Skip to main content

Singapura

SAFTI City: Bangunan mirip bangunan HDB, 'kesan medan tempur' bantu askar latih bagi perang moden

Bangunan tinggi yang kosong, letupan kuat dan asap, serta sebuah kereta api MRT yang tidak lagi beroperasi boleh ditemui di “bandar” ini, yang digelar SAFTI City.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Mar 2025 10:01PM Dikemas Kini : 19 Mar 2025 10:59PM
SINGAPURA: Bangunan tinggi yang kosong, letupan kuat dan asap, serta sebuah kereta api MRT yang tidak lagi beroperasi boleh ditemui di “bandar” ini, yang digelar SAFTI City.

Sekumpulan askar pula bersiap sedia untuk memasuki dan membunuh askar seteru di dalam salah satu bangunan, dalam usaha untuk menawannya.

Ia mungkin kelihatan seperti adegan dalam filem perang distopia, tetapi ini adalah hari latihan biasa bagi fasa pertama Institut Latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFTI) City, iaitu sebuah kemudahan latihan bandar baharu yang dirasmikan pada Rabu (19 Mac) oleh Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

Sejak dibuka bagi latihan pada Oktober tahun lalu, sekitar 3,000 askar telah menjalani latihan di sana, dengan kira-kira 20,000 askar dijangka akan dilatih di lokasi itu setiap tahun.

Gabungan bangunan rendah dan tinggi juga membolehkan sehingga dua batalion, atau sekitar 1,200 tentera, berlatih pada satu-satu masa.

“SAFTI City merupakan manifestasi fizikal untuk memberikan realisme kepada tentera kami supaya mereka bersedia,” kata Dr Ng semasa pelancaran kemudahan tersebut.

Beliau menambah bahawa beliau tidak mengetahui mana-mana tentera di dunia yang mencapai "skala kerumitan" seperti itu dengan kemudahan latihan sedemikian.

Bagi mensimulasikan persekitaran bandar, sesetengah pasukan tentera akan melonggokkan kontena-kontena kapal dan membuat lubang di dalamnya, kata beliau.

Semasa pelancaran, Dr Ng merasmikan sebuah plak yang menandakan pembukaan kemudahan tersebut bersama Ketua Tentera, Mejar Jeneral (MG) David Neo dan Brigedier Jeneral Cai Dexian, yang akan menggantikan peranan MG Neo pada 21 Mac.
Menteri Pertahanan Ng Eng Hen (berbaju merah) merasmikan plak pembukaan SAFTI City bersama Ketua Tentera, Mejar Jeneral David Neo (ketiga dari kanan) dan Brigedier Jeneral Cai Dexian (kedua dari kanan). (Gambar: CNA/Justin Ong)
Fasa kedua SAFTI City pula akan melibatkan pembinaan kompleks perindustrian serta terminal feri, tetapi tiada garis masa disediakan bagi tarikh ia siap dibina.

Beberapa wakil media turut diberi peluang untuk membuat lawatan ke SAFTI City pada 13 Mac, bermula dengan tinjauan ke “pusat pertukaran bas”, yang mempunyai tempat menaiki bas, model tangga bergerak, serta siling yang tinggi persis kemudahan dalam kehidupan sebenar.

“Pusat pertukaran” itu adalah salah satu daripada 71 bangunan di bandar tersebut, di mana 43 daripadanya adalah bangunan sederhana dan tinggi.
Model tangga bergerak di pusat pertukaran bas di SAFTI City. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
BANGUNAN TINGGI

Bersebelahan pusat pertukaran bas itu, terdapat satu lagi bangunan tinggi - sebuah bangunan 12 tingkat yang dikenali sebagai Menara Murai. Bangunan tersebut mensimulasikan bangunan pejabat. Pihak media juga dibawa ke tingkat atas bangunan tersebut.

Terdapat sebanyak tiga bangunan 12 tingkat di SAFTI City, dengan dua lagi mensimulasikan blok kediaman dan sebuah hotel.

Sensor yang dilengkapi kod QR juga diletakkan di seluruh bangunan - di koridor, bilik, dan lif - membolehkan jurulatih untuk menjejaki kedudukan setiap askar semasa latihan tempur.

Terdapat juga pembesar suara yang mengeluarkan bunyi, seperti letupan serangan udara, untuk memastikan askar sentiasa berwaspada.

Sekitar 11,000 sensor dan peranti dipasang di seluruh SAFTI City bagi meningkatkan realisme peperangan di samping menjejak pergerakan para askar.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkata dalam satu kenyataan bahawa SAFTI City "direka untuk menyerupai bandar moden yang padat, dengan campuran bangunan rendah dan tinggi yang mempunyai banyak pintu masuk dan keluar, bangunan yang saling berhubung, persekitaran bawah tanah, mewujudkan persekitaran yang realistik untuk mencabar askar kami dari segi kerumitan operasi bandar."
Bahagian dalam kereta api MRT yang ada di SAFTI City, dengan sasaran dalam kabin untuk digunakan semasa sesi latihan. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
MRT YANG TIDAK LAGI DIGUNAKAN

Selain daripada pusat pertukaran bas, hab pengangkutan di SAFTI City juga ada sebuah stesen MRT, dinamakan Stesen Poyan, sempena nama kolam air yang berhampiran.

Terdapat papan tanda di sekitar stesen yang diambil rujukan daripada papan tanda MRT sebenar, yang menunjukkan lokasi laluan MRT lain dan pintu-pintu keluar.

Sebuah "gantri" tiruan turut dilihat oleh para wartawan, namun mereka tidak perlu menyentuh kad untuk melalui gantri tersebut.

Setelah turun dua tingkat, MRT yang sudah dihentikan perkhidmatannya dari Laluan Utara-Selatan-Timur-Barat boleh dilihat di platform.

MRT itu dihentikan perkhidmatannya pada November 2023, dan 11 kabin dipindahkan ke SAFTI City pada Disember 2023, manakala tujuh kabin lain ditempatkan di "stesen MRT" lain di bandar tersebut.

MRT itu telah dipasang dengan pencahayaan dan sistem pengaliran udara. Pada masa yang sama, pintu MRT juga dibekalkan kuasa supaya ia dapat dibuka dan ditutup.

MENUMPASKAN MUSUH

Para askar yang memasuki bangunan tersebut kemudiannya langsung “menembak musuh".

Namun, ia bukanlah askar sebenar yang menyamar sebagai pasukan musuh (OPFOR), tetapi sasaran statik yang boleh “membalas tembakan”.

Setelah “terbunuh”, lampu merah akan berkelip pada kepala sasaran, menandakan ia telah “mati”.

Sasaran-sasaran sedemikian, termasuk yang bergerak menggunakan roda, merupakan antara ciri latihan baharu yang diperkenalkan MINDEF tahun lalu.

Sasaran automatik tersebut saling melengkapi penggunaan OPFOR sebenar, yang biasanya terdiri daripada askar yang memainkan peranan sebagai musuh.

Satu simulasi tembakan artileri di beberapa bangunan di SAFTI City kemudian diadakan.

Bunyi letupan yang kuat, tembakan senjata dan asap turut dialami dan disaksikan.

Pihak media juga dapat merasai gegaran tanah dan gelombang kejutan daripada letupan tersebut. "Kesan medan tempur" yang realistik itu dicapai dengan menggunakan mesin seperti simulator letupan, penjana asap dan simulator bom tangan menggunakan roket peluncur.
Dr Ng Eng Hen (berbaju merah) cuba untuk mengawal Q-UGV di SAFTI City. (Gambar: CNA/Justin Ong)
Secara berasingan, semasa pelancaran itu, Dr Ng turut mencuba untuk mengendalikan Kenderaan Tanpa Pemandu Quad (Q-UGV) SAF, yang menyerupai anjing besar dari segi saiz dan rupa.

Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) telah mempamerkan Q-UGV sejak 2022 sempena Rumah Terbuka Tentera. Q-UGV mempunyai fungsi seperti rondaan keselamatan serta operasi di persekitaran bandar yang berbahaya atau sesak.

MINDEF menyatakan bahawa Q-UGV boleh dikendalikan di pelbagai persekitaran, dan SAFTI City "memberikan kami keupayaan untuk bereksperimen dalam persekitaran bandar yang realistik".

Ini termasuk ciri-ciri seperti lorong sempit dan tangga.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita