Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sampai bila COVID-19 akan kekal dianggap darurat sejagat?

Anggaran Waktu Membaca:
Sampai bila COVID-19 akan kekal dianggap darurat sejagat?

(Gambar fail: CNA/Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Semua langkah pengurusan selamat COVID-19 akhirnya dimansuhkan, tiga tahun sejak Singapura mengesahkan kes COVID-19 yang pertama. Ramai kini sudah bercuti ke luar negara dan pekerja kembali bertugas di pejabat sekurang-kurangnya beberapa hari seminggu.
Kehidupan seharian sudah kembali seperti biasa. Namun, adakah ini bermakna ancaman global COVID-19 sudah berakhir?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 Januari secara terang-terangan menyatakan: COVID-19 belum berakhir, ia masih merupakan satu Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC).

Dunia mungkin dalam kedudukan lebih baik berbanding ketika kemuncak penularan Omicron setahun yang lalu menurut WHO dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 30 Januari, namun kadar pengambilan vaksin masih tidak mencukupi di beberapa negara dan masih terdapat risiko varian baru.
Keputusan WHO dibuat berdasarkan pelbagai pertimbangan dari sudut berbeza dan sesuatu yang tidak harus dipandang remeh.

Ia turut mencerminkan peranan WHO sebagai penyelia kesihatan sejagat yang menggalakkan peluang sama rata bagi semua penduduk dunia untuk menjalani kehidupan yang selamat lagi sihat.

APA ITU PHEIC?

PHEIC ialah pengisytiharan rasmi WHO berhubung "insiden luar biasa yang dianggap sebagai risiko kesihatan awam kepada negara lain menerusi penularan penyakit dan berpotensi memerlukan tindak balas antarabangsa yang diselaraskan".

Kegagalan untuk mengambil tindak balas segera berpotensi memberi kesan kepada kesihatan awam, merentasi sempadan negara yang terjejas.

Negara anggota WHO mempunyai tanggungjawab untuk segera bertindak kepada PHEIC dan saranan sementaranya untuk menguruskan krisis berkenaan, yang disemak semula setiap tiga bulan minimum.

Pengisytiharan PHEIC mendorong semakan semula dan tindakan pantas berdasarkan bukti yang diselaraskan di peringkat antarabangsa, memudahkan saluran dana dan mempercepatkan pembangunan vaksin, rawatan dan peralatan diagnostik di bawah kelulusan penggunaan kecemasan. Justeru, ia amat berkesan untuk mengurangkan tekanan penyakit tersebut.

Penularan Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS), penyakit cacar, poliomielitis jenis liar dan mana-mana subjenis demam selesema manusia lazimnya merupakan perisytiharan PHEIC.

WHO mengisytiharkan tujuh PHEIC sejak 2007, bermula dengan pandemik H1N1 pada April 2009 (ditarik balik pada Ogos 2010), virus polio pada Mei 2014 (masih merupakan PHEIC setakat Oktober 2022), Ebola (Afrika Barat) pada Ogos 2014 (ditarik balik pada Mac 2016), Zika pada Februari 2016 (ditarik balik pada November 2016), Ebola (Republik Demokratik Congo) pada Julai 2019 (ditarik balik pada Jun 2020), pandemik COVID-19 pada Januari 2020 (masih merupakan PHEIC setakat Februari 2023) dan akhir sekali, cacar monyet pada Julai 2022 (masih merupakan PHEIC setakat Februari 2023).

KRITERIA BAGI PHEIC

Pertimbangan utama yang menentukan sama ada sesuatu insiden itu merupakan PHEIC atau tidak adalah apabila ia memenuhi sekurang-kurangnya dua daripada syarat berikut.

Pertama, kesan insiden itu kepada kesihatan awam serius.

Kedua, insiden itu luar biasa atau tidak dijangkakan.

Ketiga, insiden itu mempunyai risiko tinggi menular di peringkat antarabangsa dan keempat, insiden itu menimbulkan risiko tinggi bagi perjalanan antarabangsa atau sekatan perdagangan.

Tidak semua insiden kesihatan awam yang menimbulkan keprihatinan dianggap sebagai PHEIC, meskipun terdapat perbahasan meluas mengenai isu tersebut, seperti penularan kolera sejak 2010, penularan MERS-CoV pada 2013 dan fenomena daya tahan antimikrob di seluruh dunia, yang WHO mengisytiharkan sebagai salah satu daripada 10 ancaman kesihatan awam tertinggi terhadap kemanusiaan.

Apabila mpox atau cacar monyet diisytiharkan sebagai PHEIC pada 2022, anggota jawatankuasa Kecemasan Penyeliaan Kesihatan Antarabangsa WHO tidak mencapai kata sepakat.

Namun, Ketua WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat keputusan untuk mencetuskan amaran itu setelah mempertimbangkan penularan pesat virus itu di banyak negara, potensi risiko tinggi pada kesihatan awam dan gangguan pada aliran antarabangsa serta maklumat saintifik yang terhad mengenai punca dan asal penularan tersebut.

Keputusan itu menekankan peri pentinganya peranan penyelia kesihatan awam yang kukuh dalam menangani keadaan tidak menentu.

STATUS PHEIC GALAK KEADILAN KESIHATAN AWAM

Walaupun kebanyakan orang di seluruh dunia mungkin mengalami COVID-19 yang tidak serius, golongan mudah jatuh sakit (seperti warga emas dan individu yang sistem imunnya mudah terjejas) yang berisiko tinggi menghidap penyakit serius, terutama sekali di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, tidak mempunyaiperlindungan meluas vaksin dan keupayaan pemantauan yang mencukupi untuk mengurangkan risiko tersebut.

Oleh itu, penyakit COVID-19 masih berpotensi menyebabkan kesan kesihatan awam yang serius, khususnya di negara-negara di mana sistem kesihatannya mempunyai sumber yang terhad.

Dengan pemantauan semakin dikurangkan sedang lebih banyak negara mula hidup dengan COVID-19 dan permintaan agar perjalanan udara dan perdagangan dibuka semula semakin meningkat, terdapat lebih kebergantungan supaya penduduk mengamalkan tanggungjawab sosial mereka untuk menerima dos vaksinasi terkini dan melakukan ujian pantas antigen (ART) serta mengasingkan diri sekiranya sakit.

Ia turut menekankan bahawa negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang mungkin tidak mempunyai akses yang mencukupi kepada vaksin dan kit ujian pantas, masih mudah terjejas, khususnya apabila pelancongan meningkat di negara-negara tersebut. Justeru, lebih banyak pelaburan dan usaha inovasi segera diperlukan untuk memperkukuhkan akses kepada vaksin dan sokongan bagi pemantauan (bagi kedua-dua kesihatan haiwan dan manusia) dan sistem kesihatan di negara-negara berkenaan.

Seperti PHEIC lain, mengekalkan status COVID-19 sebagai PHEIC berfungsi sebagai pendekatan yang sangat strategik dalam menarik perhatian kepada cabaran-cabaran, sumber dan masa yang diperlukan buat masa ini untuk mengukuhkan lagi sistem jagaan kesihatan yang tidak mempunyai sumber yang mencukupi, sebagai sebahagian usaha kesiapsiagaan pandemik sejagat serta menekankan realiti ketidakadilan sumber kesihatan.

Rencana ini ditulis oleh Profesor Madya Vincent Pang Jungxiong dari Pusat Kesiapsiagaan Wabak di Sekolah Perubatan Duke-NUS.
 
Sumber : CNA/NY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan