Saleha Rashidi kendali rumah peralihan bantu bekas pesalah wanita bina semula kehidupan
Gambar: CNA/Kelvin Chia
Sebelum Cik Saleha Rashidi menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pusat, wanita berusia 37 tahun itu sudah mempunyai pengalaman selama sedekad dalam bidang kerja sosial di PPIS. Pada ketika itu, beliau sedang mencari sesuatu yang bermakna, yang dapat mencabar dirinya. Justeru itu, apabila PPIS menubuhkan Rise Above, beliau menyertai pasukan tersebut, di mana beliau melakarkan panduan dan mengusahakan pengubahsuaian bagi tapak tersebut.
Matlamatnya: Untuk membantu bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat selepas selesai menjalani tempoh penjara.
Langkah pertama ialah untuk membantu penduduk berhubung semula dengan keluarganya. Bahkan, sebelum penduduk tiba, Cik Saleha dan pekerja sosialnya akan melakukan lawatan ke rumah keluarga bekas pesalah untuk mengenali mereka, dan mengajak mereka untuk ke rumah peralihan tersebut pada hari pertama penghuni itu di sana.
Berikutan lawatan awal itu, rumah peralihan tersebut terus menguruskan lawatan oleh kaum keluarga untuk melawat penghuni itu, dan menganjurkan sesi keluarga demi membantu penduduk menghuraikan isu-isu, jika perlu.
Salah satu peranan utama Rumah Peralihan Rise Above adalah untuk membantu para penghuni dengan persiapan mendapatkan pekerjaan. Penghuni dibantu untuk menghasilkan resume, melakukan persiapan bagi temu duga kerja dan memperoleh kemahiran yang boleh dipasarkan seperti kemahiran memasak serta seni digital melalui kursus latihan. Sebaik sahaja penghuni mendapat pekerjaan, rumah peralihan tersebut akan memudahkan mereka untuk pergi bekerja dengan menetapkan perintah berkurung.
KEHIDUPAN DI SEBUAH RUMAH PERALIHAN
Rumah peralihan itu mempunyai rutinnya sendiri. Setiap hari, pada awal pagi, seorang penghuni, yanggemar berkebun, akan bangun awal untuk menyiram tumbuhan-tumbuhan. Penghuni lain pula, yang menjaga kesihatan mereka, akan berlari-lari anak atas 'treadmill' atau melakukan senamannya.
Bagi waktu makan pula, wanita-wanita itu membuat jadual mereka sendiri untuk memasak, dan menyerahkan menu serta senarai bahan-bahan mereka terlebih dahulu. Bergantung kepada cef pada hari tersebut, jamuan makan malam mereka boleh merangkumi hidangan macaroni goreng pada malam tersebut dan hidangan asam pedas pada malam seterusnya.
SEBUAH RUANG UNTUK BINA SEMULA HIDUP
Ini merupakan antara pengorbanan Cik Saleha demi membantu menubuhkan pusat tersebut dari awalnya.
"Terdapat banyak kenangan indah di sini," ujarnya, sambil berkongsi bahawa beliau bahkan, telah mengecat mural di dinding pada hari jadinya September lalu, dengan bantuan para sukarelawan.
"Dinding tersebut sebelum ini kosong saja. Oleh kerana kami ingin membina sebuah ruang terapeutik untuk wanita, kami mendapat pereka pro bono untuk membuat mural di beberapa bilik. Temanya ialah wanita, pemulihan dan kecantikan.
"Kami mahu wanita kami sembuh, menjadi yakin, dan melihat diri mereka sebagai (seseorang yang) semangatnya tidak mudah luntur tidak kira apa yang mereka lalui. Kami ingin mereka rasa diperkasa, mampu membuat keputusan untuk diri mereka, dan mempunyai semangat untuk menyumbang semula," kongsinya.
Sekalipun ia hanya setahun sejak Rumah Peralihan Rise Above mula menempatkan kumpulan pertama penghuninya, Cik Saleha berbesar hati untuk mengetahui kisah-kisah yang memberangsangkan mengenai wanita-wanita yang telah selesai menjalani program tersebut.
Beliau akur bahawa bekas pesalah perlu mengharungi banyak liku tatkala mereka membina semula kehidupan. Sesetengah daripada mereka bergelut dengan rasa ragu-ragu terhadap diri mereka sendiri. Sebilangan lain pula perlu mengatasi rintangan dengan mereka di sekeliling yang masih terjerat dalam masalah dadah atau samseng.Ada pula kurang mendapat sokongan daripada keluarga.
Sedang lebih banyak majikan bersikap inklusif dan menunjukkan sokongan terhadap bekas pesalah hari ini, masih terdapat sebilangan juga yang masih keberatan untuk memberi mereka peluang, tambah Cik Saleha.
Seorang penyokong tegar bagi golongan bekas pesalah, Cik Saleha berkata: "Apabila saya bekerja dengan bekas pesalah, saya ingatkan diri bahawa saya bukan hanya berurusan dengan seseorang, tetapi dengan isteri, kakak, anak perempuan seseorang," katanya.
"Bekas pesalah sama seperti orang lain yang mempunyai aspirasi, bakat dan kebolehan. Kita semua kadang-kadang membuat keputusan yang tidak baik; Kita semua kadang-kadang menghadapi kesukaran.
"Tetapi apabila kami ingin bangkit, siapa yang memberi kita ruang, peluang, dan sumber? Saya betul-betul rasa bahawa antara perkara yang masyarakat boleh melakukan dengan lebih lagi adalah untuk membina ruang bagi setiap individu untuk mengatasi rintangan kehidupan," luahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.