Sambutan Kempen Bulan Bahasa 2018 memberangsangkan; 29,000 peserta raih manfaat
Matlamat kempen tahunan Bulan Bahasa untuk memasyarakatkan penggunaan Bahasa Melayu mencapai tahap memberangsangkan tahun ini dengan pelibatan lebih banyak sekolah dan rakan kerjasama serta masyarakat umum.
SINGAPURA: Matlamat kempen tahunan Bulan Bahasa untuk memasyarakatkan penggunaan Bahasa Melayu mencapai tahap memberangsangkan tahun ini dengan pelibatan lebih banyak sekolah dan rakan kerjasama serta masyarakat umum.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2018 Rahayu Mahzam menekankan, cabarannya kekal untuk memastikan kempen tersebut mampu meninggalkan kesan kepada masyarakat dan bukan sekadar satu sambutan acara tahunan.
Beliau ditemui di majlis Malam Penghargaan Bulan Bahasa 2018 yang berlangsung di Muzium Tamadun Asia hari ini (16 Nov).
Acara jamuan malam itu demi mengiktiraf usaha dan dedikasi semua tenaga kerja yang berhempas-pulas menjayakan Bulan Bahasa 2018.
Dilancarkan di Wisma Geylang Serai pada September lalu, kempen tahun ini melibatkan 62 rakan kerjasama, 151 sekolah dan 299 Rakan Bahasa dengan sokongan beberapa badan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) serta kelab masyarakat yang baru.
Hasil sokongan padu itu, 113 program dianjurkan sepanjang hampir dua bulan - sebahagiannya merupakan acara unggul di enam estet kejiranan termasuk Jurong, Nee Soon dan Tampines.
"Jadi ini amat menggalakkan dan sesuatu yang kita dapat lihat satu kerjasama masyarakat seperti biasa, tradisi Bulan Bahasa iaitu apa yang dinamakan “ground-up” ataupun aktiviti-aktiviti yang dijalankan melalui sumbangan masyarakat dan pelibatan semua yang mengambil bahagian," kata Cik Rahayu.
Sempena ulang tahun ke-30 penganjuran Bulan Bahasa, sambutan kempen kali ini juga diadakan meriah dengan membawakan kegiatan-kegiatan lama yang popular di samping barisan acara baru.
Kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan itu sudah menarik 29,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, bertambah 26 peratus daripada tahun lalu.
Menurut Cik Rahayu, jangkauan ini boleh terus dipertingkatkan dengan menambah baik isi kandungan program-program sedia ada.
"Ini bermakna kemampuan rakan kerjasama dan dalam golongan relawan kita juga harus dipertingkatkan mungkin dengan berkongsi idea-idea dan juga memperkuatkan kekurangan masing-masing. Jadi kita perlu cari jalan untuk mengadakan kolaborasi, meningkatkan kemampuan kita, menjangkau lebih ramai orang," ujar Cik Rahayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.