Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saintis S'pura rancang uji vaksin COVID-19 tahun ini: Gan Kim Yong

Para saintis dari Sekolah Perubatan Duke-NUS sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa untuk menghasilkan percubaan klinikal bagi vaksin COVID-19, dan merancang untuk memulakan ujian pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Saintis S'pura rancang uji vaksin COVID-19 tahun ini: Gan Kim Yong

(Gambar fail)

Diterbitkan : 25 Mar 2020 04:16PM Dikemas Kini : 25 Mar 2020 04:21PM

SINGAPURA: Para saintis dari Sekolah Perubatan Duke-NUS sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa untuk menghasilkan percubaan klinikal bagi vaksin COVID-19, dan merancang untuk memulakan ujian pada tahun ini.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata di Parlimen pada Rabu (25 Mac) bahawa Sekolah Perubatan Duke-NUS bekerjasama dengan Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) dan rakan-rakan kongsi antarabangsa lain untuk menghasilkan percubaan klinikal berkenaan.

Negara-negara sedang bekerjasama untuk mengenal pasti calon-calon vaksin dan menjalankan ujian.

"Bagi vaksin, para saintis di seluruh dunia telah berjaya mengasingkan dan membiakkan virus itu, yang akan bantu dalam pembangunan vaksin," kata Encik Gan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan tempoh paling awal vaksin dapat disiapkan adalah pada 2021, katanya.

Sebuah kumpulan kerja terapeutik COVID-19 merangkumi para anggota dari pelbagai hospital dan disiplin yang berbeza serta Penguasa Sains Kesihatan (HSA), ditubuhkan untuk mengkaji penggunaan ubatan antivirus yang diubah
untuk tujuan lain bagi merawat pesakit COVID-19 di Singapura.

Encik Gan berkata kumpulan itu akan menghasilkan garis panduan untuk menggunakan ubat-ubatan itu, yang termasuk ubat anti-HIV Lopinavir dan Ritonavir, Interferon Beta-1B dan hydroxychloroquine.

Pada bulan lalu, ketua saintis kesihatan MOH Tan Chorh Chuan memberitahu wartawan sejumlah kecil pesakit virus korona dirawat dengan menggunakan ubat anti-HIV Lopinavir dan Ritonavir.

Menurutnya, MOH perlu melihat keputusan percubaan yang dilakukan di China dan di tempat-tempat lain dan menentukan keberkesanannya.

"Sejauh ini, keputusan daripada kajian-kajian yang lain kelihatan agak memberangsangkan," kata Prof Tan.

Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Hospital Tan Tock Seng, bersama Pusat Darah Singapura telah mula mendapatkan penderma untuk mengumpulkan plasma darah pemulihan daripada pesakit COVID-19 yang telah pulih, kata Encik Gan.

Sehingga Selasa, 155 pesakit di Singapura telah pun sembuh daripada penyakit itu.

"Para doktor kami juga telah mengambil bahagian dalam percubaan klinikal antarabangsa, dengan rakan kerjasama seperti Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat," kata beliau.

"Kami tidak tahu berapa lama pandemik ini akan berterusan, tetapi kami perlu merancang atas dasar bahawa COVID-19 akan berpanjangan buat tempoh yang lama, mungkin hingga akhir tahun ini atau lebih lama, dan memastikan bahawa kami mempunyai sumber dan keupayaan untuk mengharunginya."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan