SalamSG hantar 8 tan daging korban untuk bantu penduduk Palestin dalam krisis kemanusiaan
Lebih 8 tan daging korban oleh masyarakat Muslim setempat yang didermakan untuk penduduk Gaza, selamat tiba di Amman pada Selasa (26 Ogos).
Lebih lapan tan daging korban oleh masyarakat Muslim setempat yang didermakan untuk penduduk Gaza, selamat tiba di Amman. (Gambar: MUIS)
Menurut satu kenyataan oleh SalamSG, bantuan dalam bentuk lebih 17,300 juadah siap makan dalam tin itu disalurkan menerusi Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO).
Ini juga merupakan misi bantuan pertama SalamSG ke luar negara untuk membantu penduduk Gaza yang terjejas.
Penghantaran tersebut merupakan yang pertama daripada tiga fasa yang akan disalurkan menerusi JHCO.
SalamSG melantik syarikat perdagangan tempatan, A2A Trading untuk menyelia penyerahan makanan itu.
Lagi 200 tin pula akan diagihkan kepada rakyat Palestin yang sedang dirawat di Hospital Al-Mowasah serta keluarga-keluarga Palestin yang tinggal di sebuah kem pelarian di Amman.
Pengerusi Bersama SalamSG Korban 2025, Mohamed Imran Omar berkata: "Penyerahan ini mencerminkan satu langkah penting dalam misi kami untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang paling memerlukan. Kami sangat berbesar hati atas kerjasama dengan JHCO dan rakan-rakan kongsi lain di mana pengalaman mereka dalam operasi kemanusiaan di lapangan memberikan kami keyakinan bahawa bantuan ini akan sampai ke para penerimanya dengan selamat dan secara efisien."
"Inisiatif ini juga mencerminkan semangat Korban - prinsip mengorbankan sesuatu dan menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang memerlukan, membantu keluarga-keluarga dalam masa yang sukar," tambah beliau lagi.
SEJUMLAH 16 TAN DAGING KORBAN DIDERMAKAN UNTUK PENDUDUK GAZA
Secara keseluruhannya, para sohibul korban yang melaksanakan ibadah korban di masjid-masjid serata negara semasa Hari Raya Haji pada bulan Jun lalu di bawah gerakan SalamSG Korban mendermakan sebanyak 16 tan daging korban bagi penduduk Gaza.
Lagi dua vendor yang dilantik SalamSG Korban akan menguruskan baki separuh jumlah itu bagi penghantaran ke Jordan dalam minggu-minggu mendatang.
Daging korban yang sudah diproses itu boleh disimpan selama tiga tahun dan ini boleh memastikan jaminan makanan untuk para penerima bantuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.