Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saluran berita Rusia RT tergendala di StarHub, Singtel dek ralat penghantaran pihak sumber

Para pelanggan StarHub dan Singtel - pengendali televisyen berbayar di Singapura - mendapati mereka tidak dapat mengakses kandungan saluran berita Rusia, RT, pada Sabtu (4 Mac) disebabkan ralat penghantaran "daripada pihak sumber".

Anggaran Waktu Membaca:
Saluran berita Rusia RT tergendala di StarHub, Singtel dek ralat penghantaran pihak sumber

Saluran berita Rusia, RT, tidak dapat diakses di Singtel TV dan StarHub dek gangguan penyiaran daripada pihak sumber pada 5 Mac 2022. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 05 Mar 2022 10:53PM Dikemas Kini : 05 Mar 2022 10:54PM

SINGAPURA: Para pelanggan StarHub dan Singtel - pengendali televisyen berbayar di Singapura - mendapati mereka tidak dapat mengakses kandungan saluran berita Rusia, RT, pada Sabtu (4 Mac) disebabkan ralat penghantaran "daripada pihak sumber".

Perkara itu dihadapi sedang syarikat-syarikat teknologi utama di seluruh dunia menyekat akses kepada saluran tersebut menyusuli pencerobohan Rusia di Ukraine.

Bagi pelanggan StarHub, mesej yang terpapar pada skrin televisyen adalah: "Penyiaran tergendala. Kerosakan daripada pihak sumber. Kami sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku."

"Masalah itu nampaknya berpunca daripada sumber - Globecast," kata seorang jurucakap StarHub semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Untuk butiran lanjut, sila hubungi Globecast secara langsung."

RT disediakan di Saluran 151 StarHub, menurut senarai saluran StarHub TV+ di lamannya.

Mesej serupa juga disiarkan di Singtel TV, menyatakan "gangguan pada penyiaran daripada pihak sumber".

Saluran berita bahasa Inggeris yang bersiaran 24 jam itu dilancarkan di Singapura oleh StarHub dan Singtel pada 2009.

Ia dibawakan secara langsung ke kedua-dua wadah televisyen berbayar StarHub dan mio TV Singtel oleh syarikat pengurusan serta penyampaian kandungan sejagat, Globecast.

Mediacorp sudahpun menghubungi Singtel dan Globecast untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Gangguan tersebut berlaku sedang beberapa syarikat teknologi di seluruh dunia menarik akses kepada rangkaian berita yang dimiliki pemerintah Rusia sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia di Ukraine.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan