Sama seperti 'turkey bacon' dan 'chicken ham', 'chicken bak kwa' KFC juga dibenarkan: MUIS
SINGAPURA: Penggunaan istilah 'bak kwa' tidak menjejas status halal yang diberikan.
Menjawab pertanyaan BERITA Mediacorp, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjelaskan bahawa dari segi pensijilan halal, istilah tersebut dibenarkan dengan syarat:
1. Semua ramuan yang digunakan adalah halal dan diiktiraf sebagai halal.
2. Produk itu disediakan dalam keadaan yang tidak mencampurkan dengan ramuan tidak halal.
3. Ada nyatakan jenis daging seperti 'ayam bak kwa'
Ini terbit daripada pelancaran menu khas sempena Tahun Baru Cina oleh restoran makanan segera KFC.
Menu khas itu merangkumi hidangan Ayam Bak Kwa Rangup dan Burger Ayam Bak Kwa.
Sejak diperkenalkan tiga hari lalu (23 Jan), ia menimbulkan keprihatinan dalam kalangan masyarakat Islam setempat.
"Pendirian ini sama seperti daging diproses lain seperti 'bacon, ham dan sosej' yang secara tradisinya mungkin dikaitkan dengan daging khinzir. Para pengguna Muslim sudah menerima penggunaan istilah seperti 'Turkey Bacon' dan 'Chicken Ham'," tambah MUIS.
MUIS juga menerangkan bahawa 'Bak Kwa' membawa erti daging yang dikeringkan atau disalai.
"Meski ia secara tradisional dikaitkan dengan daging khinzir dan sebagai makanan yang lazim dalam masyarakat Cina, Bak Kwa juga boleh diperbuat daripada bahan-bahan lain seperti ayam," jelas MUIS.
MUIS juga menggalakkan para pengguna Muslim untuk menilai dahulu sebelum makan sebarang produk daging dengan mencari tanda Halal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.