Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan memberangsangkan penonton SG, pelakon Palestin yakin seni teater mampu buka minda & hati

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pelakon dan penulis asal Palestin, Amer Hlehel menerima tepukan berdiri pada setiap persembahannya sejak pementasan 'Taha' dibuka di KC Arts Centre pada 2 April.

Ia memberinya semangat untuk terus menceritakan kisah-kisah dari Palestin yang menghidupkan naluri kemanusiaan, seperti watak Taha yang dijayakannya.

'Taha' berkisar pada kehilangan, keperitan, harapan dan impian seorang penyair Palestin, Taha Muhammad Ali yang mengalami peristiwa hitam Nakbah pada 1948.

Pementasan itu diterbitkan dan dihoskan oleh Singapore Theatre Company (STC).

Kali pertama ‘Taha’ dibawa ke Singapura adalah pada 2018. Kini ia dipentaskan lagi sedang peperangan masih berterusan di Gaza.

"Apa yang unik pada saya tentang kisah ini, ia sama dengan kisah datuk saya ketika dia remaja dan meninggalkan kampungnya Qaditta di utara Palestin ke Lubnan bersama keluarganya dan kehilangan tempat tinggal. Dia kemudian secara sembunyi masuk semula ke Palestin dan mendapati kampungnya menjadi sebuah zon tentera terlarang, sudah musnah dan dia perlu mula dari bawah," jelas Amer.

'Taha' dipersembahkan dalam kedua-dua bahasa Arab dan Inggeris.

Ini menurut Amer bagi mengekalkan 'jiwa' dalam penceritaan dan puisi-puisi Taha.

Karya-karya beliau meninggalkan kesan pada Amer yang tersentuh dengan penulisan Taha yang bersifat begitu peribadi.

Keistimewaan Amer adalah beliau berjaya membangkitkan rasa empati terhadap luahan mendalam Taha.

Sambutan penonton di sini amat memberangsangkan dan meyakinkan Amer bahawa seni teater mempunyai tempat untuk membuka hati dan minda masyarakat terutama di tengah-tengah peperangan.

"Seni dicipta melalui sejarah untuk terus wujud dalam kehidupan dan untuk mengubah minda dan meluaskan imaginasi serta mewujudkan keihsanan dan supaya kita belajar daripadanya. Ia membina kita. Kita perlukannya sebagai manusia sejagat. Kita masih ada harapan bila kita tidak takuti satu sama lain," ujar Amer.

Tarikh pementasan ‘Taha’ ditambah dan akan berlangsung hingga 14 April.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan