Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sajian 'steamboat' semakin popular untuk hidangan berbuka puasa

Hidangan nasi bersama lauk pauk Melayu menjadi kelaziman bagi sesetengah keluarga apabila berbuka puasa pada bulan Ramadan. Namun tidak kurang juga pelbagai pilihan hidangan lain bagi menepati citarasa berbeza-beza.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hidangan nasi bersama lauk pauk Melayu menjadi kelaziman bagi sesetengah keluarga apabila berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Namun tidak kurang juga pelbagai pilihan hidangan lain bagi menepati citarasa berbeza-beza.

Sempena Ramadan tahun ini, restoran 'The Buffet' di M Hotel Singapore misalnya, menawarkan sajian 'steamboat' ala makanan Cina yang boleh dinikmati seisi keluarga.

Ini dengan pilihan beraneka makanan laut seperti ketam, udang harimau dan daging segar lagi premium untuk dimakan bersama empat sup asas.

Konsep sebegitu juga memberi peluang untuk masyarakat Islam mencuba hidangan-hidangan yang lazimnya tidak halal.

Misalnya, sup kolagen yang dimasak lebih lapan jam.

"Selain Mala, kita ada juga pilihan sup iaitu laksa, tom yam, sup ayam dan juga kolagen. Dan sup kolagen merupakan antara sup kami yang utama yang kami menjual di sini. Kerana di luar sana memang sukar untuk kami mendapatkan sup kolagen yang halal. Jadi di sini kami menyediakan sup kolagen yang halal yang 100 peratus berkhasiat," kata salah seorang cef utama di M Hotel, Cef Boz Zarul Yacob.

Sejak menu sedemikian diperkenalkan dua tahun lalu, sambutannya cukup menggalakkan daripada para pelanggan Melayu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

MAKANAN TIDAK MENGANDUNGI MSG

Menurut Cef Boz yang berpengalaman hampir 10 tahun dengan M Hotel, hidangan sebegitu juga sesuai dijadikan sebagai santapan berbuka puasa.

"Di bulan puasa kita berpuasa seharian, makanan yang tidak berat sangat tetapi benda yang bersup dapat membantu menaikkan selera," ujarnya.

Untuk memastikan hidangannya juga lebih sihat, Cef Boz tidak menggunakan sebarang bahan perasa di dalam sup.

"Semua kita punya asas sup, tidak ada MSG (bahan perasa). Di masa yang sama kita punya Udang Herba iaitu udang yang segar dimasak di dalam sup herba yang direka khas untuk membantu kita punya tenaga. Pada masa yang sama makanan segar, sayur segar dan makanan laut segar yang di sediakan," tambah Cef Boz.

(Gambar: M Hotel)

Untuk tahun ini, restoran The Buffet mula menawarkan menu Ramadan lebih awal iaitu seminggu sebelum Ramadan.

Permintaannya juga cukup memberangsangkan buat dua minggu pertama Ramadan.

"Kita mendapat peningkatan secara tiba-tiba tempahan daripada orang ramai. Boleh dikatakan 70 peratus hingga 80 peratus and hari minggu selepas itu kita sudah penuh," kata Cef Boz.

Kapasiti tempat duduknya juga dinaikkan daripada 100 hingga 120 bagi memenuhi permintaan sedemikian.

(Gambar: Syawal Yusoff)

PELANGGAN SUKA DENGAN KELAINAN, KEPELBAGAIAN

Hidangan unik seperti itu juga menarik perhatian beberapa pengunjung.

"Ada dua pelbagai sup. Jadi satu boleh pedas, satu boleh tak pedas pun. Jadi tengoklah citarasa," kata Cik Farah Firzanah.

Selain makanan, kemudahan yang disediakan M Hotel bagi para pelanggan Islam juga menarik perhatian Encik Max Ahmad.

"Memang sesuai untuk bulan puasa kerana kita orang Melayu suka makan rasa-rasa yang lain. Yang paling penting juga ada musollah dekat sini. Jadi kalau nak solat pun boleh juga lepas itu."

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi Cik Juriah Aziz pula, teknik 'perlu masak sendiri' makanannya sesuatu yang mungkin mengambil masa, lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan nanti.

"Ini adalah sesuatu yang berlainan. Mungkin agak leceh sedikit untuk sesetengah orang sebab lepas ini kita nak kena cepat-cepat solat dan kejarkan tarawih dan sebagainya."

Cik Rasheedah Goh yang merupakan seorang muallaf pula gembira melihat pilihan sebegitu di mana beliau dan ibunya yang berlainan agama masih dapat menikmati makanan bersama.

"Ini adalah makanan yang sangat-sangat Cina yang sesuai dengan saya dan ibu. Saya seorang mualaf jadi ia memenuhi citarasa saya dan sup sangat hebat. Kami akan datang lagi," kata Cik Goh.

(Gambar: Syawal Yusoff)

LAUK PAUK MELAYU TURUN TEMURUN MASIH DISEDIAKAN

Bagi yang lebih gemar hidangan Melayu pula, restoran itu tetap menawarkan beberapa hidangan yang merupakan resipi turun temurun keluarga Cef Boz sendiri.

Ini termasuk Bubur Lambuk, Asam Pedas Ekor Lembu, Rendang Tok Itik, Itik Salai Masak Lemak dan Nasi Impit bersama Rendang Ayam Minang.

Bufet Ramadan M Hotel disediakan setiap hari bermula 6 petang hingga 10 malam, sehingga 23 April 2023.

Harga bagi seorang adalah di antara S$58++ dengan S$68++ bagi orang dewasa, dan antara S$29++ dengan S$34++ untuk kanak-kanak.

Orang ramai digalak untuk membuat tempahan terlebih dahulu.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan