SINGAPURA: Dua kucing peliharaan dalam keadaan sangat menyedihkan diselamatkan pada Selasa (6 Jun) selepas ia ditemui terbiar dan terkurung dalam sangkar di sebuah flat sewa di Jalan Minyak, berdekatan Havelock Road.
Para penyelamat kucing, yang mendapat tahu tentang perkara itu daripada jiran tetangga yang tinggal di atas unit terbabit, juga menemui saki-baki tiga kucing lain dalam sangkar yang sama.
Salah seorang penyelamat, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Wati, memberitahu Mediacorp bahawa para pegawai polis dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudahpun berada di unit berkenaan setibanya mereka di sana.
Beberapa penduduk lain, termasuk pihak yang memaklumkan tentang insiden itu, dan seorang wanita yang mengaku anak kepada pemilik kucing-kucing itu, juga ada di rumah tersebut.
"(Rumahnya) berserak. Baju dan perabot bersepah sana-sini," kata Cik Wati, seorang konsultan yang mempunyai pengalaman menyelamatkan kucing selama lebih 10 tahun.
"Kucing-kucing berada dalam sangkar di dapur. Ada najis di merata tempat dan mereka histeria, lapar dan gelisah."
Cik Wati turut memberi dua ekor kucing jantan itu makanan dan air.
Kedua-duanya ditemui dalam keadaan sangat kurus dan kotor.
Ada tiga tengkorak kucing lain di bahagian bawah sangkar, dan juga rangka tanpa sebarang isi padanya - hanya beberapa helaian bulu, tambah Cik Wati.
"Anak pemilik katakan dia memberi mereka makan dua minggu lalu. Tapi nampaknya kucing-kucing itu tidak diberi makan selama lebih dari sebulan." Gambar dekat kucing dalam sangkar dengan saki baki tulang kucing lain. (Gambar: Asy'ari Asni)
Tidak lama selepas itu, kakitangan daripada Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) tiba dan membawa dua kucing berkenaan pergi.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, pengarah kumpulan AVS, Jessica Kwok, berkata bahawa dua kucing itu masih dalam jagaannya dan siasatan sedang dijalankan.
Keluarga yang tinggal di flat Jalan Minyak itu difahamkan sedang dalam proses berpindah, menurut Cik Wati, yang turut berkongsi beliau sudah menangani sekurang-kurangnya empat kes lain tahun ini, di mana pemilik mengabaikan kucing mereka dalam sangkar dalam keadaan kurus kering.
Seekor kucing, yang diselamatkan dari sebuah flat di Pipit Road di MacPherson, mati semasa menjalani rawatan di klinik haiwan. Cik Wati sedang menjaga seekor lagi kucing yang diselamatkan dua minggu lalu, juga dalam keadaan kurus kering. Kucing dalam keadaan sangat menyedihkan ditemui dalam sangkar di flat rumah sewa Jalan Minyak pada 6 Jun 2023. (Gambar: Asy'ari Asni)
Mediacorp melaporkan bilangan kes pengabaian haiwan melonjak kebelakangan ini. Antara sebab-sebabnya termasuk keadaan yang berubah atau pembiayaan kos memelihara yang meningkat, selaras dengan kenaikan inflasi.
Para penyelamat kucing turut menyebut tindakan tidak mengembiri haiwan menyebabkan mereka membiak dalam rumah sehingga mendorong pemilik untuk mengabaikan haiwan-haiwan di bawah peliharaannya.
AVS menyiasat 310 kes pengabaian haiwan pada 2022. Ini suatu peningkatan berbanding 225 kes pada 2021, 251 kes pada 2020 dan 230 kes pada 2019.
Sementara itu, Persatuan Mencegah Penganiayaan Haiwan (SPCA) menerima antara 50 hingga 60 kes disyaki melibatkan pengabaian haiwan setiap tahun. Perangkaannya kekal konsisten sejak tahun-tahun lalu.
Mereka yang didapati gagal menjaga haiwan peliharaan masing-masing - atau mengabaikan mereka, yang juga merupakan satu kesalahan - boleh didakwa di bawah Akta Haiwan dan Burung. Pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga 12 bulan atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang menganiaya haiwan juga boleh dikenakan perintah maksimum tidak dibenarkan memiliki haiwan selama 12 bulan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.