Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saluran pengudaraan jatuh di pawagam NEX mungkin disebabkan takungan air: Desmond Lee

Sebuah saluran pengaliran udara yang jatuh di Shaw Theatres dalam pusat beli-belah NEX pada 30 Ogos lalu mungkin berlaku kerana takungan air yang terlalu berat untuk disokong rangka pendakapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Saluran pengudaraan jatuh di pawagam NEX mungkin disebabkan takungan air: Desmond Lee

Sebuah saluran pengaliran udara yang jatuh di Shaw Theatres dalam pusat beli-belah NEX pada 30 Ogos lalu. (Gambar: Steven Chung)

Diterbitkan : 06 Oct 2020 09:07AM Dikemas Kini : 06 Oct 2020 10:56AM

SINGAPURA: Sebuah saluran pengaliran udara yang jatuh di Shaw Theatres dalam pusat beli-belah NEX pada 30 Ogos lalu mungkin berlaku kerana takungan air yang terlalu berat untuk disokong rangka pendakapnya, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Isnin (5 Okt).

Encik Lee berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen oleh Anggota Parlimen (AP) Melvin Yong mengenai kejadian yang menyebabkan dua orang cedera semasa satu tayangan filem.

Menteri itu berkata, Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) mengarahkan pemilik bangunan bagi melantik seorang jurutera profesional untuk menjalankan "siasatan terperinci" ke atas kejadian itu dan menyarankan supaya langkah-langkah pembetulan diambil.

"Siasatan masih dijalankan dan dijangka selesai menjelang hujung Oktober 2020," menurut Encik Lee.

"Bagaimanapun, siasatan awal menunjukkan jumlah air yang banyak terkumpul dalam lapisan bahan akustik yang melingkari saluran pendingin hawa dan pengudaraan mekanikal (ACMV).

"Air yang bertakung itu berkemungkinan terlalu berat untuk ditampung oleh pendakap yang menyokong saluran ACMV itu dan menyebabkannya roboh," tambah Encik Lee.

Encik Yong, daripada Parti Tindakan Rakyat, telah bertanya tentang keadaan yang menyebabkan saluran tersebut tertanggal. AP Radin Mas itu juga bertanya mengenai tanggungjawab pemilik bangunan itu, pejabat pengurusan dan penyewa dalam kes-kes sedemikian, serta apa yang sedang dilakukan untuk mencegah kejadian seperti ini daripada berlaku lagi.

Menurut Encik Lee, BCA sudah memaklumkan para pengendali pawagam lain untuk memeriksa saluran pengudaraan pendingin hawa dan mekanikal mereka, dan menjalankan kerja penyenggaraan dan pembaikan di mana perlu.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan