Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan CNY kapten bas pekerja hijrahan SBS Transit lebih ceria meski bertugas hari pertama

Sambutan Tahun Baharu Cina buat lebih 300 kapten bas pekerja hijrahan SBS Transit lebih ceria meskipun tidak dapat merayakannya bersama keluarga tersayang.

Anggaran Waktu Membaca:
Sambutan CNY kapten bas pekerja hijrahan SBS Transit lebih ceria meski bertugas hari pertama

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Sambutan Tahun Baharu Cina buat lebih 300 kapten bas pekerja hijrahan SBS Transit lebih ceria meskipun tidak dapat merayakannya bersama keluarga tersayang.

Pagi tadi (10 Feb), kapten-kapten bas di Pusat Pertukaran Bas Hougang Central dan Eunos diraikan sekumpulan relawan dan kebajikan Hope Initiative Alliance (HIA).

Inisiatif yang diadakan buat julung-julung kalinya itu diharap dapat menyuntik keceriaan semasa hari perayaan ini.

Ia juga bagi menghargai jasa kepada mereka yang perlu bertugas pada hari cuti umum.

Menurut Koordinator, HIA Encik Md Fauzi Saini, kedua-dua pusat pertukaran tersebut dipilih kerana jumlah kapten bas yang antara paling ramai bertugas di situ.

"Di sini sahaja, ada lebih 400 kapten bas. Mungkin dalam 200 itu adalah pekerja hijrahan dan saya mendapat tahu mereka juga perlu mengundi untuk mendapat cuti mereka.

"Saya lihat kasihan juga pekerja-pekerja hijrahan yang kapten bas ini. Kita mahu bergembira. Jadi saya nak bagi mereka gembira dengan cara begini," kata Encik Md Fauzi yang ditemui wartawan Syawal Yusoff di Pusat Pertukaran Hougang.

UCAPAN KHAS DARI MASYARAKAT

Setiap kapten bas menerima pek berisi dua biji limau, dan kraftangan 'origami' yang berbentuk naga sempena Tahun Naga dan yang berbentuk 'Fortune Cookie'.

Di dalamnya terkandung kata-kata semangat daripada masyarakat yang dikumpulkan menerusi media sosial.

"Alhamdulillah kita dapat banyak juga respons yang memberi kata-kata yang manis dan juga menggalakkan pada kita punya kapten bas ini," ujarnya.

Usaha itu turut disokong para relawan belia dari Kelab Interaksi Sembawang.

Menurut jurucakap kumpulan tersebut, Mattias Koh, 18 tahun, keseluruhan proses membungkus dan menyiapkan kraftangan origami tersebut mengambil empat jam untuk disiapkan.

"Walaupun kami mesti lipat origami itu berjam-jam (dan) susah, kerja kapten bas lebih susah. Daripada pagi sampai malam mereka mesti memandu bas kan memenatkan. Jadi kalau anak muda seperti saya boleh menyumbang kembali dan menunjukkan sokongan kami kerana bekerja keras semasa musim cuti ini jadi saya boleh mengunjungi keluarga dan menaiki kenderaan awam, itu sangat memuaskan bagi saya dan pasukan saya," jelas Mattias.

Antara kapten bas yang teruja menerima pek tersebut hari ini ialah Kapten Bas Kanan, Encik Chew Cheng Tick.

Beliau hanya dapat pulang ke Kuala Lumpur, Malaysia untuk bersama isteri dan tiga anaknya pada minggu hadapan untuk selama lima hari.

"Sebenarnya jam 12 pagi tadi saya sudah menghantar pesanan 'Selamat Tahun Baharu' kepada keluarga saya. Selepas bertugas, saya akan berkunjung teman dan rakan tugas saya di sini," kata Encik Chew yang sudah lebih 10 tahun bertugas di sini.

HIA berharap untuk memperluaskan usaha itu ke semua pusat pertukaran bas dan stesen-stesen MRT pada masa hadapan.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan