Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan Hari Kebangsaan meriah di kawasan perumahan; orang ramai nikmati pertunjukan bunga api

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selain para penduduk di kawasan Jurong West, ada juga yang datang sejauh negara Jerman.

Mereka antara 2,000 pengunjung yang datang ke Stadium Jurong West hari ini (9 Ogos) untuk menyaksikan pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-57.

Stadium di bahagian barat Singapura itu merupakan antara lima estet kejiranan yang menampilkan pertunjukan bunga apinya.

Seawal 5.00 petang lagi, suasana di kawasan stadium Jurong West kian meriah dengan barisan panjang orang ramai yang beratur di laluan masuk.

Ini meskipun pintu masuk hanya dibuka kepada orang awam mulai 6.00 petang.

ACARA BUNGA API DI STADIUM JURONG WEST TIDAK PERLUKAN TIKET MASUK

Acara pertunjukan bunga api di stadium itu tidak memerlukan tiket masuk dan mereka yang datang ingin cuba datang awal untuk mendapatkan sudut terbaik untuk menyaksikan pancaran warna-warni tersebut.



Antara pengunjung yang datang untuk menyaksikan pertunjukan bunga api itu termasuk Cik Zuraini yang sudah bermastautin ke Jerman.

Ini merupakan kali pertama selepas dua tahun beliau dapat kembali ke Singapura untuk menyambut Hari Kebangsaan.

“Ini adalah satu peluang untuk saya mengenalkan kepada anak-anak saya tentang Hari Kebangsaan di Singapura, kebanggaan kita dan juga pertunjukan bunga api untuk menyambut Hari Kebangsaan,” menurut Cik Zuraini.



Bagi Cik Salawiah pula, pertunjukan bunga api itu dekat dengan rumahnya dan mudah untuk dikunjungi.

“Sudah lama juga tak dapat tengok perayaan Hari Kebangsaan jadi satu hari baik juga untuk kita berada di kawasan ini. Orang-orang yang tak dapat pergi sana (kawasan Marina Bay) pun dapat tengok,” kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.



“Kami terkejut juga dapat tahu ada pertunjukan bunga api di kawasan perumahan kami jadi kami ambil peluang ini untuk datang ke sini dan adakan sambutan santai,” tambah seseorang lagi pengunjung, Encik Masagoes Abbas yang datang bersama isteri dan anaknya.

PENGUNJUNG NYANYIKAN LAGI HARI KEBANGSAAN BERSAMA

Sebelum bermulanya acara pertunjukan bunga api ini, para pengunjung menyanyikan lagu-lagu Hari Kebangsaan bersama-sama.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurhelmy Hakim)

Ini kemudian disusuli dengan kuiz-kuiz Hari Kebangsaan di mana para pemenang berpeluang membawa pulang cenderahati.



Apabila bermulanya pertunjukan bunga api itu, orang ramai kelihatan mengeluarkan telefon bimbit mereka bagi merakamkan saat-saat indah itu.

"Saya sungguh ghairah sehingga air mata saya semua keluar. Menangis sebab dah lama tak datang sinikan? Jadi saya sangat gembira dan teruja sekali," kongsi Cik Maimunah yang datang bersama keluarga termasuk anak menantu yang datang dari Filipina.



"Bila saya tengok ia (bunga api) naik berwarna-warni, saya rasa macam gembira sekali dan bila penghabisan itu, memang teruja betul," tambahnya lagi.


Malah, ada juga pengunjung yang berdiri di luar stadium itu, serta para penduduk di kawasan perumahan berdekatan yang mengambil peluang menyaksikan pertunjukan bunga api itu dari rumah masing-masing.

Kemeriahan tetap dirasakan di penghujung acara dengan ramai masih kedengaran menyanyikan lagu-lagu Hari Kebangsaan dalam perjalanan keluar dari stadium itu.

Stadium Jurong West merupakan antara lima lokasi bagi pertunjukan bunga api di kawasan kejiranan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Yang lain termasuk estet kejiranan Tampines, Woodlands, Bedok dan Ang Mo Kio.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan