Skip to main content

Singapura

Saga SingPost berkait tadbir urus korporat, tidak jejas perkhidmatan pos tempatan: MDDI

Pemerintah Singapura pada Selasa (7 Jan) menyatakan perkhidmatan pos dalam negara yang dikendalikan oleh Singapore Post tidak terjejas oleh insiden terkini yang menyebabkan tiga pegawai eksekutif dipecat pada Disember lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Saga SingPost berkait tadbir urus korporat, tidak jejas perkhidmatan pos tempatan: MDDI

Gambar fail: lavendertime/iStock

Diterbitkan : 07 Jan 2025 01:36PM Dikemas Kini : 07 Jan 2025 01:37PM
SINGAPURA: Pemerintah Singapura pada Selasa (7 Jan) menyatakan perkhidmatan pos dalam negara yang dikendalikan oleh Singapore Post tidak terjejas oleh insiden terkini yang menyebabkan tiga pegawai eksekutif dipecat pada Disember lalu.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah menilai dan berpuas hati bahawa kejadian itu terhad kepada penghantaran bungkusan kargo ke luar negara dan ia tidak menjejas perkhidmatan pos domestik terkawal, kata Menteri Negara Kanan Penerangan dan Pembangunan Digital Tan Kiat How dalam respons kepada soalan parlimen.

"Ia adalah soal tadbir urus korporat, yang kini ditangani oleh lembaga SingPost," katanya.

Pada Disember lalu, SingPost memecat ketua kumpulan pegawai eksekutif Vincent Phang, ketua kumpulan pegawai kewangan Vincent Yik dan ketua unit perniagaan antarabangsa Li Yu disebabkan kecuaian dalam mengendalikan laporan maklumat berkaitan dakwaan pemalsuan data penghantaran e-dagang.

Ketiga-tiga bekas eksekutif itu kemudian berkata mereka akan mencabar keputusan Singpost memecat mereka.

Encik Tan berkata lembaga SingPost memberi jaminan kepada pemerintah bahawa operasi perkhidmatan pos mereka tidak terjejas.

"Sungguhpun begitu, IMDA akan terus melakukan pemantauan demi melindungi kepentingan orang awam," katanya.

"Sebagai pemegang lesen perkhidmatan pos awam, kami berharap SingPost dapat memenuhi kewajipannya dalam mengendalikan perniagaan perkhidmatan pos yang terkawal. Ini termasuk memastikan khidmat penghantaran surat dalam negara memenuhi standard kualiti perkhidmatan IMDA."

Beliau juga menambah bahawa Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) prihatin terhadap dapatan insiden pemberi maklumat itu dan langkah pemecatan yang dilakukan selepasnya.

MDDI sedang memantau situasi dengan teliti untuk memastikan perkhidmatan pos dalam negara tidak terjejas, terutama sekali dalam tempoh sekarang ini di mana ketua kumpulan pegawai eksekutif baharu belum lagi dilantik.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita