SAKAT 2025 kupas perkembangan dan kesan gerakan sastera dunia selatan dalam konteks sejagat
Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2025 pada Selasa (9 Sep). (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Satu usaha yang meluas diperlukan untuk menembusi benteng dominasi naratif barat dalam sastera Melayu dan karya-karya yang dihasilkan di Asia Tenggara. .
Demikian antara cabaran yang dikongsikan Profesor Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris Perak, Malaysia, Profesor Abdul Halim Ali dalam pembentangan kertas kerjanya dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2025 pada Selasa (9 Sep).
Dalam pembentangannya, Dr Abdul Halim turut menekankan bahawa teori-teori sastera Malaysia boleh membantu menyebarkan nilai kemanusiaan sejagat kepada pembaca di seluruh dunia.
"Teori-teori sastera yang dijana oleh sarjana Malaysia memang sesuai digunakan sebagai 'framework' untuk dijadikan landasan mengkritik teks. Jadi kalau sekiranya teks itu berasaskan nilai-nilai universal, nilai yang sifatnya sejagat yang boleh diguna, difahami oleh khalayak ramai, teori-teori ini boleh menjadi landasan itu," kata Dr Abdul Halim.
Beliau juga menarik perhatian bahawa persidangan SAKAT adalah wadah yang baik untuk berkongsi ilmu dan berharap ia dapat dikembangkan.
"Yang penting selepas pembentangan ini bagi saya ialah usaha yang perlu diambil untuk memperluaskan ilmu yang telah dikembangkan dalam pembentangan itu kepada khalayak pembaca, khalayak ahli akademik untuk dibahas, diwacanakan supaya lebih meluas," ujar Dr Abdul Halim.
Beliau merupakan antara para sarjana dan penulis dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura yang dijemput untuk membuat pembentangan dalam SAKAT 2025.
SAKAT dengan tema "Sastera Global Selatan: Ke Arah Mensejagat Kemanusiaan" turut membincangkan dan mengetengahkan perkembangan dan kesan gerakan sastera dunia selatan dalam konteks sejagat.
MEMBINA JAMBATAN WARISAN MELALUI CERITA LISAN BRUNEI
Turut hadir di acara itu bagi memberikan perspektifnya dari kaca mata seorang pengamat sastera dari Brunei ialah Pensyarah Program Bahasa, Linguistik dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains, Universiti Brunei Darussalam, Dr Ena Herni Wasli.
Dalam kertas kerjanya bertajuk "Cerita Lisan Brunei sebagai Naratif Global Selatan: Menjambatani Warisan dan Wawasan melalui Pedagogi Persembahan”, beliau menegaskan bahawa cerita rakyat Brunei tidak hanya bersifat tempatan tetapi membawa nilai-nilai sejagat yang selari dengan naratif dunia selatan.
"Menariknya cerita Brunei, memang sebenarnya membawakan tema-tema sejagat sama seperti juga di global Selatan. Jadi melalui wadah persembahan dan pengajaran, kita melihat dari konteks pendidikan, ia memang sangat penting kerana kita mahu generasi kita sekarang mengetahui ini adalah tradisi warisan negara kita yang perlu dikembangkan dari satu generasi ke satu generasi dan juga dari satu zaman ke satu zaman yang lainnya," ujar Dr Ena.
Beliau juga menghargai peluang untuk berkongsi pandangannya itu di SAKAT 2025.
"Saya bersyukur dan teruja juga dalam pada masa yang sama kerana diberi peluang untuk membentangkan topik di seminar hari ini dan sekaligus juga untuk membuktikan suara Brunei sampai ke peringkat serantau dan juga global," kata Dr Ena.
MENGAPA MASALAH DARI ABAD KE-19 MASIH MEMBELENGGU MASYARAKAT?
Wakil daripada Singapura, Liyana Nasyita pula tampil dengan pembentangan bertajuk 'Bukan Setakat Puitika: Penulis Abad ke-19 dan Produksi Ilmu'.
Bagi dirinya, karya sastera tulisan tokoh-tokoh seperti Munsyi Abdullah dan Ibrahim Munsyi yang walaupun tidak menulis dengan niat untuk mengubah masyarakat, telah merakam realiti sosial pada ketika itu yang kini menjadi tugas sarjana hari ini untuk mengkaji apa yang ingin disampaikan mereka.
Cik Liyana menarik perhatian bahawa masih ada beberapa isu yang sudah membelenggu masyarakat sejak abad ke-19 sehingga ke hari ini.
“Jadi penting untuk kita lihat karya karya ini kerana mereka sudah melihat masalah dalam masyarakat pada zaman tersebut. Jadi, kita perlu melihat kembali, "oh sebenarnya masalahnya telah wujud pada abad ke-19 seperti tidak mengambil endah tentang bahasa, tentang perkara-perkara khurafat, tidak rasional dan sebagainya. Jadi benda-benda ini sudah berlaku dalam masyarakat Melayu pada abad 19 dan sebelumnya,” kata Cik Liyana yang merupakan Teman Warisan.
“Jadi tugas kita ialah bagaimana kita nak merubah masyarakat hari ini dan kalau kita lihat daripada abad ke-19 sampai hari ini kita ada amalan khurafat dan tidak rasional. Maknanya apa? Maknanya kita belum ada fikir ulang tentang cara kita fikir masalah kita hari ini dan sebagainya. Jadi, kita perlu mengkaji semula dan melihat bagaimana kita boleh mengubah masalah-masalah,” tambahnya.
MASTERA 2025
SAKAT ialah sebahagian daripada program yang diadakan sempena Persidangan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2025.
Seramai 50 wakil dari negara-negara anggota iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam akan berhimpun di Singapura untuk menghadiri program-program MASTERA.
Majlis Perasmian Mastera 2025 akan berlangsung pada Rabu (10 Sep) di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.