Sep).

"Setiap hari, sentiasa ada sesuatu yang boleh diperbaiki, jurang pengetahuan yang perlu diisi. Jadi, saya sentiasa berusaha mencari kelemahan diri."

Namun, latihan bersama pihak industri memperkukuh keyakinannya menjelang pertandingan tersebut.

PEMBINAAN DIGITAL SEPERTI MEMBINA LEGO

Antara teknologi utama dalam pembinaan digital ialah Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

Berbeza daripada sekadar menghasilkan lukisan sesebuah bangunan, BIM menghasilkan model tiga dimensi yang mengandungi maklumat mengenai pelbagai komponen bangunan.

Maklumat tersebut boleh digunakan dan dikemas kini oleh pihak-pihak yang terlibat dalam sesebuah projek pembinaan.

Encik Tan menyamakannya dengan membina model menggunakan Lego.

"Setiap bongkah mempunyai data di sebaliknya. Tugas anda adalah untuk mencantumkan bongkah-bongkah itu supaya ia masuk akal," katanya.

Ini termasuk mengambil kira pelbagai bahagian bangunan, daripada struktur hingga komponen mekanikalnya.

PERMINTAAN BAGI KEMAHIRAN DIGITAL

Singapura pertama kali bertanding dalam acara pembinaan digital pada Edisi Khas pertandingan WorldSkills 2022 tetapi tidak meraih pingat dalam kategori tersebut.

Pakar WorldSkills bagi pembinaan digital dan pengurus di Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran NP, Song Yu Chuan, berkata usaha Singapura menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan sektor pembinaan turut disertai usaha institusi pendidikan mempersiapkan para pelajar dalam bidang tersebut.

"Kami banyak memberi tumpuan kepada reka bentuk, tetapi terdapat permintaan tinggi bagi kemahiran digital," katanya.

Menurut Encik Song, perkembangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini sejajar dengan keperluan industri, sekali gus menghasilkan kelompok bakat tempatan yang lebih kukuh.

Bidang pembinaan digital juga terus berkembang dengan penggunaan reka bentuk pengkomputeran dan kecerdasan buatan (AI).

DARI SEBUAH BANGUNAN KEPADA BANDAR BIJAK

Bagi Encik Tan, kejayaan di Shanghai bukanlah penghujung minatnya dalam bidang tersebut.

Beliau merancang untuk melanjutkan pelajaran dan berminat meneroka bagaimana BIM boleh digunakan dalam pembangunan bandar bijak.

Menurutnya, menggunakan teknologi tersebut pada skala sebuah bandar jauh lebih mencabar berbanding sebuah bangunan.

"Bagi saya, BIM hanyalah titik permulaan. Ia boleh berkembang kepada banyak perkara lain," katanya.

Encik Tan berkata melihat hasil kerjanya menjadi kenyataan merupakan satu pencapaian besar, manakala peluang mempamerkan kemahirannya di pentas dunia menjadi sesuatu yang amat membanggakannya.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita