Skip to main content

Singapura

Sambut Hari Raya secara bertanggungjawab, varian baru COVID-19 lebih tular: Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata beberapa minggu akan datang adalah penting untuk masyarakat bekerjasama bagi mengekang penularan virus COVID-19 di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata beberapa minggu akan datang adalah penting untuk masyarakat bekerjasama bagi mengekang penularan virus COVID-19 di Singapura.

Beliau menekankan hal itu dalam satu catatan Facebook pada Rabu (5 Mei).

Ini menyusuli pengumuman oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bagi COVID-19 pada petang Selasa (4 Mei) tentang langkah-langkah lebih ketat bagi membendung jangkitan dalam masyarakat menyusuli kemunculan kelompok jangkitan baru dan kenaikan kes dalam masyarakat baru-baru ini.

Memandangkan langkah-langkah itu akan dilaksanakan sepanjang bulan Mei, ia akan menjejas tiga perayaan utama pada bulan ini termasuk Hari Raya Aidilifitri.

"Khusus bagi masyarakat Melayu/Islam, saya akur dan faham bahawa langkah-langkah ini mengakibatkan ramai berasa agak hampa lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah membuat pelbagai persiapan raya.

"Namun, kes-kes baru ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh lalai dalam membendung wabak ini dan mematuhi langkah-langkah jarak selamat.

Kes-kes ini timbul daripada varian baru yang dikatakan lebih tular dan lebih berbahaya, mencetuskan kelompok-kelompok yang lebih besar berbanding sebelum ini," kata Encik Masagos.

Justeru, seperti tahun lalu, beliau menggesa masyarakat Melayu/Islam supaya bersabar dan menyambut Hari Raya dengan selamat dan bertanggungjawab bagi melindungi diri dan individu di sekeliling.

"Seperti tahun lalu, marilah kita menyambut Hari Raya dengan selamat dan tidak kurang meriahnya.

"Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya pada tahun ini, jika keadaan mengizinkan, kita masih dapat mengeratkan silatulrahim dengan keluarga dan sanak saudara walaupun terhad.

"Dan kita pun sudah terbiasa dengan menggunakan wadah-wadah dalam talian seperti Zoom dan sebagainya.

"Inilah cara kita melindungi diri kita dan orang yang kita sayangi," kata Encik Masagos sebelum mengakhiri catatannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita