Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SalamSG sokong mahasiswa jayakan program Ramadan di Kampus

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para mahasiswa universiti menjadi salah satu golongan baru yang menerima sokongan melalui inisiatif SalamSG Ramadan pada tahun ini.

Melalui program SalamSG Tertiary, mahasiswa akan diberikan bantuan untuk menjalankan pelbagai program yang bertujuan meningkatkan usaha keagamaan mereka sepanjang bulan Ramadan.

Pengerusi Bersama SalamSG 2025, Ustaz Mohd Fairuz Shah Sudiman, berkongsi bahawa sokongan itu diberikan untuk membantu mahasiswa di institusi pendidikan tinggi (IHL) menjayakan program Ramadan mereka.

"Kami ingin memberi sokongan kepada mahasiswa mahasiswi yang berada di institusi-institusi pendidikan tinggi (IHL) dalam menjayakan program Ramadan mereka. Jadi, kami telah berjumpa dengan beberapa kumpulan 'Muslim Society' untuk kami memperkenalkan apakah naratif ataupun mesej ataupun pesanan tema Ramadan pada tahun ini dan diharapkan mereka dapat membantu dalam menyebarkan tema Ramadan."

Ustaz Fairuz menambah, "Setiap tahun mereka telah melakukan beberapa program Ramadan. Jadi pada tahun ini, kami melihat bahawa ini adalah satu usaha yang baik di mana kita dapat memberi sokongan kepada para mahasiswa agar mereka boleh membawa impak yang berkesan di kalangan mereka di kampus mereka pada bulan Ramadan ini."

Selain sokongan dalam bentuk naratif dan pengisian, Ustaz Fairuz juga menjelaskan bahawa pihak SalamSG akan memberi bantuan dari segi kewangan.

"Dalam masa yang sama, kami akan membantu dari sudut kewangan. Ini adalah satu pendekatan yang baru yang kami rasakan boleh dikembangkan di masa masa akan datang," kata beliau.

SALURAN WHATSAPP SALAMSG UNTUK MASYARAKAT

Satu lagi inisiatif baharu yang dilancarkan oleh jawatankuasa SalamSG Ramadan tahun ini adalah saluran WhatsApp SalamSG.

Melalui saluran ini, masyarakat akan menerima kemas kini berkaitan program-program di masjid sepanjang bulan Ramadan.
Saluran Whatsapp SalamSG Ramadan 2025 (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Ustaz Fairuz menjelaskan, "WhatsApp ini tercetus apabila kami meminta maklum balas daripada masyarakat. Kami melihat bahawa antara platform yang mudah untuk masyarakat menerima informasi ialah melalui WhatsApp. Ini adalah satu usaha untuk mendekati masyarakat kita."

Platform itu juga memberikan kemudahan untuk menyebarkan maklumat kepada audiens yang lebih luas, terutama golongan warga emas yang tidak begitu aktif di media sosial.

Wadah digital itu juga membolehkan informasi disebar kepada audiens yang ramai dengan cara lebih muda diakses, terutama sekali golongan warga emas yang menurut Ustaz Fairuz, tidak terlalu aktif di wadah media sosial.

Beliau menambah, "Melalui tinjauan yang kami akan jalankan ialah antaranya untuk mendapatkan maklum balas daripada masyarakat kita tentang keberkesanan program-program Ramadan kami dan bagaimana ia dapat membantu dalam kami membentuk program yang lebih berkesan di masa masa akan datang."

BUKU NOTA AMALAN RAMADAN DAN CABARAN BELIA RAMADAN

Sebagai tambahan kepada saluran WhatsApp, para jemaah yang menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan di masjid-masjid tempatan akan menerima buku nota amalan yang mengandungi 30 amalan mudah untuk memperkayakan pengalaman di bulan Ramadan.

Buku itu juga akan disediakan secara dalam talian mulai hari pertama bulan Ramadan menerusi laman SalamSG Ramadan.
Buku 30 amalan SalamSG Ramadan (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Selain itu, SalamSG Ramadan juga akan meneruskan acara kem Cabaran Belia Ramadan (RYC) untuk golongan belia.

"Program ini disasarkan untuk memperhalusi pengetahuan mereka tentang Ramadan. Dalam masa yang sama untuk membina sifat keyakinan untuk bina keyakinan dalam masa yang sama juga untuk melakukan perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat," kata Ustaz Fairuz.

Edisi RYC yang akan berlangsung selama dua hari satu malam pada 15 hingga 16 Mac ini akan dikhususkan untuk belia berusia 13 hingga 17 tahun.

Masjid-masjid yang terlibat dalam RYC kali ini termasuk Masjid Al-Muttaqin, Masjid Sultan, Masjid Al-Islah, dan Masjid Al-Iman.

"Bertemakan kepada Bina Keyakinan Pupuk Kebijaksanaan, kami akan menerapkan nilai-nilai keyakinan dalam belia kita terutamanya dalam ilmu pengetahuan agama mereka. Ada beberapa aktiviti menarik yang telah dirancangkan seperti halangan tingkat tinggi (High Elements) dan juga perlumbaan 'Amazing Race' supaya ia dapat menarik minat dan juga pembelajaran agama dengan cara lebih menarik," jelas Ustaz Fairuz.

Pendaftaran untuk program RYC masih lagi dibuka. 
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan