Skip to main content

Singapura

SalamSG Gives diperluaskan untuk bantu pelajar madrasah prauniversiti, dapat bantuan S$300

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat pertama kalinya pelajar madrasah sepenuh masa di peringkat prauniversiti akan menerima bantuan kewangan di bawah pakej sokongan Ramadan bernilai S$4.3 juta yang oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Di bawah pakej tersebut, sekitar 1,400 pelajar ITE, politeknik dan madrasah prauniversiti sepenuh masa akan menerima S$300 setiap seorang bagi membantu perbelanjaan persekolahan mereka.

Secara keseluruhan, lebih 10,500 penerima telah menerima bantuan di bawah pakej sokongan Ramadan itu yang mula diagihkan sejak 3 Mac lalu.

Selain pelajar, bantuan itu turut disalurkan kepada pelbagai kumpulan lain dalam masyarakat.

Lebih 5,000 keluarga yang menerima zakat bulanan akan mendapat bantuan antara S$150 hingga S$2,100, bergantung kepada saiz isi rumah.

Sekitar 2,600 penerima lain termasuk penduduk rumah kebajikan terpilih, penerima bantuan jangka panjang ComCare, isi rumah yang dirujuk oleh Pusat Khidmat Keluarga serta para asatizah daripada keluarga kurang berkemampuan turut menerima sekurang-kurangnya S$150.
SALAMSG GIVES RAMADAN

Selain bantuan kewangan, MUIS turut menggerakkan pelbagai inisiatif masyarakat sepanjang Ramadan menerusi usaha SalamSG Gives yang melibatkan kerjasama masjid serta para relawan.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, para kakitangan dan relawan dari Masjid Darul Makmur mengagihkan beg cenderahati Ramadan serta keperluan Hari Raya kepada keluarga memerlukan di Yishun pada Sabtu (14 Mac).

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Muhammad Faishal Ibrahim turut disertai Penasihat Akar Umbi bagi GRC Nee Soon, K. Shanmugam, Dr Syed Harun Alhabsyi serta Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen untuk sama-sama mengagihkannya dari rumah ke rumah penduduk berbilang kaum dan agama.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, menyampaikan biskut Hari Raya dan baucar Fidyah kepada penerima zakat semasa lawatan SalamSG Gives Ramadan di Yishun pada 14 Mac 2026. Beliau ditemani Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Fairus Abd Manaf,  Pegawai Pembangunan Sosial Masjid Darul Makmur, Ustazah Nur Insyirah Ibrahim, dengan Penasihat Akar Umbi bagi GRC Nee Soon, Encik K Shanmugam dan Dr Syed Harun. (Gambar: MUIS)
PELUANG DEKATI PENERIMA ZAKAT

Pegawai Pembangunan Sosial Masjid Darul Makmur, Ustazah Nur Insyirah Ibrahim berkata, usaha itu memberi peluang kepada pihak masjid untuk mendekati penerima zakat dengan lebih rapat.

“Dengan sokongan SalamSG, ini menjadikan usaha kami lebih meluas, sekaligus mencerminkan nilai kebersamaan dalam membantu setiap lapisan masyarakat. Ia juga melambangkan nilai-nilai syukur dan santun, mengambil berat antara satu sama lain, yang sememangnya menjadi semangat teras bulan Ramadan ini,” katanya.

Menurut beliau, maklum balas daripada penerima bantuan juga amat menggalakkan.

“Mereka menzahirkan kesyukuran dan menanti-nantikan pengagihan ini setiap tahun. Ini membuktikan bahawa usaha dan pendekatan seperti ini berkesan merapatkan jurang serta satu cara untuk kami memberitahu penerima zakat bahawa kesusahan yang mereka hadapi dapat diatasi atau diringankan bersama, dengan sokongan daripada MUIS, masjid dan anggota masyarakat yang lain," katanya.

Beliau berharap dapat terus menyumbang dan menyuntik keceriaan buat mereka yang memerlukan menjelang Syawal.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Mohd Fairus Abd Manaf berkata para relawan masjid turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif SalamSG.

“Untuk tahun ini, kita telah menggembleng tenaga dengan relawan daripada masjid untuk sama-sama kita menerapkan nilai 3S iaitu syukur, sopan dan santun,” katanya.
Beliau menambah pihak masjid turut bekerjasama dengan pelbagai agensi serta kumpulan akar umbi untuk mendampingi para penerima bantuan zakat melalui pelbagai inisiatif.

“Kami menyediakan juadah berbuka puasa kepada penerima bantuan zakat dan juga kuih Hari Raya untuk sama-sama kita menyantuni penerima bantuan zakat agar mereka tidak dilupakan ketika kita menyambut Lebaran yang penuh bermakna ini,” katanya.

Secara keseluruhan, lebih 1,100 isi rumah telah menerima manfaat daripada pengagihan juadah berbuka puasa dan hamper kuih Hari Raya yang dijalankan sepanjang Ramadan di bawah inisiatif SalamSG.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita