Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sahari Ani, Abdul Jamal antara penerima Anugerah Palang Merah SG sempena ulang tahun badan itu ke-75

Anggaran Waktu Membaca:
Sahari Ani, Abdul Jamal antara penerima Anugerah Palang Merah SG sempena ulang tahun badan itu ke-75

Penerima Anugerah Palang Merah Singapura, Sahari Ani (kiri) dan Abdul Jamal (kanan). (Gambar-gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) komited untuk terus mempertingkatkan lagi skala dan jangkauan khidmat-khidmat kemanusiannya secara progresif.

Di majlis penyampaian anugerah sempena ulang tahun ke-75 badan itu, Pengerusi SRC, Tan Kai Hoe berkata ia juga sedang berusaha untuk meluaskan lagi golongan yang dibantu termasuk pekerja hijrahan dan warga emas yang tinggal sebatang kara.

"Kami ingin meletakkan diri kami dalam kedudukan yang berfikiran dan berpandangan jauh dan kami sentiasa memperbaiki program dan mempertingkatkan huraian untuk melindungi dan berkhidmat lebih baik lagi buat yang rentan. Kami sedang meneroka ciri-ciri yang dipertingkatkan untuk HoME+ iaitu program Home Monitoring & Eldercare kami untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga emas kami," ucap Encik Tan.

"Kami juga komited untuk menyokong masyarakat pekerja hijrahan yang sering terlepas pandang di Singapura, membantu mereka rasa seperti di rumah meskipun berjauhan daripada negara asal menerusi aktiviti dan latihan yang dapat mempertingkatkan kesejahteraan fizikal dan mental mereka serta bantuan terakhir kami untuk mereka yang kurang bernasib baik yang memerlukan pengangkutan perubatan pulang ke rumah mereka dalam masa-masa yang mencabar," tambah beliau.

ANUGERAH BAHARU DILANCAR, LEBIH 200 DIIKTIRAF

SRC turut melancarkan satu anugerah baharu Anugerah Ulang Tahun ke-75 - 'Together For Humanity' untuk mengiktiraf individu dan pertubuhan yang sudah memainkan peranan penting dalam membangunkan dan menjayakan usaha-usaha kemanusiaan SRC.

Antara penerimanya termasuk Mediacorp dan Persatuan Rakyat (PA).

Secara keseluruhannya, lebih 200 sukarelawan, pemimpin belia dan rakan masyarakat diiktiraf dalam majlis itu bagi beberapa kategori anugerah.

SAHARI ANI TERIMA ANUGERAH PEKERJA CEMERLANG

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Antaranya termasuk Encik Sahari Ani yang menerima Anugerah Pekerja Cemerlang.

Encik Sahari, 61 tahun, sudah mula berkhidmat sebagai kakitangan SRC sejak 2001 lagi.

Beliau yang kini menggalas peranan sebagai Dekan dan Pengarah Kumpulan Akademi Palang Merah Singapura berasa "rendah hati" menerima anugerah itu.

"Saya sudah diberi peluang untuk berkecimpung dalam bidang kemanusiaan. Ini adalah lebih daripada pekerjaan (bagi saya). Ini adalah peluang yang amat berkat dan rahmah dan memberi saya peluang untuk membuat sesuatu yang saya selesa dan cintai," kongsi Encik Sahari kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Bagi saya, anugerah ini lebih mencerminkan sokongan yang telah diberikan kepada saya selama 20 tahun saya bekerja sebagai pekerja kemanusiaan. Sokongan dari majikan, rakan kerja, para relawan dan keluarga saya. Sokongan ini adalah yang memungkinkan saya dapat meneruskan kerja-kerja kemanusiaan saya terutama sekali isteri saya yang dengan sepenuh hati dan tanpa syarat menyokong aspirasi saya ini," tambahnya.

HARAP DAPAT WAKIL SG DENGAN BAIK, KIBARKAN BENDERA NEGARA DENGAN BANGGA
Gambar: SRC
Encik Sahari malah sudah banyak menyumbang dalam usaha menggerakkan kerja-kerja SRC di peringkat global termasuk semasa bencana tsunami di Aceh pada 2004.

"Saya berharap dalam misi-misi kemanusiaan dan perbincangan kolaboratif, saya dapat mewakili SRC dengan baik dan juga mengibarkan bendera Singapura dengan bangga," ujar Encik Sahari.

"Selain dari itu, pada saya dengan pengalaman saya, saya dapat terus memperjuangkan kerja-kerja kemanusiaan SRC. Saya juga berharap dapat memberi bimbingan kepada generasi muda yang berminat dalam bidang ini tetapi bukan hanya untuk kemahiran teknikal atau ilmu kerana pada saya, yang lebih penting adalah nilai dan semangat kemasyarakatan dan kemanusiaan," tambahnya.
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Menyaksikan sendiri keihsanan yang dipamerkan mereka yang menghulurkan pertolongan menjadi motivasi bagi Encik Sahari terus berbakti pada usia senjanya itu.

"Apabila saya ditugaskan untuk memberi bantuan kepada para pelarian Ukraine di Poland, di sana saya dapat bertemu dengan keluarga di mana si ibu mempunyai anak yang menghidap 'rare diseases' atau penyakit yang jarang ada.

"Walaupun beliau sudah mendapat perkhidmatan yang diperlukan (di Poland), beliau tidak lupa untuk terus memperjuang dan mendapatkan bantuan untuk keluarganya yang masih berada di Ukraine yang mempunyai anak senasib dengannya. Melihat daya tahan keluarga itu untuk terus membantu orang lain adalah sesuatu yang hanya dapat disaksikan dalam pekerjaan saya dan ini menjadi motivasi utama untuk saya," jelas Encik Sahari.

ABDUL JAMAL TERIMA ANUGERAH KEPUJIAN TINGGI, INGIN TERUSKAN SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Seorang lagi yang diiktiraf ialah Encik Abdul Jamal Abdul Hameed, 58 tahun menerusi kategori Anugerah Kepujian Tinggi.

Meskipun tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan, beliau berkongsi bahawa anugerah itu merupakan satu pencapaian bagi beliau serta "hadiah" hari jadi istimewa baginya.

"Selama ini, sumbangan saya banyak di SRC (menguruskan) 'First Aider' atau mereka yang sediakan bantuan kecemasan. Saya juga beri bantuan dalam pendermaan darah dan merupakan penderma juga. Saya juga seorang jurulatih untuk 'First Aid' atau bantuan kecemasan dan terlibat dalam memberi latihan dan mengajar dalam topik tersebut," kongsi Encik Jamal.

"Pada saya, tidak kira anugerah ke apa, asalkan saya ada tenaga dan ada masa, saya akan sambung perjalanan saya," tambah beliau.
Gambar: SRC
Selain kerja-kerja kemanusiaan dalam negara, Encik Jamal turut mengambil bahagian dalam misi-misi di luar negara sebagai sebahagian daripada pasukan 'Overseas Disaster Deployment Training' (ODDT) untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan.

Antaranya termasuk pengalaman membantu mangsa tsunami di Sri Lanka.

"Daripada tidak membuat apa-apa dan membuang masa (baik menyumbang). Ini mungkin minat saya untuk menolong seseorang. Pertolongan itu bukan semestinya wang sahaja tetapi juga masa, tenaga, semua terbabit juga," ujar Encik Jamal.

RERUAI 'POP-UP' DI MERATA SG DEKATI MASYARAKAT TENTANG USAHA KEMANUSIAAN SRC
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Di majlis itu juga, tetamu terhormat, Presiden Tharman Shanmugaratnam melancarkan kempen Pendampingan Masyarakat sempena ulang tahun ke-75 SRC.

Di bawah usaha itu, SRC akan mengadakan reruai 'pop-up' untuk mendekati masyarakat dan berkongsi usaha-usaha kemanusiaan badan itu menerusi pameran dan kegiatan interaktif.

Ia akan diadakan di pelbagai lokasi termasuk HomeTeamNS Bedok, pusat membeli-belah IMM, Suntec City, serta Kelab Masyarakat Tampines West.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan