Skip to main content

Singapura

Sambut lebaran tanpa ibu bapa sejak 5 tahun dan Syawal ini yang terakhir di Rumah Kebajikan Muhammadiyah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sedang ramai rakan sebayanya seronok menyambut lebaran di samping keluarga, lain pula bagi 'Amir' (bukan nama sebenar).

Dia merupakan antara 17 penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) yang tidak dapat beraya di sisi keluarga atas sebab-sebab tertentu yang mana keadaan tidak mengizinkan.

Bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri para penghuni RKM, badan itu merancang pelbagai program istimewa seperti sesi bermain bunga api dan jamuan khas lebaran.

Setiap penghuni juga dihadiahkan keperluan Hari Raya seperti Baju Melayu, kain samping, songkok dan kasut raya yang disumbangkan oleh para penderma.

Bagi Amir, ini juga merupakan Syawal yang bermakna kerana ia kali terakhir dia menyambutnya di RKM.

DARI 5 TAHUN, AMIR SAMBUT SYAWAL TANPA IBU BAPA

Amir sudah menetap di rumah kebajikan kanak-kanak sejak berusia 5 tahun lagi. Dia kemudian dipindahkan ke RKM ketika berumur 11 tahun pada 2014.

Pada Mei ini, Amir akan menyambut hari lahirnya yang ke-21 dan dibenarkan keluar daripada RKM untuk mulakan fasa baharu dalam hidupnya iaitu hidup berdikari.

Amir sempat berkongsi dengan wartawan Nurfazirah Azman beberapa kenangan manisnya di RKM.

"Saya rasa sedih kerana saya sudah di sini untuk sepuluh tahun jadi banyak memori saya dengan kawan-kawan saya. Saya rasa macam sedih ada, gembira ada pasal saya rasa macam saya ini dapat berdikari lepas sepuluh tahun," kongsi Amir.

Kenangan yang paling terindah buatnya adalah aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan buat 'keluarga besarnya' di Muhammadiyah.

Antaranya adalah sesi belajar belayar, main 'paintball' dan berkhemah bersama kawan-kawan daripada Muhammadiyah.

"Dari segi kawan-kawan, ia adalah sesuatu yang paling hebat pernah berlaku dalam hidup saya kerana banyak benda yang kami lalui bersama, yang baik dan yang jahat semua kita buat bersama," kata Amir.

Selain kawan-kawan, Amir juga bersyukur dapat bertemu dan meluangkan masa bersama makcik, pakcik dan neneknya pada Aidilfitri. Dia akan ke rumah saudara-maranya pada hari ketiga Syawal.

"Saya rasa gembira setiap Hari Raya sebab saya dapat balik dengan makcik dan pakcik saya. Saya pun dapat meraikan Hari Raya dengan budak-budak di Muhammadiyah.

"Setiap Raya dapat duit raya, dengan makanan dan beg habuan. Saya balik dengan makcik saya pun ada banyak cerita saya mahu berbual pasal dah lama tidak jumpa dengan saudara-mara saya, terutama sekali dengan nenek saya," kongsi Amir.
SUKAR SESUAIKAN DIRI DI RKM PADA MULANYA, CUBA LARIKAN DIRI BEBERAPA KALI

Perjalanan Amir di RKM selama sepuluh tahun cukup berliku sehinggakan beliau pernah melarikan diri beberapa kali semasa baru-baru dimasukkan ke sana.

"Banyak cabaran, saya harus menyesuaikan diri dengan orang-orang daripada latar belakang yang berbeza dan pelajaran sebab saya tidak boleh fokus banyak kerana masa lampau saya, jadi saya susah hendak tumpukan perhatian dengan pembelajaran saya," ujar Amir.

Menurutnya tindakan itu disebabkan pengaruh negatif daripada kawan-kawan waktu muda dan tiada ahli keluarga untuk mengadu nasib.

"Banyak pengaruh daripada kawan kerana kali terakhir saya larikan diri pun dah lama kerana waktu itu saya kecil jadi saya ikut kawan saja.

"Lepas saya menengah 3, saya rasa saya ada benda penting saya harus lakukan, iaitu peperiksaan peringkat 'N'. Jadi saya tukar perangai saya dan saya betul-betul belajar dan saya dapat apa yang saya mahu iaitu markah cemerlang untuk peperiksaan peringkat 'N' saya, yang saya dapat. Alhamdulillah," kongsi Amir.

KEJAR CITA-CITA JADI JURUTERA KOMBAT

Dengan keputusan yang baik, ia menjadi pembakar semangat buat Amir untuk terus lakukan yang terbaik demi mencapai cita-citanya.

Amir yang baharu sahaja tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan automotif di ITE Kolej Barat bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat diploma pula dalam bidang kejuruteraan.

"Saya sedang tunggu kelulusan aplikasi saya untuk ke politeknik di Politeknik Republic (RP). Saya harap-harap saya dapat kerana saya hendak habiskan saya punya diploma sebelum saya masuk ke Perkhidmatan Negara (NS). Jadi saya boleh 'sign-on' NS lagi senang.

"Untuk masa hadapan saya, saya nak jadi jurutera kombat di dalam SAF kerana saya rasa ia ada pekerjaan yang menarik kerana saya pun dalam NCC semasa di sekolah menengah," kata Amir.
HIDUP BERDIKARI DALAM MASYARAKAT

Bagi membantu para penghuni yang bakal dikeluarkan daripada RKM untuk berdikari, rumah kebajikan itu bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk membimbing dan mendampingi para penghuni itu sehingga mereka selesa untuk hidup berdikari di dalam masyarakat.


"Mereka akan disokong dalam beberapa kemahiran hidup berdikari seperti kerja rumah asas, cara memasak dan cara membuat struktur untuk diri mereka sendiri serta beberapa kemahiran dari segi kewangan dan cara untuk menguruskan wang.

"Mereka juga akan mempunyai pegawai yang bertanggungjawab untuk memantau keadaan mereka. Jika mereka ada sebarang cabaran seperti sokongan selepas mereka dilepaskan sehingga mereka yakin dapat hidup berdikari dalam masyarakat," kata Ketua Rehabilitasi RKM, Jamilah Mustaffa.

Selain itu mereka juga akan dibimbing dari segi mencari pekerjaan sebelum dibebaskan.

"Dengan sokongan pekerja peralihan, mereka boleh melihat kepada perkembangan kerjaya mereka, pilihan pekerjaan dan melihat kepada kemahiran asas dalam masyarakat seperti cara mengurus akaun bank, bagaimana untuk membuat pendaftaran, menyediakan resume. Jadi ini adalah kemahiran yang akan kami sediakan kepada penduduk kami sebelum mereka dilepaskan.

Menurut Cik Jamilah, ini adalah aspek penting dalam perkhidmatan RKM supaya para penghuni yang mencecah usia 21 tahun dapat melalui proses peralihan yang lebih lancar.

Selain itu, RKM juga memperkenalkan biasiswa 'Al-Fatih' untuk membantu bekas penghuni untuk terus menghabiskan pengajian mereka selepas tamat sekolah menengah.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita