Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan Hari Kebangsaan di kejiranan meriah, eratkan hubungan keluarga, jiran tetangga

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sehingga 63,000 orang menyertai Festival Kejiranan Singapura GetActive! sepanjang hujung minggu ini (5 & 6 Ogos) menjelang Hari Kebangsaan.

Pelbagai kegiatan bagi seisi keluarga diadakan di kawasan-kawasan kejiranan.

Festival Kejiranan Singapura GetActive! itu dianjurkan di empat lokasi pada Sabtu (5 Ogos) dan tambahan lagi satu lokasi di Hab Tampines Kita hari ini (6 Ogos).

SAMBUTAN MERIAH DI BAHAGIAN BARAT SG

BERITA Mediacorp sempat mengunjungi Pusat Sukan ActiveSG Jurong West untuk merakam suasana dan kemeriahan sambutan di bahagian barat Singapura itu.

Sebaik sahaja pintu masuk stadium Jurong West dibuka pada 4.00 petang, para peserta sudah mula sertai pelbagai aktiviti dan permainan menarik yang ditawarkan.

Misalnya, mereka dapat mencuba permainan sukan seperti bola keranjang dan hoki bersama seisi keluarga.

Malah, antara kegiatan yang menjadi tumpuan ramai ialah permainan tradisional dan "kampung" seperti menara jenga dan lawan pemadam yang ada bendera negara, yang disediakan dalam saiz besar untuk dinikmati para peserta.

BERMAIN SUKAN BERSAMA KELUARGA DI FESTIVAL INI

Antara penduduk yang datang bersama keluarga ialah Encik Muhammad Nabil, 34 tahun.

Beliau membawa isteri dan anaknya bagi menikmati kegiatan-kegiatan yang dianjurkan.

Bagi Encik Nabil, ini juga peluang untuk berinteraksi dengan jiran-jiran tetangga.

"Ia dekat dengan kawasan kejiranan jadi tidak jauh sangat dan kita dapat bertemu dengan mereka daripada kaum lain di kawasan kejiranan ini daripada di bandar," ujar Encik Nabil.

"Saya rasa semua aktiviti di sini menarik kerana pada hari biasa, kita jarang main hoki atau bola keranjang dengan keluarga kita," tambah beliau.


Perasaan yang sama turut dikongsi Cik Suharti Awang, 35 tahun .

"Saya minat hoki jadi saya ingin bermain hoki bersama anak-anak saudara saya dan kakak-kakak saya," luah Cik Suharti.

Bagi Cik Nurhafizan Abdul Rahman pula, kegiatan seperti ini dapat merapatkan lagi hubungan keluarga.

"Pada pendapat saya, festival ini sungguh menarik dan dapat mengeratkan silaturahim untuk masyarakat, untuk keluarga kita dan anak-anak," kongsi seorang lagi peserta, Cik Nurhafizan, 45 tahun.

63,000 PENGUNJUNG SERTAI FESTIVAL KEJIRANAN

Untuk memastikan sambutan itu berjalan lancar dan selamat, sekitar 1,800 relawan Team NILA dikerahkan.

Antaranya termasuk Cik Hasnah Ahmad Sadik, 64 tahun, yang menggalas tugas untuk memastikan aliran pengunjung berjalan lancar dan menunjukkan arah sekiranya mereka perlukan bantuan.

"Keselamatan di sini semua terjamin sebab ada banyak relawan yang memerhatikan (keadaan)," menurut Cik Hasnah.

"Sejauh ini, saya tanya mereka (pengunjung) dan semua gembira kerana terdapat banyak permainan di sini dan ada juga makanan," tambahnya.

Pada 9 Ogos pula, mereka boleh saksikan bunga api di lima lokasi serta acara terbang lalu dan pertunjukan udara RSAF.

Lima lokasi itu ialah Pusat Sukan ActiveSG Bedok, Pusat Sukan ActiveSG Jurong West, Pusat Sukan ActiveSG Toa Payoh dan Pusat Sukan ActiveSG Woodlands dan Hab Tampines Kita.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan