Sambutan menggalakkan pada hari pelancaran awal Restoran Sederhana
Dalam tempoh sekitar 10 minit, Restoran Nasi Padang Sederhana habis mengagihkan sebanyak 100 paket Nasi Padang secara percuma kepada para pelanggan selepas waktu solat Jumaat. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Barisan beratur dilihat sudah menjalar keluar kedai apabila kedai itu seawal 10.00 pagi.
Sebagai sebahagian usaha menarik pelanggan ke restorannya, sebanyak 100 paket Nasi Padang diberikan secara percuma kepada para pelanggan selepas waktu solat Jumaat.
Menurut pemantauan BERITA Mediacorp, paket-paket itu habis direbut orang ramai dalam tempoh sekitar 10 minit sahaja.
Restoran itu mengambil alih tapak kedai Warong Nasi Pariaman di 738 North Bridge Road.
PEMBUKAAN JENAMA NASI PADANG BAHARU DISAMBUT BAIK
Para pelanggan yang menyerbu restoran itu sejak pagi datang daripada pelbagai latar belakang.
Mereka berkongsi pandangan berbeza-beza tentang juadah yang disajikan pada hari pertama pembukaan
Bekas penduduk Jalan Pisang, Cik Faridah Jamal misalnya berkata: "Kita juga sejujurnya menerima perniagaan baharu ini dan Sederhana, saya biasa juga makan di restoran Sederhana di Batam dan di Jakarta serta Bekasi. Jadi ada berlainan. Memang siapa yang pernah makan, memang ada berlainan."
"Jadi kita harap apa yang disediakan itu boleh dipertingkatkan lagi sebab kita, warga Singapura rasakan yang kita memang sangat teliti tentang Nasi Padang, lebih-lebih lagi sebagai bekas orang kampung," tambah Cik Faridah,berusia awal 60-an dan telah menetap di Jalan Pisang sejak lahir hingga 1996.
Bukan sahaja rakyat Singapura, malah warga dari negara jiran turut mengunjungi cawangan tersebut.
Antaranya adalah seorang penduduk Putrajaya, Kuala Lumpur, Dr Dasrilsyah Syahrial, yang tiba di Singapura pada Khamis malam (28 Mei).
"Ini kali pertama saya mencuba Sederhana. Ada beberapa perlu ditingkatkan lagi di sana terutama berkaitan identiti masakan Minang ini. Biasanya ada gulai nangka. Hari ini terasa agak masih lagi agak keras. 'Ayam pop' nya pun lebih kurang sama juga apa yang ada di Jakarta."
Selain menawarkan 30 jenis hidangan Indonesia, restoran Sederhana juga membawa rasa yang dekat di hati bagi masyarakat Indonesia.
Ini yang dirasai oleh Rivaldo Alif Rachmansyah, penduduk Jakarta yang berada di Singapura untuk bercuti.
Menyifatkannya sebagai satu perasaan nostalgik, Encik Rivaldo berkata: "Sudah lama saya tidak menikmati makanan Indonesia. Sebelum ini, saya juga sempat berada di luar negara, termasuk di Jepun, dan sudah agak lama tidak menikmati masakan dari tanah air. Kebetulan, apabila mengetahui Sederhana membuka cawangan di sini, saya terus datang untuk menikmati Nasi Padang. Pengalaman itu benar-benar membangkitkan rasa nostalgia dan mengingatkan saya kepada kampung halaman."
CABARAN HARGA TINGGI, KEPERLUAN BAHAN-BAHAN TIDAK JADI PENGHAMBAT PEMBUKAAN SEDERHANA
Dalam usaha mengekalkan keaslian masakan yang ditawarkan, penyelia Restoran Sederhana, Ammar Rashid berkata, ia merupakan satu cabaran besar, khususnya dalam memastikan setiap hidangan disediakan mengikut cita rasa dan standard asal dari Indonesia.
“Justeru, kakitangan kami perlu ke Indonesia untuk mempelajari sendiri cara penyediaannya. Walaupun cita rasanya mungkin berbeza daripada kebiasaan di sini, kami tetap perlu mengekalkan gaya masakan asal Indonesia,” kata Encik Ammar.
“Apabila dibawa ke Singapura, kami mahu pelanggan merasai sendiri keaslian masakan Indonesia seperti yang dinikmati di negara asalnya. Oleh itu, kami perlu memastikan hidangan yang disajikan kekal autentik. Itulah antara cabaran utama yang kami hadapi,” tambahnya lagi.
Bagi pelancaran awal Sederhana, mereka menawarkan harga yang sederhana dan berpatutan untuk melihat sama ada model tersebut dapat dikekalkan.
Pengurus Restoran Sederhana, Asyraf Rashid, berkata: “Jika kos operasi dapat ditampung dan kami masih memperoleh sedikit keuntungan, itu sudah memadai bagi kami. Kami bukan mengejar keuntungan yang besar, tetapi selagi ada sedikit keuntungan untuk menampung kos keseluruhan operasi, Alhamdulillah, kami bersyukur."
Menurutnya, pelaburan sekurang-kurangnya antara S$200,000 hingga S$300,000 diperlukan untuk membuka restoran berkapasiti sekitar 150 pelanggan itu, termasuk kos pengubahsuaian premis, kelengkapan restoran, pakaian seragam bagi 20 kakitangannya dan penghantaran rempah-ratus dari Indonesia.
Antara 20 kakitangan Sederhana termasuk beberapa tukang masak dari Warong Nasi Pariaman.
"Ia satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul. Namun, kami akan cuba kerana bukan untuk mengambil alih atau menggantikan sesiapa. Kami mahu meneruskan tradisi masakan Minang dan Indonesia, khususnya hidangan Padang yang autentik di sini dan di Singapura,” kata Encik Asyraf.
“Jadi, ia merupakan satu cabaran bagi kami untuk meneruskannya, namun kami menantikan peluang ini untuk melihat sama ada kami mampu mencapainya," tambahnya lagi.
Restoran Sederhana akan dibuka secara rasmi pada 15 Jun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.