Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sali Atikah pelajar S'pura terbaik kohort 2018 Universiti Al-Azhar; mahu jadi ustazah serba boleh

Sekali air mata ibunya tumpah apabila beliau gagal peperiksaan bagi mata pelajaran matematik semasa berada di darjah empat, sekali itulah beliau membulatkan tekad untuk tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Anggaran Waktu Membaca:
Sali Atikah pelajar S'pura terbaik kohort 2018 Universiti Al-Azhar; mahu jadi ustazah serba boleh

Sali Atikah bersama ibu (bertudung merah), bapa (belakang, kanan) dan saudara maranya. (Gambar-gambar: Sali Atikah)

BERITAmediacorp: Sekali air mata ibunya tumpah apabila beliau gagal peperiksaan bagi mata pelajaran matematik semasa berada di darjah empat, sekali itulah beliau membulatkan tekad untuk tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Rasa tidak sanggup melihat linangan air mata ibu itu jugalah yang menjadi pemangkin untuk Sali Atikah Abdullah Sani terus menerus mengecap kejayaan sehingga beliau akhirnya menggenggam segulung ijazah dari Universiti Al-Azhar.

Malah, ijazah yang diraihnya bukan biasa-biasa. Cik Sali meraih sarjana muda dalam jurusan undang-undang Islam (Syariah) dengan Kepujian Kelas Pertama (Mumtaz Sharaf). Beliau juga dinobatkan selaku pelajar terbaik atau valediktorian bagi kohort 2018 itu.

Majlis konvokesyen bagi kohort tersebut berlangsung di Kaherah pada Isnin (15 Okt) dan dihadiri oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Cik Sali sedang sibuk melayan kedua-dua ibu bapanya yang kini berada di ibu kota Mesir itu sempena majlis konvokesyen tersebut. Bapanya bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan manakala ibunya seorang suri rumah.

Siswazah berusia 24 tahun itu berkata sejak insiden 'ibu menangis' tersebut, beliau hanya mahukan satu perkara - iaitu memberikan yang terbaik untuk ibu tercinta.

"Untuk menjadi yang terbaik adalah moto saya dalam kehidupan. Ibu saya juga mendorong saya supaya saya boleh mencapai semua ini," kata anak bongsu empat beradik itu.

APA RAHSIANYA HINGGA JADI PELAJAR CEMERLANG?

Cik Sali merupakan bekas pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dari darjah satu hingga menengah empat sebelum meneruskan pembelajaran ke peringkat Pra-U 1 dan 2 di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Di Universiti Al-Azhar beliau mengambil jurusan Syariah Islam. Beliau juga aktif dalam pelbagai kegiatan luar darjah dan di samping itu masih berjaya menamatkan satu lagi kursus, iaitu Kewangan dan Perakaunan Asas di Universiti Amerika Kaherah. Cik Sali cemerlang dan meraih gred 3.95 (GPA).

Apabila ditanya apakah 'rahsia' beliau menjadi pelajar cemerlang, Cik Sali memberitahu BERITAmediacorp:

"Pengurusan masa. Allah mesti didahulukan dalam segala-galanya. Saya juga berkongsi ilmu pengetahuan kerana ilmu itu bukan milik saya. Ia daripada Allah dan kita mesti ajarkannya kepada seramai mungkin orang," kongsi Cik Sali, yang mengaku sentiasa berfikiran positif terhadap segala perkara dan cabaran yang perlu diharunginya.

BEGITU POSITIF SEHINGGA TIADA YANG "SUKAR"

Bagi beliau, setiap perkara yang dilakukan perlu diberikan sepenuh jiwa raga supaya hasilnya adalah yang terbaik.

"Saya rasa saya seorang yang amat positif (sehingga sukar) untuk merasakan sesuatu itu sukar. Setiap perkara boleh ditangani jika anda tahu bagaimana untuk menguruskan masa dengan baik. Belajar pada waktunya dan capai sasaran yang ditetapkan pada hari itu tidak kira walau apa pun terjadi.

"Semuanya dalam minda kita. Jika anda rasa anda boleh lakukannya maka anda akan dapat melakukannya," ungkap Cik Sali berkongsi sekelumit falsafah kehidupannya.

Kini ijazah sudah berada di tangan Cik Sali, namun untuk berhenti menuntut ilmu, jauh sekali. Beliau belum mahu pulang dari Mesir. Sebaliknya, beliau akan kembali ke Singapura pada tahun depan setelah selesai mengikuti dua lagi kursus.

(Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

'PERJUANGAN' LAIN YANG BELUM SELESAI...

"Saya gemar mengajar jadi saya akan mengambil kursus bagaimana untuk mengajarkan Bahasa Arab kepada orang-orang bukan Arab. Saya juga mahu mengambil kursus penterjemahan. Saya memang suka belajar," katanya.

Beliau juga merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan dalam Kewangan Islam (INCEIF) di Kuala Lumpur.

Mengulas tentang dua bidang berbeza yang dipilihnya - undang-undang Islam dan Kewangan serta Perakaunan, Cik Sali berkata beliau mahu menjadi seorang yang serba boleh.

"Saya mahu menjadi seorang yang versatil. Seorang ustazah yang bekerja di institusi kewangan pada siang hari dan menyampaikan ceramah di masjid-masjid pada waktu malam," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

(Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

MAHU SUMBANG KEMBALI KEPADA MASYARAKAT & NEGARA

Beliau yang merupakan penerima biasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) turut melahirkan hasrat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, khususnya kepada badan tersebut.

"Saya mahu menyumbang kembali dalam bentuk apa pun. Saya mahu menyumbang kembali kepada LBKM dalam acara-acara sosial yang dianjurkannya sebagai tanda terima kasih saya kepada mereka kerana memberikan saya biasiswa selama dua tahun," katanya lagi.

Cik Sali adalah antara 60 mahasiswa Singapura yang lulus dari Universiti Al-Azhar tahun ini - iaitu suatu jumlah rekod bagi satu-satu kohort, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Mereka menerima ijazah masing-masing daripada Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air pada Isnin lalu dan disaksikan oleh Pemangku Timbalan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Saleh Abbas.

Semasa menyampaikan ucapannya sebagai pelajar terbaik, beliau menyeru kepada rakan-rakannya supaya memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang berada di Kaherah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di tanah air.

"Kita belajar bahawa memberi itu lebih baik daripada menerima dan sepanjang berada di Kaherah kita juga menimba banyak pengalaman. Berkongsi ilmu dan menyumbang kembali demi mempertingkat kehidupan orang lain membolehkan kita untuk meraih lebih banyak lagi (manfaat).

"Sepanjang berada di sini (Kaherah), kita juga menyedari bahawa kita boleh menyumbang kembali kepada kebaikan bersama dan berusaha ke arah kebaikan kemanusiaan. Saya percaya akan ada banyak peluang untuk kita menyumbang kembali kepada masyarakat kita di Singapura." 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan