Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan baik pada hari pertama khidmat percubaan bas ulang alik Masjid Pusara Aman

Seawal 9.00 pagi Ahad (29 Sep), Masjid Pusara Aman melancarkan khidmat percubaan bas ulang alik antara kawasan masjid dengan tanah perkuburan Pusara Abadi bagi memudahkan jemaah menziarahi kubur.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda perlu menaiki Grab, teksi atau bas dan berjalan masuk untuk menziarahi pusara ahli keluarga dan sanak-saudara, perjalanan anda kini dipermudahkan.

Seawal 9.00 pagi tadi (29 Sep), Masjid Pusara Aman melancarkan khidmat percubaan bas ulang alik antara kawasan masjid dengan tanah perkuburan Pusara Abadi bagi memudahkan jemaah menziarahi kubur.

Pengerusi Masjid Darul Aman, Encik Mustapha Kamal Osman berkata: "Tujuan pertama ialah untuk kita memberikan kemudahan kepada para jemaah yang mahu menziarahi pusara ahli keluarga mereka. Kalau yang datang naik Grab atau teksi, nak dapatkan teksi ada kepayahan.

"Kita juga mahu memakmurkan masjid ini. Jadi walaupun ia di tepi pusara, kita tak nak ia menjadi tempat terakhir untuk seseorang."

Yang jelas, khidmat percubaan bas ulang alik Masjid Pusara Aman menerima sambutan memberangsangkan pada hari pertama ia dilancarkan.

Lebih 230 penumpang memanfaatkan khidmat itu bagi lima perjalanan ulang alik antara masjid tersebut dengan tanah perkuburan Pusara Abadi.

PUSINGAN PERJALANAN SEKITAR 45 MINIT

Bas dengan 25 tempat duduk itu juga mengambil dan menurunkan penumpang sepanjang perjalanan tersebut dengan melalui blok-blok lama dan baru Pusara Abadi.

Khidmat yang melakukan lima perjalanan ulang alik sehari itu juga menunggu sekitar 15 minit di perhentian blok terakhir sebelum pulang semula ke pekarangan masjid.

Keseluruhannya, satu pusingan perjalanan mengambil sekitar 45 minit.

MENJIMATKAN MASA

Salah seorang penumpang, Cik Roswina Abdul Rany mengalu-alukan inisiatif tersebut: "Baguslah, menggalakkan. Tak semua orang ada kereta kan, jadi kalau diadakan ini, sangat baiklah pada saya."

Encik Raden Muhammad El-Fhamy Shaharudin memberi pendapat: "Ini satu inisiatif yang baik. Bas itu akan berhenti sepanjang 10 hingga 15 minit, jadi cukup masa untuk orang lain mengejar bas."

Encik Mohd Yunos Saidi yang sering menziarahi kubur menaiki bas berkongsi: "Perjalanan ada dalam 15 hingga 20 minit untuk masuk ke dalam. Alhamdulillah kalau ada khidmat begini, perjalanan kita singkat daripada yang dulu."

BAKAL PERHALUSI KHIDMAT

Sambutan memberangsangkan pada hari pertama khidmat percubaan bas ulang alik ini mendorong pengerusi masjid, Encik Mustapha untuk memperhalusi khidmat yang disediakan bagi memenuhi keperluan jemaah.

Encik Mustapha mengusulkan: "Mungkin kita sediakan risalah sementara mereka menunggu di tempat menunggu yang kita sediakan dan dalam risalah itu akan tertera peta pusara jadi mereka tahu blok-blok mana.

"Selain daripada itu juga, sementara waktu menunggu kita ambil butiran ke blok-blok mana mereka mahu pergi, ini untuk memudahkan pemandu bas itu kalau dia mahu berhenti di mana-mana."

KHIDMAT PERCUBAAN PERCUMA

Para jemaah boleh menaiki bas ulang alik itu secara percuma. Namun jika mereka mahu, mereka juga boleh membuat sumbangan secara ikhlas bagi khidmat yang diberikan.

"Kami akan sediakan tabung dan jika ada sumbangan, kami berbesar hati menerimanya. Khidmat ini adalah untuk amal bagi jemaah yang menyumbang kepada masjid," jelas Encik Mustapha Kamal, dalam wawancara sebelum ini.

Khidmat tersebut akan diadakan pada hujung minggu dan hari cuti umum sepanjang fasa percubaan sebulan ini.

Jadual bas ulang alik itu adalah dari 9 pagi hingga 4 petang dengan bas bertolak setiap jam.

"Sesiapa yang naik Grab atau teksi langsung ke Pusara Abadi, kalau ingin naik bas untuk ke masjid, lambai saja bas itu, insya-Allah bas itu akan berhenti dan ambil mereka," ujar Encik Mustapha.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan