Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Salji tebal hambat misi Climbathon; peserta berpatah balik ke Kathmandu

Misi 51 peserta ekspedisi Climbathon, anjuran Yayasan MENDAKI, untuk menakluki Kem Pangkalan Gunung Annapurna terbantut di tengah jalan akibat salji yang turun dengan banyak.

Anggaran Waktu Membaca:
Salji tebal hambat misi Climbathon; peserta berpatah balik ke Kathmandu

Peserta ekspedisi Climbathon 2019. (Gambar: MENDAKI)

SINGAPURA: Misi 51 peserta ekspedisi Climbathon, anjuran Yayasan MENDAKI, untuk menakluki Kem Pangkalan Gunung Annapurna terbantut di tengah jalan akibat salji yang turun dengan banyak.

Menurut satu catatan di Facebook MENDAKI pada Sabtu (14 Dis), para peserta terlepas peluang untuk mendaki gunung berkenaan sampai ke puncak kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Delegasi itu terpaksa membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakian bagi menjaga keselamatan seluruh pasukan di sana.

Delegasi ekspedisi Climbathon 2019 anjuran Yayasan Mendaki. (Gambar: MENDAKI/Facebook)

(Gambar: MENDAKI/Facebook)

Pengurus Kanan Perhubungan MENDAKI, Cik Julinah Sulaiman, berkata seluruh Kem Pangkalan Gunung Annapurna ditutup kepada pendaki akibat salji yang turun dengan banyak dan sesiapa yang meneruskan perjalanan perlu berpatah balik.

Dalam satu kemas kini hari ini (15 Dis), MENDAKI menyatakan para peserta sedang dalam perjalanan turun ke Chhomrong dan seterusnya akan berpatah balik ke Kathmandu.

Peserta-peserta belia juga menerima kiriman surat daripada keluarga mereka hari ini bagi memastikan mereka tetap bersemangat walaupun tidak bersempatan untuk meneruskan rancangan seperti yang direncanakan.

(Gambar: MENDAKI/Facebook)

(Gambar: MENDAKI/Facebook)

Kumpulan pendaki itu berangkat menuju Nepal pada 7 Disember lalu untuk mendaki Kem Pangkalan Gunung Annapurna yang setinggi 4,100 meter di banjaran Himalaya. Misi Climbathon tersebut adalah sebahagian daripada usaha mengumpul derma bagi Dana Amanah Pendidikan (ETF) bagi menyokong pendidikan kanak-kanak memerlukan.

Tahun ini, seramai 22 belia - yang merupakan penerima bantuan MENDAKI - ditaja anggota masyarakat untuk mengikuti acara kemuncak pengumpulan dana ETF.

Sungguhpun hasrat mereka untuk menjejakkan kaki hingga ke puncak tidak kesampaian, usaha mereka mendaki setinggi 3,200 meter cukup menakjubkan.

MENDAKI berharap anggota masyarakat dapat terus memberikan sokongan kepada usaha mereka dengan menghulurkan sumbangan menerusi laman https://www.giving.sg/yayasan-mendaki/climbathon19.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan