Saksi pembela kata Razif Radi bukan adakan kelas agama, hanya kongsi pandangan
Razif antara lain didakwa menyebar ajaran bertentangan dengan syariah Islam, termasuk berjudi, bernikah secara batin, dan boleh menyeru roh 'Mbah'.
Saksi pembela ketiga (DW3) adalah yang pertama tampil di mahkamah pada Isnin (11 Nov).
Beliau tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah.
Wanita itu mula mengenali Razif pada sekitar tahun 2009.
Pada ketika itu, beliau terserempak rakannya iaitu saksi pembela (DW4) yang bersama Razif.
Tidak lama kemudian, beliau diambil bekerja di syarikat Green Media (milik Razif) dalam tahun yang sama.
Menjawab pertanyaan peguam bersekutu pembela Encik Nikolas Wong, dia menjelaskan, "Saya bertugas sebagai seorang pengurus bakat, menjaga kebajikan para artis yang kami undang, termasuk penerbangan, tempat tinggal mereka. Saya juga bertanggungjawab untuk penjualan tiket, mempromosikan acara-acara serta kontrak-kontrak."
Beliau juga ditanya siapa lagi yang bekerja di Green Media.
Wanita itu menjawab: “Razif, saya dan seorang lagi (saksi pembela) yang terlibat (bekerja) di Green Media. Kalau ada relawan, mereka hanya akan ada sewaktu penganjuran konsert atau acara.”
Berkenaan mesyuarat-mesyuarat di Green Media, wanita itu menerangkan: “Selalunya apabila kami sudah mendapatkan kontrak, mungkin mesyuaratnya diadakan seminggu sekali tetapi, menjelang hari acara, kami adakan kira-kira seminggu sekali, terutama sekali sebulan sebelum hari acara. Mesyuarat pun bukan diadakan pada hari yang tertentu dan mereka yang hadir juga berlainan. Kalau mesyuarat biasa, mungkin sekitar dua jam tetapi kalau hal perbincangan lebih teknikal, ia boleh berlangsung sehingga empat jam.”
Encik Wong kemudian bertanya jika mereka ada membincangkan hal lain yang tidak berkaitan dengan pekerjaan mereka.
“Mungkin tentang kehidupan kita, sebelum kita memulakan perbincangan. Kami tidak ingin membuang terlalu banyak masa juga,” jelas wanita itu.
“Ada perkara tentang agama?” tanya Encik Wong lagi.
Saksi itu menjawab: “Tidak ada.”
Selepas syarikat Green Media ditutup, ketiga-tiga Razif bersama dua saksi pembela itu terlibat dalam pembukaan perniagaan sebuah kafe pada 2017.
“Tanggungjawab (Saksi pembela) dan saya lebih kepada operasi. Kami memasak. Tanggungjawab saya lebih kepada penjualan, memasak. DW4 juga seperti saya, kami memasak tetapi dia juga menjaga aspek perakaunan, pemasaran dan penjualan.”
“Tanggungjawab Razif adalah seperti mengemas, membuat air, penyelenggaraan. Membersihkan tempat,” kata wanita itu.
Kira-kira lima tahun kemudian, mereka hentikan operasi kafe itu pada 2022.
PERTANYAAN TENTANG DAKWAAN SAKSI PENDAKWA
Dalam keterangan seorang saksi pendakwa (PW7) yang tampil di mahkamah pada 27 Jun, dia mengatakan bahawa dalam satu sesi ‘kelas’ yang diadakan di pejabat Green Media, dia mendapat tahu bahawa seorang rakannya sedang dimandikan oleh Razif.
Apabila Encik Wong cuba meminta penjelasan terhadap keterangan tersebut, saksi pembela (DW3) mengatakan bahawa pejabat itu hanya ada satu tandas yang kecil dan singkinya terletak di luar tandas.
“Pejabat Green Media terletak di tingkat tiga rumah kedai di Kandahar Street. Kalau benar dia keluar daripada satu bilik tandas, di mana pula kejadian mandi itu dijalankan?” jelas saksi pembela dengan satu pernyataan kembali kepada Encik Wong.
Dia juga menafikan dakwaan yang dia diajar mengaji Al-Quran oleh Rafiz seperti yang dinyatakan dalam keterangan oleh seorang saksi pendakwa (PW8).
Sebaliknya, wanita itu menjelaskan di hadapan Hakim Daerah Saiffudin Saruwan bahawa arwah pak cik dan datuknya yang mengukuhkan asas pembacaan Al-Quran buatnya, bukan Razif.
Beliau juga menambah bahawa saksi pendakwa (PW8) tidak ada sebab untuk mengatakan sebegitu kerana dia tidak rapat dengan beliau.
PEMERIKSAAN BALAS DENGAN DPP
Timbalan Pendawa Raya (DPP) Hidayat Amir, meminta penjelasan tentang ajaran 'talak tahi' yang didakwa diajar Razif.
Wanita itu sebaliknya mengatakan bahawa ia bukan satu kelas tetapi hanya perbualan semata-mata oleh mereka yang hadir.
Dia juga menerangkan kepada DPP Hidayat bahawa Razif bukan mengajar tapi sebaliknya hanya memberikan pandangan sahaja.
Apabila ditanya apakah pandangan Razif pada waktu itu, wanita itu berkata: "Saya benar-benar sudah terlupa."
DPP Hidayat juga merujuk kembali kepada keterangan saksi pendakwa (PW7) tentang kebolehan Razif untuk membawa turun bulan.
PW7 juga mendakwa ada kelas yang dijalankan Razif.
"Jadi awak mengatakan PW7 berbohong di mahkamah? Kenapa?" tanya DPP Hidayat.
Beliau menjawab: "Ya. Mungkin dia ada dendam dengan Razif atau seorang lagi saksi pembela (tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah)."
SAKSI PENDAKWA KEEMPAT TAMPIL BERIKAN KETERANGAN
Lagi seorang saksi pembela yang tampil di mahkamah pada Isnin (11 Nov) ialah wanita, 47 tahun.
Dalam beberapa bahan bukti yang digunakan di mahkamah, beliau disebut-sebut sebagai 'isteri batin' Razif.
Beliau mengenali Razif sejak 2004, menerusi seorang kenalan di acara pameran di Singapore EXPO.
Dari 2004 hingga 2009, beliau menerangkan kepada pihak pembela bahawa pertemuannya dengan Razif tidak kerap dan selalunya sekadar untuk membina rangkaian sahaja.
Menerusi persahabatan mereka berdua, dia mengatakan mereka juga diperkenalkan kepada keluarga masing-masing.
Pada 2009, dia menubuhkan syarikat Green Media bersama Razif.
Apabila ditanya mengapa dia memilih untuk berbuat demikian, wanita itu berkata: "Saya sudah bekerjasama dengan pelbagai jenis rakan kerja perniagaan tetapi mereka tidak berkongsi visi yang sama dalam industri Melayu ini. Saya juga ada isu dengan golongan lelaki yang hanya ingin pendapat mereka didengar tetapi Razif bukan sebegitu. Kami membuka syarikat Green Media di bawah namanya."
Beliau juga ditanya oleh Encik Wong tentang satu tulisan yang dilihat seperti catatan perbincangan dalam mesyuarat.
Namun, wanita itu menerangkan bahawa itu bukan tulisannya.
"Sebagai syarikat yang menjalankan acara-acara, kita jarang menyimpan catatan perbincangan dalam mesyuarat. Kalau ada pun, ia tidak ditulis dengan rapi. Kalau kami berkongsi agenda, mungkin tiga atau empat perkara sahaja, itu pun saya akan kongsikan secara lisan. Tidak dicatat," kata wanita tersebut.
Dia juga ditanya tentang keterangan saksi pendakwa yang mengatakan pernah menghadiri 'kelas agama' di pejabat Green Media dan di sebuah rumah di Teck Whye.
Menurutnya, ada di antara mereka yang tidak pernah dia lihat ataupun kenal.
Dia menjelaskan lagi bahawa 'kelas-kelas- itu mungkin disalah anggap sebagai sesi membina rangkaian.
"Pernah sesekali kami ke rumah itu untuk meraikan hari jadi," kata wanita tersebut.
Tentang 'isteri batin' pula, satu bukti yang kerap dirujuk adalah sepucuk surat yang menyebut empat nama saksi pembela sebagai 'isteri batin'.
Wanita itu menjelaskan bahawa surat itu adalah satu tulisan rekaan semata-mata oleh salah seorang daripada mereka.
Penjelasannya itu konsisten dengan apa yang dikatakan oleh saksi-saksi pembela lain sebelum ini.
Sesi pemeriksaan balas dengannya iaitu saksi pembela (DW4) akan disambung pada Selasa (12 Nov) sebelum saksi-saksi lain dipanggil.
Perbicaraan kes ini dijangka berakhir minggu ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.