Samlit Moneychanger didakwa selepas gagal tangani aduan kiriman wang dibekukan
Pengurup wang Samlit Moneychanger akan didakwa pada Khamis (9 Jul) kerana mengingkari arahan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang mewajibkannya untuk terus menguruskan aduan para pelanggan yang kiriman wang mereka dibekukan di China.
Bahagian luar premis Samlit Moneychanger di Chinatown pada 23 Februari 2023. (Gambar: CNA)
Pengarah syarikat itu, seorang wanita berusia 45 tahun, serta pengurus pematuhannya, seorang lelaki berusia 36 tahun, akan turut didakwa berhubung kegagalan mematuhi arahan tersebut, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan MAS dalam satu kenyataan bersama.
SPF dan MAS memulakan siasatan bersama terhadap pengarah dan pengurus pematuhan Samlit pada 23 Februari 2024.
“Siasatan dimulakan selepas aduan diterima bahawa para penerima di China tidak dapat mengakses wang yang dikirimkan melalui Samlit kerana ia dibekukan atau dirampas oleh pihak berkuasa China, serta tindakan Samlit menyerahkan lesen perkhidmatan pembayarannya secara mengejut dengan niat untuk menghentikan operasi ketika MAS sedang menjalankan pemeriksaan,” menurut kedua-dua agensi itu.
Semasa siasatan dijalankan, pengurus pematuhan syarikat itu dikatakan mengganggu akses SPF kepada dua akaun emel yang digunakan oleh Samlit, sekali gus menghalang siasatan.
Dia juga dikatakan gagal mematuhi 20 perintah yang dikeluarkan SPF supaya memberikan kata laluan serta akses pengesahan bagi peranti-peranti dan akaun-akaun emel yang dirampas.
Sehingga pertengahan Disember 2023, kira-kira 430 aduan polis dibuat terhadap Samlit Moneychanger berhubung kiriman wang yang dibekukan.
Melihat kepada jumlah aduan yang diterima, MAS mengeluarkan satu perintah pada 22 Februari 2024 yang mewajibkan Samlit untuk terus membantu serta menangani aduan daripada para pelanggan yang terjejas.
“Ini termasuk menyediakan maklumat kiriman wang yang berkaitan kepada pelanggan terjejas bagi memudahkan rayuan mereka kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di China berhubung pembekuan wang dalam akaun penerima,” kata SPF dan MAS.
Bagaimanapun, pengurup wang itu dikatakan gagal untuk mematuhi arahan berkenaan.
Pengarah dan pengurus pematuhan Samlit akan didakwa atas 17 tuduhan di bawah Seksyen 61(3) dibaca bersama Seksyen 174(2) Akta Perkhidmatan Kewangan dan Pasaran 2022.
Pengurus pematuhan terbabit juga akan didakwa kerana menghalang proses keadilan serta gagal mematuhi perintah bagi membantu siasatan polis.
Setiap kesalahan atas kegagalan mematuhi arahan MAS membawa hukuman denda maksimum S$1 juta.
Mereka yang didapati bersalah menghalang proses keadilan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. Mereka yang sabit kesalahan kerana gagal mematuhi perintah untuk membantu polis pula boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebagai sebahagian daripada siasatan, polis turut menyiasat kemungkinan aktiviti perdagangan secara tidak sah berlaku, kata SPF dan MAS.
“Setakat ini, hasil siasatan tidak menemukan bukti yang mencukupi untuk membawa tuduhan jenayah,” menurut kedua-dua agensi itu.
“Polis, selepas berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), tidak akan mengambil tindakan lanjut buat masa ini. Namun, siasatan boleh diteruskan sekiranya polis menerima maklumat atau bukti baharu.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.