Saintis S'pura cipta kit uji darah bagi kesan imuniti terhadap COVID-19 dalam 10 minit
SINGAPURA: Sekumpulan saintis di Singapura berjaya menghasilkan kit ujian darah yang berupaya mengetahui sama ada seseorang mempunyai imuniti terhadap COVID-19 dalam masa 10 minit, dengan tahap ketepatan sehingga 93 peratus.
Kit tersebut dibangunkan oleh pasukan dari Perikatan Singapura-MIT bagi Penyelidikan dan Teknologi (SMART) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU). SMART adalah perusahaan penyelidikan Institut Teknologi Massachusetts di Singapura.
Kit tersebut memerlukan hanya setitik darah dan berupaya mengesan sama ada seseorang itu mempunyai antibodi bagi melawan SARS-CoV-2 - virus yang menyebabkan COVID-19 - dalam masa 10 minit, berbanding 24 hingga 72 jam yang diperlukan bagi ujian makmal konvensional, menurut SMART dan NTU dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (22 Sep).
Ujian ini "mudah untuk disesuaikan" bagi varian-varian baru dan penyakit-penyakit lain pada masa akan datang, kmenurut para saintis, yang turut menyifatkan ujian tersebut sebagai "rendah kosnya".
Ujian itu boleh dilakukan oleh seseorang tanpa latihan perubatan dan tidak memerlukan sebarang peralatan di makmal.
Ini akan membuka laluan kepada "ujian berskala besar bagi kumpulan-kumpulan yang mudah terdedah," seperti warga tua, menurut kenyataan media tersebut.
Kit ujian itu berupaya mengesan imuniti terhadap COVID-19 berdasarkan antibodi yang dikesan pada sampel darah, kata para saintis. Ini berbeza dengan ujian ART yang mengesan kehadiran protein yang dihasilkan apabila seseorang terkena jangkitan COVID-19.
Melalui antibodi yang dikesan menerusi ujian tersebut, ia boleh memaklumkan seseorang tentang betapa mereka harus berhati-hati terhadap potensi dijangkiti sebelum mendapatkan suntikan dos penggalak dan bila suntikan dos penggalak itu patut diambil.
Pasukan dari SMART yang menghasilkan kit ujian tersebut juga sudah menubuhkan Thrixen, sebuah syarikat pemula yang sedang membangunkan ujian itu sebagai produk yang boleh dipasarkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.