Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Salon rambut disiasat disyaki terlibat amalan perdagangan tidak adil, eksploitasi warga tua

Anggaran Waktu Membaca:
Salon rambut disiasat disyaki terlibat amalan perdagangan tidak adil, eksploitasi warga tua

Salon HairFun di Tampines Central. (Gambar: CCCS)

SINGAPURA: Sebuah rangkaian salon rambut sedang disiasat oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) kerana disyaki melakukan amalan-amalan perdagangan tidak adil, menyusuli beberapa aduan yang dibuat mengenai taktik penjualannya.

Badan pemerhati itu membuat lawatan mengejut ke tiga cawangan HairFun di Ang Mo Kio Avenue 10, Toa Payoh and Tampines Central pada Rabu petang (2 Okt), menurut CCCS dan Persatuan Pengguna Singapura (CASE) dalam satu kenyataan bersama.

Menurut CASE pihaknya menerima aduan mengenai taktik penjualan yang diamalkan ketiga-tiga salon. Ini termasuk "menyasarkan dan mengeksploitasi" pelanggan warga senja dan menyembunyikan jumlah bayaran semasa urus niaga NETS.

Ia juga menerima aduan daripada pelanggan bahawa mereka dikenakan bayaran bagi rawatan atau pakej yang tidak diminta tanpa kebenaran jelas dan dikenakan harga "jauh lebih tinggi" tanpa sebarang persetujuan.

Cawangan HairFun di Ang Mo Kio dilaporkan oleh akhbar Cina Shin Min Daily pada November tahun lalu, "memujuk" seorang lelaki berusia 85 tahun supaya mendaftar bagi khidmat rawatan rambut yang berharga S$99, sedangkan lelaki itu hanya mahu mendapatkan khidmat gunting rambut pada harga S$8.

Menurut CASE percubaan untuk menyelesaikan isu dengan pihak pengurusan rangkaian perniagaan itu gagal, dan ia terus menerima aduan mengenai salon tersebut antara September 2023 dengan Januari tahun ini.

CASE menambah menerusi catatan Facebook, pihaknya menerima 34 aduan terhadap rangkaian perniagaan tersebut serta taktik penjualannya dari 1 Disember 2022 hingga 22 April 2024.

Pengendali HairFun diberi amaran mengenai amalan perdagangan tidak adil sedemikian dan meminta mereka menandatangani perjanjian pematuhan secara sukarela untuk berhenti melakukan demikian dan memberi bayaran balik kepada pelanggan yang terjejas.

Sekalipun demikian, CASE tidak mendapat sebarang respons daripada pihak pengurusan salon dan merujuk perkara tersebut kepada CCCS untuk disiasat.

SEBELUM INI DIPANGGIL SCISSOR & COMB

Siasatan CCCS mendapati semua tiga salon itu sebelum ini beroperasi di bawah nama perniagaan Scissor & Comb.

CASE menerima aduan serupa terhadap Scissor & Comb antara 2018 dengan 2022, dengan para pelanggan mendakwa dikenakan bayaran bagi rawatan atau pakej yang tidak diminta tanpa kebenaran mereka.

Pada Rabu, CCCS, yang bertindak di bawah Akta Perlindungan Pelanggan (Perdagangan Adil), memperoleh maklumat dan dokumen di salon tersebut. Ia juga mengeluarkan notis kepada pengarah pengendali HairFun supaya menyerahkan maklumat dan dokumen.

"CCCS akan teruskan dengan siasatan dan mempertimbangkan bukti yang dikumpulkan untuk memastikan sama ada akan diambil tindakan penguatkuasaan terhadap setiap salon HairFun," tambahnya.

"Jika CCCS mendapati mana-mana salon HairFun melakukan, atau mengamalkan, amalan-amalan perdagangan tidak adil, kami mungkin mendapatkan perintah mahkamah terhadap mereka, antara lain, untuk menghentikan amalan sedemikian."

Presiden CASE Melvin Yong menambah: "Para pemilik Perniagaan dan pengarah syarikat tidak boleh dibenarkan melakukan amalan-amalan perdagangan tidak adil dengan menukar nama perniagaan.

"CASE akan terus mengenal pasti kes-kes sedemikian dan bekerjasama dengan CCCS untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap perniagaan yang degil."

Salon-salon HairFun sudah dimasukkan ke dalam senarai waspada CASE, yang merupakan senarai syarikat yang sudah menerima aduan pelanggan.

Para pelanggan dinasihat supaya memeriksa senarai tersebut sebelum melakukan sebarang urus niaga, menurut CCCS dan CASE.

Orang awam yang mahu membuat aduan terhadap amalan perdagangan tidak adil oleh salon HairFun atau Scissor & Comb boleh menghubungi CASE.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan