Skip to main content

Singapura

Saksi DBS: Hyflux sorok maklumat masuk pasaran elektrik

Anggaran Waktu Membaca:
Saksi DBS: Hyflux sorok maklumat masuk pasaran elektrik
Encik Lum Moe Tchun dan Cik Olivia Lum Ooi Lin di Mahkamah Negara pada 13 Januari 2026. (Gambar: CNA/Justin Tan, Jeremy Long)
 
Diterbitkan : 13 Jan 2026 02:44PM Dikemas Kini : 13 Jan 2026 02:45PM
SINGAPURA: Seorang wakil daripada bank DBS pada Selasa (13 Jan) memberi keterangan bahawa Hyflux tidak mendedahkan kepadanya atau anggota pasukannya bahawa syarikat rawatan air tersebut akan menceburi perniagaan tenaga (elektrik).

Encik Lum Moe Tchun, yang kini merupakan pengarah urusan perbankan pelaburan di DBS, berkongsi perkara itu pada hari pertama penyambungan semula perbicaraan panjang terhadap bekas ketua eksekutif Hyflux, Olivia Lum Ooi Lin, 65 tahun, dan bekas pemimpin Hyflux yang lain.

Bersama dengan ketua pegawai kewangan ketika itu, Cho Wee Peng, dan empat bekas pengarah bebas Hyflux, Olivia Lum sedang dibicarakan atas tuduhan sengaja menyembunyikan butiran mengenai penjualan elektrik dalam projek Tuaspring mereka.

Hyflux mempromosikan projek tersebut kepada pasaran sebagai loji penyahgaraman air laut kedua dan terbesar di Tuas, namun didakwa menyembunyikan fakta bahawa mereka akan membiayai penjualan air pada harga yang sangat rendah kepada agensi air kebangsaan PUB melalui perniagaan baharu mereka, iaitu menjual elektrik daripada loji tenaga yang bakal dibina.

Kegagalan penyertaan dalam pasaran tenaga Singapura itu menyumbang kepada kehancuran syarikat dan menjejaskan kira-kira 34,000 pelabur yang memegang sekuriti kekal dan saham keutamaan, yang melibatkan hutang berjumlah S$900 juta, menurut pihak pendakwaan.

Pengurusan Hyflux memutuskan untuk mengeluarkan saham keutamaan bagi meraih dana dan melantik DBS sebagai pengurus utama bagi pengeluaran saham tersebut.

Syarikat itu mengemukakan kenyataan maklumat tawaran pada April 2011 kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk pengeluaran saham keutamaan Kelas A sehingga S$200 juta.

Permintaan terhadap saham ini sangat tinggi sehingga Hyflux akhirnya berjaya meraih S$400 juta.

KETERANGAN ENCIK LUM

Encik Lum memberitahu mahkamah pada Selasa bahawa beliau adalah naib presiden kanan di DBS pada waktu itu - antara 2010 dengan 2012 - dan beliau mengetuai kempen DBS dalam usaha meraih dana melalui saham keutamaan untuk Hyflux.

Beliau bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa ini mungkin pengeluaran saham keutamaan yang pertama oleh syarikat tersenarai yang bukan sebuah bank.

Encik Lum menjelaskan bahawa kenyataan maklumat tawaran tersebut mengandungi maklumat penting untuk dipertimbangkan oleh pelabur sebelum membeli saham tersebut.

Beliau berkata dokumen itu adalah "dokumen syarikat" yang drafnya disediakan oleh peguam Hyflux, dengan kemasukan daripada DBS dan peguam mereka sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua pihak sudah meneliti pelbagai soalan bagi memastikan tiada lagi pendedahan lanjut diperlukan dan maklumat di dalamnya tepat serta tidak mengelirukan.

Apabila ditanya bagaimana DBS memastikan syarikat membuat pendedahan penuh, Encik Lum berkata: "Kami hanya boleh bekerja dengan maklumat yang ada pada kami, iaitu pengumuman, siaran akhbar, dan maklumat yang didedahkan oleh syarikat kepada umum.

"Beliau berkata DBS akan menyemak maklumat tersebut berbanding kenyataan maklumat tawaran untuk memastikan ia konsisten.

"Jika kenyataan maklumat tawaran itu tidak betul, atau ada kenyataan yang salah, kami tidak akan meneruskan tawaran tersebut," kata Encik Lum.

Timbalan Pendakwa Raya Kevin Yong menunjukkan baris dalam kenyataan maklumat tawaran yang menyatakan bahawa hasil bersih daripada pengeluaran saham akan digunakan untuk membiayai projek air dan prasarana kumpulan.

Encik Lum berkata beliau menganggap "projek prasarana" itu bermaksud projek yang berkaitan dengan air. Beliau menambah bahawa tiada sesiapa pun dalam syarikat yang menjelaskan kepadanya maksud sebenar projek-projek tersebut.

Apabila ditanya sama ada Hyflux memberitahunya bahawa "projek prasarana" itu merujuk kepada projek tenaga elektrik, Encik Lum menjawab: "Saya tidak ingat mereka ada menyebut perkara itu, tidak."

Encik Yong kemudian menunjukkan siaran berita Mac 2011 mengenai projek Tuaspring dan menyatakan tiada apa-apa di dalamnya mengenai perniagaan tenaga atau risiko memasuki bidang tersebut.

Encik Lum berkata beliau tidak tahu mengapa ia tidak dinyatakan.Encik Lum menegaskan: "Pemahaman saya ialah tujuan utama loji tenaga itu adalah untuk membekalkan tenaga kepada loji penyahgaraman, dan sebarang lebihan akan dijual kepada rangkaian grid (nasional)."

Beliau menambah bahawa Hyflux tidak mendedahkan kepadanya atau pasukannya bahawa mereka sebenarnya sedang menceburi perniagaan tenaga.

Apabila ditanya apa yang beliau akan lakukan jika tahu perkara sebenar, Encik Lum berkata mereka mungkin akan meminta maklumat lanjut dan berbincang dengan penasihat undang-undang untuk mengubah atau menambah maklumat dalam pendedahan tersebut.

"Adakah pada bila-bila masa Hyflux meminta nasihat DBS tentang pendedahan mengenai loji tenaga itu?" tanya Encik Yong.

"Tidak, mereka tidak melakukannya," jawab Encik Lum.Perbicaraan akan diteruskan dengan Encik Lum dijangka disoal balas bagi beberapa hari akan datang.

Beliau adalah antara saksi terakhir pihak pendakwaan yang dijangka memberi keterangan.

Jika sabit kesalahan kerana bersetuju dengan kegagalan disengajakan Hyflux untuk mendedahkan maklumat jualan elektrik kepada bursa saham, Olivia Lum boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$250,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan membuat tawaran sekuriti kepada orang awam dengan menyembunyikan fakta tentang jualan elektrik, beliau boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$150,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita