Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan Krismas lebih meriah dengan 'rumah baharu' dengan bantuan Penghuni Darul Islah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berkat usaha sekumpulan penghuni dan alumni Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah, seorang penduduk rumah sewa di Bukit Batok dapat meraikan Krismas dengan "rumah baharu".

Usaha murni itu adalah sebuah inisiatif 'Project Happiness' untuk membawa keceriaan kepada penerima bantuan pada musim perayaan.

Gambar: Jamiyah Singapura

Kali ini, flat sewa dua bilik di Bukit Batok milik Cik Ramesware Malaiyandy, 61 tahun diserikan lagi, tepat pada waktunya menjelang sambutan Krismas.

Cik Ramesvare, yang sudah kematian suami sejak tujuh tahun lalu, tinggal bersama dua orang anak dan tiga cucunya.

Salah seorang anaknya cacat penglihatan.

Gambar: Jamiyah Singapura

Jika sebelum itu, flatnya kelihatan lama dengan perabot-perabot yang sudah pecah dan kertas dinding yang sudah koyak, ia kini diubah elok dan seakan-akan rumah 'baharu'.

Ia hasil kerja keras enam penghuni, alumni dan dua kakitangan Darul Islah bertungkus lumus membersihkan dan menghias flat dua bilik di Bukit Batok itu selama tujuh hari.

GEMBIRA DAPAT BANTU CIK RAMESVARE JELANG KRISMAS

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Antaranya, 'Rizman', bukan nama sebenar.

"Keadaan rumahnya sungguh berserak dan cat-cat terkopak, hiasan dinding terkopak dan kita mengambil masa dalam lima hari menghabiskan tugasan," kongsi 'Rizman' kepada Wartawan Nazirah Jamzuri.

"Perasaan saya sungguh gembira kerana hasilnya, Cik Ramesvare pun sangat suka dengan perabot dan warna baharu. Jadi beliau suka, kami pun suka," tambahnya.

Dalam pada itu, Project Happiness juga memberi para penghuni Darul Islah peluang mendekati dan membantu masyarakat, terutama sekali golongan memerlukan.

"Pengalaman ini sungguh positif dan ia meningkatkan lagi keyakinan diri saya. Ini juga boleh membantu kami lebih berfikiran positif untuk menolong insan-insan yang memerlukan," ujar 'Rizman'.

CIK RAMESVARE DAPAT NIKMATI RUANG NYAMAN DAN SELESA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Hasil kerja keras mereka, keluarga Cik Ramesvare kini menikmati ruang yang nyaman dan selesa.

Flat itu juga dipasang dengan dua kipas siling dan lampu baharu, serta menerima perabot-perabot baharu seperti katil, set sofa, meja makan, almari pakaian dan set televisyen.

"(Saya) gembira ada barang-barang ini semua dan cucu juga ada sini, Mereka suka pokok Krismas. Sekarang jika mereka tidak boleh tidur pada malam, (mereka) boleh melihat lampu. Sangat gembira," menurut Cik Ramesvare.

"Saya gembira kerana semua dari Jamiyah menolong saya, termasuk mengecat rumah," tambahnya.

Keseluruhan projek menelan belanja S$3,000, ditaja syarikat Integrated Property Management Pte Ltd, One Best Subcontractor Pte Ltd dan Fei Teng Logistics Services Pte Ltd.

Keluarga itu dikunjungi seorang tetamu istimewa, iaitu Anggota Parlimen SMC Bukit Batok, Encik Murali Pillai petang tadi (21 Dis).

INGIN TERUSKAN PROJECT HAPPINESS DAN KEMBANGKAN KE SETIAP KAWASAN UNDI

Gambar: Jamiyah Singapura

Tahun ini adalah pusingan keempat "Project Happiness" sejak ia diperkenalkan pada tahun 2019.

"Kami bercadang untuk teruskan inisiatif kemasyarakatan ini kerana ia bukan sahaja memupuk ciri dan kesan positif kepada penghuni Darul Islah, malah membawa keceriaan pada musim-musim perayaan kepada keluarga yang perlukan bantuan.

"Ini sekaligus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam masyarakat dan kaum ini. Kami juga harap dapat kembangkan "Project Happiness" meliputi setiap kawasan undi pada masa akan datang, Insya-Allah," kata Naib Presiden 1 dan Ketua Pegawai Operasi Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin.

Selain membawa keceriaan kepada golongan memerlukan berbilang kaum, para penghuni Darul Islah turut meraih manfaat daripada Projek Happiness.

"Project Happiness memberi wadah yang baik bagi para penghuni dan alumni Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah, untuk lakukan kerja-kerja sukarelawa serta berkongsi sama tenaga dan kepakaran mereka kepada golongan masyarakat yang kurang mampu," ujar Encik Jaffar.

Ini menurutnya lagi membantu meningkatkan keyakinan diri dan semangat para penghuni dan menjadi bukti bahawa mereka "boleh menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama".

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan