Skip to main content

Singapura

'Salah pengurusan teruk' Kuil Sri Veeramakaliamman terbongkar, libatkan dana lebih S$1.5 juta

Satu siasatan yang dijalankan Pesuruhjaya Pertubuhan-Pertubuhan Amal (COC) mendapati "salah pengurusan yang sangat teruk" di Kuil Sri Veeramakaliamman.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Apr 2018 02:03PM Dikemas Kini : 30 Apr 2018 11:03PM

SINGAPURA: Satu siasatan yang dijalankan Pesuruhjaya Pertubuhan-Pertubuhan Amal (COC) mendapati "salah pengurusan yang sangat teruk" di Kuil Sri Veeramakaliamman. Ini didedahkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia hari ini (30 Apr).

MCCY menyatakan siasatan COC "menunjukkan salah pengurusan yang sangat teruk dalam pentadbiran badan amal (tersebut) bagi tempoh antara 1 Januari hingga 31 Julai 2014", sambil menambah ia melibatkan anggota-anggota jawatankuasa pengurusan, yang menandatangani cek dan meluluskan perbelanjaan badan amal tersebut.

Anggota-anggota yang disyaki terlibat termasuk bekas pengerusi jawatankuasa pengurusan R Selvaraju, pemegang amanah amal dan pengerusi jawatankuasa sekarang ini, Sivakadacham dan Ratha Krishnan Selvakumar, pemegang amanah yang sedang menyandang jawatan sebagai setiausaha jawatankuasa pengurusan itu.

COC menyatakan bahawa para penyandang jawatan utama itu menjalankan tugas "dengan tidak berhati-hati dan berhemat". Malah, pesuruhjaya itu menyatakan bahawa dana badan amal itu dan aset-asetnya"diletakkan dalam keadaan berisiko".

Misalnya, pemegang jawatan utama "sewenang-wenangnya mengeluarkan cek tidak berpalang dan membenarkan cek sedemikian digunakan untuk mendapatkan wang tunai dalam premis badan amal itu". Kuil itu turut mengeluarkan cek tidak berpalang bernilai lebih S$1.5 juta antara 1 Januari 2011 hingga 31 Julai 2014, 45 daripadanya diagihkan kepada mereka yang tidak tersenarai sebagai penerima dan jumlahnya bernilai lebih S$227,000.

Menurut kenyataan itu lagi, Kumar juga mendapatkan pinjaman S$350,000 tanpa kelulusan jawatankuasa pengurusan dan tiada perjanjian bertulis dengan pemiutang. "Tiada bukti kukuh" yang menunjukkan jumlah itu diagihkan kepada para penerima yang layak.

PENGERUSI DIGANTUNG DARIPADA JAWATANNYA

"Kerana hasil siasatan kes ini serius, di bawah akta dan keizinan Peguam Negara, COC menggantung Siva daripada jawatannya dan juga sebagai ahli lembaga pentadbir serta pemegang amanah badan amal dengan serta-merta," menurut MCCY.

Selagi digantung daripada jawatannya, Siva tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam aspek pengurusan badan amal mahupun menghadiri mesyuarat jawatankuasa, tambah MCCY. COC juga mengarahkan supaya Siva melepaskan jawatannya sebagai anggota lembaga pentadbir dan pemegang amanah badan amal.

"Berhubung Kumar, COC berpendapat Kumar juga harus digantung daripada jawatannya atas pelibatannya dalam salah pengurusan pentadbiran badan amal berkenaan," menurut kementerian itu lagi.

"COC juga mendapati Kumar sebelum ini didapati bersalah atas kesalahan jenayah lain melibatkan elemen tidak jujur". Ini bermakna Kumar tidak wajar menyandang jawatan sebagai anggota lembaga atau pemegang amanah.

COC berjanji akan mengambil tindakan penguatkuasaan tehadap Selvaraju jika kembali bertugas di kuil tersebut.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita