Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saksi kata Mohd Razif Radi cuba sembuhkan adik perempuannya guna ritual 'buang roh jahat'

Anggaran Waktu Membaca:
Saksi kata Mohd Razif Radi cuba sembuhkan adik perempuannya guna ritual 'buang roh jahat'

Mohd Razif Radi (kanan) bersama peguam bela (Gambar: Nurhelmy Hakim)

SINGAPURA: Pernah menyaksikan bagaimana Mohd Razif Radi yang menghadapi tuduhan sebarkan ajaran sesat, cuba sembuhkan adik perempuannya dengan sebuah ritual dan gunakan bahasa aneh.

Lelaki itu yang merupakan saksi kesembilan tampil memberikan keterangannya di mahkamah hari ini (28 Jun) dalam hari kelima perbicaraan kes terhadap Mohd Razif Radi.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Mohd Razif pernah melawat rumah adiknya sekitar tahun 2011 untuk menjalankan satu ritual kerana adiknya “tidak sihat”.

Mengenai ritual itu, saksi itu berkata: “Sejauh mana saya boleh ingat, ritual itu untuk menghalau roh jahat. Ritual itu termasuk Mohd Razif akan membaca mantera yang merangkumi beberapa bahasa termasuk bahasa Arab dan bahasa aneh yang lain.”

Mohd Razif juga katanya akan melakukan beberapa pergerakan semasa ritual itu.

Dia juga berpandangan bahawa ritual itu ‘tidak sehaluan’ dengan pandangan dan kepercayaannya sebagai seorang Muslim.

APA HUBUNGAN ADIK SAKSI PENDAKWA DENGAN MOHD RAZIF?

Menurut saksi, adik perempuannya dan Mohd Razif terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang dilakukan di bawah sebuah syarikat bernama Green Media.

Dia menambah, dia pernah melihat di akaun Facebook Green Media dan dinyatakan bahawa Mohd Razif sebagai “orang utama” organisasi itu.

Saksi memberitahu Timbalan Pendakwa Raya, Hidayat Amir bahawa dia juga pernah menghadiri dua konsert yang dianjurkan syarikat itu.

Pada mulanya, saksi menyangka syarikat itu menjalankan kegiatan-kegiatan perniagaan.

Namun pada 2014, saksi dihubungi oleh adik iparnya (bekas suami adiknya) dan ditunjuk beberapa nota yang terkait dengan syarikat Green Media.

Beberapa kandungan yang saksi terbaca adalah tentang ‘Mbah’ serta kegiatan keagamaan seperti ritual yang menurutnya, bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Saksi juga mendedahkan bahawa nota-nota itu merangkumi kandungan tentang ‘projek menjudi yang membenarkan untuk membeli 4D’ dan ‘memberi makanan kepada burung-burung’.

Lelaki itu menjelaskan bahawa adik iparnya itu berkongsi nota-nota itu kepadanya kerana merasakan kelakuan dalam kandungan nota-nota itu memporak-perandakan rumahtangganya.

SAKSI RISAU TENTANG ADIKNYA

Saksi memberitahu mahkamah bahawa selepas mendapat tahu tentang nota-nota itu, dia mula risau tentang adiknya.

Dia tidak ingin adiknya terpesong dari segi ajaran agama.

Antara lewat 2015 dengan awal 2016, saksi dan adik-beradik yang lain berjumpa dengan adik perempuannya itu untuk membincangkan isu tersebut.

“Saya memberitahu adik saya dengan tegas bahawa dia sepatutnya mengasingkan diri dengan kegiatan-kegiatan Green Media. Saya sayang dia. Saya ingin dia keluar. Saya ingin dia asingkan diri daripada Mohd Razif. Sehingga sekarang, saya tidak melihat sebarang faedah, yang saya nampak hanya perkara buruk,” kata saksi di hadapan Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan.

“Adik saya tidak menerima nasihat saya. Saya ingat dia kata bahawa ada jaminan tentang satu durian runtuh jika dia kekal terlibat dalam Green Media. Saya tidak melihatnya sehingga hari ini,” tambah saksi

Pada 2020, saksi memberi nasihat yang sama, tetapi tetap ditolak oleh adiknya.

Saksi juga mendedahkan bahawa sejak dia tahu tentang nota-nota tersebut serta penglibatan adiknya dengan kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh syarikat Green Media, hubungan mereka sudah "tidak begitu rapat'.

Selepas lima hari perbicaraan kes itu berlangsung, ia direhatkan dan akan diteruskan pada 12 Julai.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan