Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saintis NTU hasilkan 'fabrik' berupaya tukar pergerakan tubuh jadi tenaga elektrik

Para saintis dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berjaya menghasilkan "fabrik" yang berupaya menukar pergerakan tubuh menjadi tenaga elektrik.

Anggaran Waktu Membaca:
Saintis NTU hasilkan 'fabrik' berupaya tukar pergerakan tubuh jadi tenaga elektrik

Profesor Lee Pooi See (kiri) dan penuntut PhD Jiang Feng. (Gambar: NTU Singapore)

SINGAPURA: Para saintis dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berjaya menghasilkan "fabrik" yang berupaya menukar pergerakan tubuh menjadi tenaga elektrik.

Fabrik tersebut mungkin boleh, pada satu hari nanti, disepadukan pada pakaian atau peranti elektronik yang boleh dipakai untuk menghidupkan peranti di mana-mana sahaja, menurut universiti itu dalam kenyataan medianya pada Khamis (2 Jun).

Fabrik itu boleh diregangkan, kalis air dan 'kuat' kerana ia diperbuat daripada lapisan asas spandeks dan disepadukan dengan "bahan ala getah".

Membasuh, melipat dan meronyokkannya juga tidak akan menyebabkan sebarang penurunan mutu, dedah NTU, sambil menambah ia boleh mengekalkan keluaran elektrik yang stabil sehingga lima bulan lamanya.

Komponen penting dalam fabrik itu adalah polimer yang, apabila ditekan atau diperah, menukar tekanan mekanikal menjadi tenaga elektrik.

Dalam satu eksperimen yang dilaporkan dalam jurnal saintifik Bahan Lanjutan pada bulan April, pasukan NTU berupaya menunjukkan bahawa dengan menepuk fabrik baru berukuran tiga sentimeter kali empat sentimeter itu, ia mampu menjana tenaga elektrik yang secukupnya untuk menyalakan 100 LED atau mengecas pelbagai peralatan yang menyimpan tenaga elektrik dan didapati dalam peranti seperti telefon bimbit.

Ahli saintis bahan dan Profesor Madya Provos Lee Pooi See berkata terdapat banyak percubaan untuk menghasilkan fabrik atau pakaian yang boleh menjana tenaga daripada pergerakan tubuh.

Bagaimanapun, cabaran besarnya adalah untuk menghasilkan sesuatu yang fungsinya tidak merosot selepas dibasuh dan pada masa yang sama berupaya mengekalkan keluaran elektrik yang sangat baik.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI?

NTU menyatakan fabrik itu adalah peralatan yang berupaya menjana tenaga, yang menukar gegaran yang dihasilkan daripada pergerakan tubuh yang paling kecil menjadi tenaga elektrik.

Prototaip itu mengeluarkan tenaga elektrik melalui dua cara: Apabila ia ditekan atau dilenyekkan, dan apabila ia bersentuhan dengan bahan-bahan lain, seperti kulit atau sarung tangan getah.

Bagi mereka prototaip tersebut, para pengkaji harus pertama sekali membuat elektrod yang boleh diregangkan dengan mencetak melalui cara skrin "dakwat" yang merangkumi perak dan styrene-ethylene-butylene-styrene (SEBS), iaitu bahan persis getah.

Elektrod itu kemudian dipasang pada fabrik nanofiber yang diperbuat daripada dua komponen utama: Polimer yang menghasilkan cas elektrik apabila dimampatkan, dibengkok atau diregangkan, serta perovskit bebas plumbum (lead), iaitu "bahan yang berpotensi besar" bagi sel-sel solar dan LED.

Pasukan itu kini berusaha melihat bagaimana fabrik yang sama itu boleh disesuaikan bagi menjana pelbagai bentuk tenaga.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan