Skip to main content

Singapura

Saman fitnah Shanmugam, Tan See Leng terhadap Bloomberg akan dibicarakan pada April 2026

Tarikh perbicaraan sudah ditetapkan bagi saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng terhadap Bloomberg dan seorang wartawannya, dengan perbicaraan dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 16 April 2026, menurut rekod mahkamah.
Anggaran Waktu Membaca:
Saman fitnah Shanmugam, Tan See Leng terhadap Bloomberg akan dibicarakan pada April 2026
Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg pada Januari 2025, dengan tarikh perbicaraan ditetapkan dari 7 hingga 16 April 2026. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman, Syamil Sapari)
SINGAPURA: Tarikh perbicaraan sudah ditetapkan bagi saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng terhadap Bloomberg dan seorang wartawannya, dengan perbicaraan dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 16 April 2026, menurut rekod mahkamah.

Kedua-dua menteri memfailkan saman pada 6 Januari 2025 terhadap Bloomberg dan wartawan Low De Wei berhubung artikel bertarikh 12 Disember 2024 yang bertajuk “Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy”, yang memberi tumpuan kepada urus niaga hartanah mewah di Singapura.

Encik Shanmugam dan Dr Tan berkata artikel tersebut, yang menyebut kedua-dua nama mereka, mempunyai unsur fitnah.

Mereka berhujah bahawa artikel itu secara palsu mencadangkan bahawa mereka mengambil kesempatan daripada kekurangan ketelusan dalam urus niaga hartanah untuk menjalankan urusan secara tidak telus, serta menyembunyikan urus niaga mereka daripada penelitian, termasuk kemungkinan pengubahan wang haram.

Perintah pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) turut dikeluarkan kepada beberapa entiti pada 23 Disember 2024, termasuk Bloomberg dan media lain yang menerbitkan semula artikel tersebut sama ada dengan sepenuhnya atau sebahagiannya.

Menurut laman semakan fakta pemerintah, Factually, kenyataan palsu Bloomberg “menyerang ketelusan urus niaga hartanah di Singapura”.

Bloomberg kemudian menerbitkan notis pembetulan, namun menyatakan ia “dengan hormat tidak bersetuju” dengan arahan pembetulan tersebut dan tetap mempertahankan laporannya.

Bloomberg dan Encik Low menafikan dakwaan tersebut, dengan menyatakan bahawa artikel berkenaan tidak mencadangkan sebarang salah laku oleh menteri-menteri itu dan bukan berunsur fitnah.

Bloomberg menyatakan ia “tidak mempunyai kepentingan atau sebab untuk, dan sebenarnya tidak mencemarkan reputasi menteri-menteri pemerintah Singapura”, menurut pihak pembelanya.

Encik Shanmugam dan Dr Tan diwakili oleh sepasukan peguam, termasuk Peguam Kanan Davinder Singh daripada syarikat yang menggunakan nama beliau.

Bloomberg pula diwakili oleh peguam daripada RCLT Chambers Law Corporation, termasuk Encik Remy Choo Zheng Xi, Encik Chua Shi Jie dan Encik Donaven Foo.

Encik Low diwakili oleh Encik Wong Thai Yong daripada syarikat yang menggunakan namanya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita