Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Sambutan amat menggalakkan'; Masjid Al-Istiqamah terpaksa hentikan derma pakaian 3 jam lebih awal

Masjid Al-Istiqamah menerima sambutan luar jangkaan hari ini (1 Sept)setelah begitu banyak pakaian terpakai didermakan kepada masjid tersebut sebagai sumbangan kepada para mangsa gempa di Lombok, Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
'Sambutan amat menggalakkan'; Masjid Al-Istiqamah terpaksa hentikan derma pakaian 3 jam lebih awal

Kutipan derma pakaian terpakai di Masjid Al-Istiqamah terpaksa ditutup awal (Gambar: Facebook/Masjid Al-Istiqamah)

BERITAmediacorp: Masjid Al-Istiqamah menerima sambutan luar jangkaan hari ini (1 Sept) setelah begitu banyak pakaian terpakai didermakan kepada masjid tersebut sebagai sumbangan kepada para mangsa gempa di Lombok, Indonesia.

Sokongan luar biasa itu menyebabkan pihak masjid terpaksa menghentikan kutipan pada pukul 2.00 petang, lebih awal daripada jam 5.00 petang yang diumumkan sebelum ini.

Usaha murni yang dijalankan oleh Sukarelawan Masjid Al-Istiqamah (ISMAM) itu bertujuan mengumpul pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk didermakan kepada para penduduk yang terjejas akibat gempa bumi kuat dan beberapa gempa susulan yang menggegarkan Lombok baru-baru ini.

Laporan awal BERITAmediacorp mendedahkan bahawa pakaian terkumpul itu dijadual diterbangkan ke Lombok Utara pada 5 September kelak.

Menurut catatan di laman Facebook Masjid Al-Istiqamah yang dimuat naik sekitar pukul 2.00 petang, pihaknya "tidak lagi dapat menerima sebarang pemberian pakaian terpakai bagi misi ini".

Kutipan yang dianjurkan hanya pada hari ini saja dimulakan pada jam 9.00 pagi tadi dan dijadual berakahir pada 5.00 petang.

Gambar-gambar menunjukkan sumbangan masyarakat datang mencurah-curah bagi tujuan murni ini sehingga ia menutup laluan pejalan kaki di luar pekarangan Masjid Al-Istiqamah yang terletak di Serangoon North Ave 2.

Derma pakaian yang diletakkan di luar Masjid Al-Istiqamah (Gambar-gambar ihsan: Amran Mat Dali)

Derma pakaian yang melimpah ruah di luar pekarangan Masjid Al-Istiqamah (Gambar-gambar ihsan: Amran Mat Dali)

Sungguhpun demikian, Masjid Al-Istiqamah masih menerima sumbangan dalam bentuk derma wang tunai bagi menyokong misi kemanusiaan di Lombok.

"Namun kami masih lagi menerima sumbangan kewangan bagi menyokong misi ini," menurut catatan Masjid Al-Istiqamah.

"Terima kasih atas sokongan dan sumbangan yang diberikan," menurut catatan itu lagi.

Berdasarkan laporan sebelum ini, dana yang dikumpulkan itu akan digunakan untuk membeli keperluan asas para penduduk Lombok apabila sukarelawan masjid tiba di sana kelak.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan