Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sallim Abdul Kadir terima pengiktirafan tertinggi di Anugerah MUIS 2021

Pengerusi Lembaga Pengarah Warees Halal, Encik Sallim Abdul Kadir menerima pengiktirafan tertinggi dalam Anugerah Majlis Ugama Islam (MUIS) tahun ini atas sumbangannya kepada beberapa institusi dan jawatankuasa di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengerusi Lembaga Pengarah Warees Halal, Encik Sallim Abdul Kadir menerima pengiktirafan tertinggi dalam Anugerah Majlis Ugama Islam (MUIS) tahun ini atas sumbangannya kepada beberapa institusi dan jawatankuasa di Singapura.

Ini termasuk di MUIS, Warees Investment dan Kementerian Kesihatan.

Anugerah Jasa Cemerlang ini diberi kepada individu yang sudah membuat sumbangan yang besar dan bernilai dalam bidang-bidang seperti pendidikan, ekonomi, perkhidmatan masyarakat atau dakwah.

Selain Encik Sallim, lagi sembilan individu turut diiktiraf dalam Anugerah MUIS tahun ini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob hari ini (16 Okt) dalam satu majlis yang buat pertama kalinya diadakan secara maya.

SUDAH HAMPIR 25 TAHUN BERKHIDMAT KEPADA MASYARAKAT

Pemenang Anugerah Jasa Cemerlang tahun ini bukanlah nama yang asing dalam masyarakat Melayu/Islam.

Encik Sallim sebenarnya sudah berkhidmat kepada masyarakat selama hampir 25 tahun menerusi pelbagai badan masyarakat dan pemerintah.

(Gambar: Warees Halal)

Bermula pada tahun 2004, Encik Sallim menyertai Majlis MUIS sebagai anggota hingga 2019 dan antara sumbangan besarnya kepada masyarakat Melayu/Islam adalah menerusi Warees Investment.

Selaku Pengarah Lembaga, beliau memikul tanggungjawab dalam memimpin peranan Warees Investment sebagai pihak yang menguruskan tanah wakaf dan projek pembangunan di mana hasil daripada hartanah wakaf itu akan bantu menjana pendapatan yang berterusan bagi institusi-institusi agama dan kebajikan di negara ini.

Hasil wakaf itu antara lain bantu membiayai pembangunan dan penyelenggaraan masjid serta madrasah. Ia turut dihulurkan sebagai sumbangan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Selain itu, beliau juga berkhidmat di Mendaki sebagai ahli Lembaga Pengarah sejak 2004 dan pernah membantu dalam usaha mengumpul dana bagi Dana Amanah Pendidikan (ETF).

Ia merupakan program dana untuk menyokong kanak-kanak Muslim berpendapatan rendah dalam pendidikan mereka.

Secara keseluruhannya, Encik Sallim sudah berkhidmat di Mendaki dan menyokong pembelajaran pelajar Muslim sepanjang 17 tahun.

"Saya fikir pelajaran anak-anak Melayu/Islam Singapura memang satu daerah yang penting untuk masyarakat kita. Ini mustahak untuk masa depan mereka dan masa depan keluarga mereka," ujar Encik Sallim.

"Kalau kita melihat kemajuan anak-anak Melayu/Islam kita, saya sangat senang hati kerana Mendaki memang sudah banyak melaburkan wang untuk memberi tuisyen pada anak-anak kita dan juga memberi bimbingan dan inisiatif agar mereka dapat belajar dan berjaya," tambahnya lagi.

(Gambar: MOH) 

Namun, sumbangannya bukan setakat kepada masyarakat Melayu/Islam sahaja tetapi juga secara nasional dalam sektor khidmat sosial dan kesihatan menerusi Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan Majlis MediShield Hayat.

Sebelum ini, Encik Sallim pernah diiktiraf dengan Bintang Bakti Masyarakat dan Pingat Bakti Masyarakat.

MINAT DATANG DARI ARWAH DATUK DAN AYAH

Encik Sallim yang sudah menjadi anggota Majlis MUIS selama 15 tahun ini dan masih terus berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Warees Halal, turut berkongsi bahawa minat untuk menyumbang kepada masyarakat ini dipupuk oleh keluarganya sendiri.

"Arwah datuk saya suka menolong orang. Jika melihat orang yang susah atau kekurangan duit, dia akan memberi duit tanpa mengharapkan bayaran kembali," kongsi Encik Sallim.

"Ayah saya pun menggalakkan saya untuk membuat kerja-kerja kebajikan dan kerana sudah melihat contoh-contoh dari datuk saya, saya mula berminat. Dari situlah, saya mula meluangkan masa membuat kerja kebajikan untuk masyarakat Singapura," tambahnya lagi.

(Gambar: MUIS)

Meski berdepan dengan cabaran semasa berkhidmat, ini tidak membakar semangat tokoh berusia 66 tahun ini untuk meneruskan niatnya untuk berbakti kepada masyarakat.

"Institusi yang saya berkhidmat kepada semua mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat jadi kita harus menjadi sensitif terhadap pemikiran masyarakat serta keputusan-keputusan yang kita ambil. Kita juga harus mengetahui pandangan," kata Encik Sallim.

Berkhidmat tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan, Encik Sallim memberitahu beliau memang terperanjat apabila mula-mula diberitahu tentang anugerah ini.

"Kalau saya bandingkan diri saya dengan individu-individu yang telah diberikan anugerah ini, saya rasa sumbangan saya tidak sampai dengan sumbangan-sumbangan mereka. Tapi ini satu penghormatan, bukan sahaja pada saya tetapi pada Arwah datuk saya dan Arwah ayah saya," ujar Encik Kadir.

"Jadi saya berasa senang hati menerima anugerah ini dan berterima kasih kepada semua termasuk isteri saya kerana tanpa sokongannya, saya tentu tidak dapat menyumbang masa," tambahnya lagi.

Tahun lalu, anugerah itu disampaikan kepada Encik Shafawi Ahmad yang merupakan anggota yang paling lama berkhidmat dalam majlis tertinggi MUIS.

SEMBILAN INDIVIDU TERIMA ANUGERAH JASA BAKTI

Anugerah MUIS mula diperkenalkan pada tahun 1991 dan setakat ini, seramai 162 individu sudah diberi pengiktirafan.

Semasa menyampaikan ucapannya di majlis siang tadi, bakal Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen turut menarik perhatian bahawa para penerima anugerah tahun ini mencerminkan keupayaan dan kemampuan masyarakat untuk mempamerkan kebaikan dan rahmah buat semua.

"Untuk Anugerah MUIS tahun ini, saya gembira bahawa para penerima anugerah datang dari pelbagai latar belakang. Ini termasuk wakil dari badan Melayu/Islam, serta masjid-masjid dan juga dari badan kebajikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan belia dan pertubuhan yang mewakili masyarakat India Muslim," kata Encik Kadir.

"Nilai-nilai yang diperlihatkan kesemua penerima anugerah tahun ini, mencerminkan nilai-nilai sebuah masyarakat gemilang yang diidamkan – keperibadian, kemahiran dan
kewarganegaraan," tambahnya lagi.

Selain Encik Sallim, sembilan lagi individu turut diraikan dalam majlis hari ini (16 Okt).

Mereka menerima Anugerah Jasa Bakti dan pengiktirafan itu diberikan kepada mereka yang sudah lama berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat.

Berikut senarai Penerima Anugerah Jasa Bakti, Anugerah MUIS 2021:

1. Fadzuli Bajuri, Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah

2. Halil Mansor, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Thomson)

3. Faridah Mansor, Penolong Bendahari Masjid Alkaff Kampung Melayu

4. Salmah Mansor, Naib Pengerusi Muslimah Kelompok Masjid-masjid Barat

5. Mohamed Ismail Abdul Hakim, bekas Naib Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM)

6. Sultan Mohamed Ghouse, Presiden Persekutuan India Muslim (FIM)

7. Malik Majid, Naib Pengerusi Masjid Ar-Raudhah

8. Sulaiman Musa, Naib Pengerusi Masjid Al-Muttaqin

9. Fadil Jaafar, Naib Pengerusi Masjid Mydin 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan